Sumber:Utusan
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my
Raja Perlis selaku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Renjer Diraja (RRD), Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menghadiri majlis penganugerahan Panji-Panji baru RRD di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Sungai Besi, baru-baru ini.
Dengan cogankata 'Agi Idup Agi Ngelaban' Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (RRD) terus mengorak langkah untuk menjadi sebuah pasukan yang sentiasa terampil dan siaga dalam Tentera Darat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Terbaru, pasukan itu berjaya menyempurnakan penganugerahan Panji-panji Rejimen baru yang telah disempurnakan oleh Raja Perlis selaku Kolonel Yang Dipertua RRD, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, baru-baru ini.
Penganugerahan itu memberi semangat kepada seluruh warga Batalion Keenam RRD untuk menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab dan beretika.
Lebih penting, semangat dan iltizam mereka untuk menjadi anggota tentera yang berjuang demi keamanan dan kesejahteraan negara tercinta.
Penubuhan
Batalion Keenam RRD telah ditubuhkan pada 1 Januari 1970 di Kem Sungai Udang, Melaka. Pada awal penubuhan pasukan itu, anggotanya terdiri daripada gabungan Batalion Kedua, ketiga dan keempat RRD serta Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Seramai 150 anggota lagi telah diambil daripada pasukan Pertahanan Tempatan Melaka dan Negeri Sembilan bagi memenuhi perjawatan. Leftenan Kolonel Mansur Yunus merupakan Pegawai Memerintah yang pertama dan sehingga kini, pasukan itu telah diperintah oleh 20 Pegawai Memerintah.
Pegawai Memerintah sekarang adalah Leftenan Kolonel Omar Baharom yang mengambil alih jawatan tersebut pada 15 Januari lalu sehingga sekarang.
Penganugerahan Panji-Panji
Tarikh 2 Oktober 1992 adalah hari yang bersejarah bagi pasukan itu apabila dianugerahkan Panji-panji Rejimen. Tuanku Raja Perlis ketika itu, iaitu Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail, selaku Kolonel Yang Dipertua RRD telah menyempurnakan penganugerahan tersebut dalam satu upacara yang gilang-gemilang.
Istiadat tersebut turut dihadiri oleh Raja Perempuan Perlis, Tengku Budriah Ibni Al-Marhum Tengku Ismail; Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Yaacob Mohd. Zain.
Sejarah dan Tradisi Panji-Panji
Perkataan 'Panji-Panji Tentera' bererti bendera atau bendera-bendera yang dibawa oleh unit tentera. Pada mulanya, bendera-bendera itu hanya dimaksudkan pada bendera yang dibawa oleh unit-unit berjalan kaki terutamanya Infantri tetapi selepas itu ditujukan juga pada bendera dan lencana Tentera Berkuda dan Unit-unit berkenderaan.
Perkataan Panji-panji atau bahasa Inggerisnya 'Colours' mula digunakan sebagai panggilan kepada warna-warna cerah yang terdapat pada bendera Infantri.
Panji-panji telah digunakan sebagai cara pengenalan dan tanda tempat berkumpul semasa dalam peperangan. Panji-panji juga digunakan untuk menandakan markas dalam peperangan.
Ekoran perubahan yang berlaku dalam muslihat dan teknik peperangan, panji-panji telah dianggap sebagai simbol semangat dan tradisi rejimen atau pasukan yang membawanya.
Pada zaman abad pertengahan, panji-panji digunakan sebagai Lambang Agama atau Peribadi. Lambang Peribadi telah semakin berkurangan digunakan.
Dengan terbukanya kompeni-kompeni dan unit kepada rejimen dan kor, panji-panji juga beransur-ansur disusun mengikut sistem semasa.
Dalam ATM, panji-panji dikurniakan kepada sebuah rejimen sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan dan kesetiaan rejimen tersebut kepada raja dan negara.
Satu lagi Panji-panji Rejimen adalah Panji-panji Yang di-Pertuan Agong yang melambangkan kesetiaan rejimen kepada raja dan mempunyai tempat yang lebih utama daripada Panji-panji Rejimen.
Atas sebab-sebab ekonomi, sesebuah batalion dikurniakan dengan Panji-panji Rejimen sahaja.
Panji-panji Yang di-Pertuan Agong hanya dikurniakan kepada rejimen atau kor oleh Yang di-Pertuan Agong manakala Panji-panji Rejimen dikurniakan oleh Kolonel Yang di-Pertua Rejimen masing-masing atau Raja-Raja Melayu yang dilantik.
Upacara pengurniaan panji-panji kebiasaannya diadakan dengan kebesaran mengikut adat istiadat tradisi tentera.
Panji-panji juga diarak di hadapan anggota pasukan dan kenamaan pada hari tertentu atau perayaan dan kebesaran dari masa ke semasa. Ekoran itu timbulnya perkataan " mengarak Panji-panji atau Trooping The Colours".
Sebagai tanda penghormatan pada sesebuah pasukan, segala kegiatan yang melibatkan peperangan di mana pasukan itu turut berjuang akan disulam di atas Panji-panji Rejimen tersebut.
Tanda-tanda ini dikenali sebagai kehormatan perang atau 'Battle Honours'. Panji-panji disanjung tinggi dan diberi penghormatan mulia oleh setiap lapisan anggota tentera. Apabila dibariskan, panji-panji akan dibawa oleh pegawai muda dan diiringi oleh dua Sarjan Pengiring panji-panji.
Semasa panji-panji yang dibariskan melintas lalu di hadapan, adalah menjadi adat resam yang dituntut supaya hadirin berdiri dan mereka yang berpakaian seragam memberi tabik hormat.
Sekiranya langkah-langkah penjagaan diikuti dan diamalkan dengan sempurna, panji-panji boleh digunakan sehingga 15 ke 20 tahun. Untuk menyempurnakan penggantian panji-panji baru, satu istiadat penggantian panji-panji mesti dilaksanakan.
Panji-panji Baru
Batalion Keenam RRD juga tidak terkecuali apabila panji-panji pertamanya yang sudah menjangkau usia hampir 17 tahun ditukar baru. Istiadat pertukaran panji-panji itu disempurnakan oleh Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalulllail pada 10 Oktober lalu.
Ketika bertitah pada istiadat itu, Tuanku Syed Sirajuddin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Batalion Keenam RRD yang telah membuat persiapan begitu teliti dan rapi agar istiadat berjalan dengan sempurna dan teratur.
Jelas sekali, titah baginda, semua pegawai dan anggota telah memberikan sepenuh komitmen dalam menjayakan istiadat tersebut.
"17 tahun yang lalu, pada tanggal 2 Oktober 1992, Paduka Ayahanda beta telah mengurniakan Panji-panji Rejimen ini di Kem Wardieburn dalam istiadat yang penuh gilang-gemilang dan kini telah tiba masanya panji-panji tersebut ditamatkan tauliahnya dan diganti dengan panji-panji yang baru," titah baginda.
Ujar baginda, pengurniaan panji-panji merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada sesebuah pasukan. Pengiktirafan itu diberikan hanya setelah sesebuah pasukan tersebut menunjukkan pengorbanan, kesetiaan, ketaatan dan komitmen bahkan ada kalanya dengan titisan darah yang menyumbang kepada kepentingan dan kedaulatan Negara.
''Beta berharap sekalian pegawai dan anggota Batalion Keenam RRD akan menghargai dan menghormati panji-panji yang telah dianugerahkan kerana ia hasil titik peluh dan titisan darah saudara-saudara kita terdahulu yang sebahagiannya gugur sebagai Pahlawan Negara.
''Mereka benar-benar telah menjiwai dan menghayati kata-kata "Agi Idup, Agi Ngelaban"," titah baginda.
Selain itu, baginda juga berbangga dengan perubahan dan pembaharuan yang telah dicapai oleh ATM amnya dan RRD khususnya. Kini RRD terdiri daripada pasukan light infantry dan juga airborne infantry.
Titah baginda, pelbagai peranan yang dimainkan RRD itu menunjukkan perubahan dan pemodenan yang sedang dilalui oleh ATM.
''Sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Renjer Diraja, beta mahu melihat perubahan-perubahan ini mengukuhkan lagi Rejimen Renjer Diraja daripada segi fizikal, kelengkapan, pemikiran, disiplin, komitmen dan kemahiran,'' ujar baginda.
Tambah baginda, ATM seharusnya kekal relevan dengan zaman teknologi yang semakin moden.
"Kita seharusnya melakukan perubahan daripada segi pengurusan, pentadbiran, perancangan dan pelaksanaan agar seiring dengan cabaran dan ancaman semasa di samping mengekalkan ciri-ciri asas ketenteraan dalam masa yang sama.
"Beta juga ingin menyeru agar nilai-nilai rejimental terus dikekalkan dengan pengurusan berkualiti yang menyeluruh dan menjadikan RRD sebuah organisasi yang unggul, mantap serta berwibawa dalam apa jua bidang dan tugas yang dipertanggungjawabkan," titah baginda.
Baginda bertitah, jika menyusuri sejarah RRD, ia penuh dengan unsur dan semangat "kepelbagaian dalam kesatuan".
Tambah baginda, leluhurnya iaitu Sarawak Rangers dan kemudian RRD yang dianggotai pelbagai kaum dan etnik, menunjukkan bahawa walau berbeza keturunan dan kepercayaan serta pelbagai adat, RRD tetap satu.
"Beta berbangga kerana RRD telah berjaya membuktikan manusia yang pelbagai bangsa dan agama boleh wujud dalam suasana harmoni dan hormat-menghormati jika mereka percaya pada perkara yang sama dan tidak melihat perbezaan antara mereka.
"Ingatlah titisan darah dan pengorbanan nyawa demi mengekalkan perpaduan dan kesatuan antara kita adalah harga yang murah untuk dibayar berbanding dengan kebinasaan yang bakal kita alami jika berpecah-belah dan bermusuhan," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda meletakkan amanah dan iltizam menjaga perpaduan dan kesatuan pasukan tersebut di atas bahu setiap pegawai dan anggota renjer agar suatu hari nanti RRD adalah contoh rejimen yang melambangkan semangat 1Malaysia.
bertugas smpai pukul 1-2 pagi jugak la team2 yang bawah naungan 12bgd untuk buat persiapan parade ni...
ReplyDelete