Pages

Monday, November 16, 2009

Litar pintas punca kapal terbakar

Sumber: Utusan

PUTRAJAYA 14 Nov. – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merumuskan punca kebakaran KD Sri Inderapura pada 8 Oktober lalu disebabkan oleh litar pintas yang membakar kabel di bahagian atas geladak kereta kebal kapal tersebut.

Rumusan oleh Lembaga Siasatan TLDM yang ditubuhkan itu diperkuatkan lagi dengan faktor usia lebih 40 tahun kabel berkenaan sehingga menyebabkan tercetus kebakaran lebih besar.

Bagaimanapun, pengesahan punca kebakaran tersebut tidak dapat dibuat berikutan pakar forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak dapat membuat siasatan lanjut berikutan keadaan kapal yang musnah serta separuh tenggelam.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, rumusan tersebut sekali gus menolak kemungkinan punca kebakaran disebabkan oleh puntung rokok.

Ini kerana, jelasnya, kajian komprehensif mendapati puntung rokok tanpa nyalaan api tidak akan menghasilkan kebakaran yang terjadi pada himpunan tilam.

“Tilam tersebut merupakan sebahagian daripada stor logistik yang bakal dihantar ke Malaysia Timur.

“Lembaga siasatan juga telah meneliti kemungkinan jika punca kebakaran akibat tindakan khianat. Bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk terhadap kemungkinan tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Lembaga siasatan itu diketuai oleh Kapten Rusli Ahmad dan dianggotai oleh lima orang dari pelbagai kepakaran yang bersidang selama dua minggu mulai 9 Oktober lalu.

Kapal KD Sri Inderapura dilaporkan terbakar pada 8 Oktober lalu pada pukul 6.30 pagi ketika sedang berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Kapal tersebut mengalami kebakaran kali kedua sehari kemudian dan ditunda keluar dari jeti Pangkalan TLDM ke Tanjung Hantu berhampiran perairan Pulau Pangkor untuk kerja-kerja memadamkan api serta bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menurut Abdul Aziz, lembaga berkenaan mendapati, kebakaran pertama mula dikesan oleh sistem pengesan pada pukul 6.16 pagi, 8 Oktober lalu namun tindakan awal yang diambil oleh petugas pada hari kejadian tidak dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, salah satu tindakan salah yang kritikal ialah apabila bekalan kuasa elektrik darat dimatikan tanpa menghidupkan janakuasa kapal terlebih dahulu.

“Tindakan ini telah mengakibatkan kesemua sistem melawan kebakaran kapal tidak boleh berfungsi atau lumpuh ditambah keadaan gelap akibat kuasa elektrik terputus juga mengakibatkan keadaan menjadi kelam-kabut.

“Kebakaran mula dapat dikawal pada pukul 5.20 petang. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut terhadap kawasan kebakaran tidak dapat dilakukan kerana keadaan kapal masih dikategorikan sebagai tidak selamat untuk dimasuki dan menyukarkan anggota bomba memastikan kebakaran benar-benar telah dipadamkan,” ujarnya.

Mengenai kebakaran kali kedua kapal itu, beliau memberitahu, kejadian pada 9 Oktober lalu berpunca daripada bara api yang gagal dikesan di kawasan stor cat dan simpanan minyak hidraulik.

Beliau menambah, kebakaran kali kedua itu merebak dengan begitu cepat dan intensiti kebakaran adalah lebih serius akibat kewujudan bahan minyak.

“Apabila pihak bomba mengisytiharkan api tidak dapat dikawal, keputusan dibuat agar kapal ditarik keluar dari jeti dan dikandaskan di perairan selamat.

“Tindakan tersebut telah berjaya mengelakkan berlakunya keadaan krisis yang boleh menjejas keselamatan operasi jeti dan kawasan perairan serta laluan kapal keluar masuk Pelabuhan Lumut,” jelasnya dalam kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment