Sumber: Utusan
PENGKALAN KUBOR 28 Nov. - Rancangan pembelian bot Amphibious Sealegs buatan New Zealand oleh Kementerian Pertahanan jika terlaksana dapat memantapkan lagi keupayaan anggota Skuadron Maritim negara terutama dari 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK).
Panglima 21 GGK, Brigedier Jeneral Datuk Abd. Samad Yaakob berkata, kepelbagaian fungsi bot tersebut amat penting untuk melaksanakan segala misi ketenteraan terutama yang mempunyai tahap kesukaran tinggi.
"Bot ini boleh naik ke atas darat, jadi tidak perlu untuk diangkat dan setiap kali ada misi apa-apa pun, ia pasti amat relevan digunakan.
"Selain itu, bot tersebut juga boleh digunakan ketika misi kemanusiaan seperti bencana alam seperti banjir untuk menyelamatkan mangsa yang terjejas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas melancarkan misi Ekspedisi Le Tour 1Malaysia Sealegs 2009 di sini hari ini.
Misi tersebut yang bermula di sini tepat pukul 9 pagi disertai oleh 12 komando GGK yang akan melalui keseluruhan perjalanan sejauh 1,600 kilometer menggunakan bot tersebut.
Kumpulan itu dijangka tiba di Pulau Langkawi, Kedah pada 1 Disember ini untuk menyertai Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2009 (LIMA 2009).
Misi tersebut juga akan tercatat di dalam World Guinness Book of Records sebagai perjalanan paling jauh menggunakan bot amfibia serta bot pertama yang berjaya menyeberangi Tambak Johor.
Abd. Samad berkata, selain menguji ketahanan bot berkenaan, ia juga untuk menunjukkan kepada umum keupayaan pasukan 21 GGK dalam menggalas cabaran yang diberi.
"Sekarang ini tidak ramai anak muda yang berminat menyertai tentera terutama sekali 21 GGK, oleh itu kita harap dengan cara ini hati mereka lebih terbuka.
"Kesemua 11 anggota dan seorang pegawai yang menyertai misi ini tidak memerlukan latihan sampingan kerana mereka memang sudah terlatih untuk bertugas pada bila-bila masa,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment