Sumber: utusan online
Oleh ARSHAD KHANpengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Task Force 2010 yang ditubuhkan pada 1997 dan sepatutnya berakhir tahun hadapan akan ditamatkan fungsinya penghujung tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui pembubaran itu, segala peranan yang dimainkan oleh Task Force 2010 akan diambil alih oleh agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.
Katanya, penamatan itu bukan disebabkan sebarang bantahan oleh Thailand, tetapi dibuat atas persefahaman bersama kedua-dua negara.
"Tidak ada bantahan, tetapi kedua-dua pihak merasakan elok kita mengunakan agensi-agensi rasmi sedia ada dan bukannya agensi tambahan yang diwujudkan bagi menangani permasalahan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Malaysia-Thailand Kali ke-49 (GBC) di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon.
Task Force 2010 di pihak Malaysia yang ditubuhkan bersama Thailand untuk mempromosikan keamanan tiga wilayah yang sedang bergolak di negara jiran iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat.
Zahid berkata, penamatan Task Force 2010 dibuat dengan persetujuan Kabinet.
Kata beliau, walaupun tanpa Task Force 2010, pihaknya yakin agensi-agensi sedia ada dapat mewujudkan keberkesanan yang sama dalam membantu masyarakat Islam di selatan Thailand.
"Apa yang telah kita setuju bersama ialah kita bantu masyarakat Islam di Thailand untuk meneruskan kehidupan mereka cara aman, dapat pendidikan mengikut kurikulum seperti ditetapkan pihak Bangkok, menjalankan ibadah sebagai orang Islam tanpa gangguan.
"Selain melatih ahli-ahli separa profesional untuk mendapat latihan tambahan di Malaysia untuk mewujudkan peluang pekerjaan di selatan Thailand," katanya.
Selain itu, kata beliau, satu resolusi bersama turut dicapai GEB iaitu untuk mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara kedua negara untuk membanteras aktiviti penyeludupan manusia.
"Kita telah melakukan satu resolusi bersama yang mana langkah-langkah dibuat berikutan tuduhan bahawa Thailand dan Malaysia jadi pangkalan penyeludupan orang-orang Myanmar yang masuk atau keluar dari negara ini.
''Selain ada juga tuduhan kita dijadikan pangkalan oleh beberapa negara di Indo-China untuk masuk ke kawasan kita,'' katanya.
Justeru, katanya lagi, langkah-langkah yang dipersetujui ialah memperketatkan kawalan sempadan dan menentukan bahawa pengawasan dilakukan terhadap kalangan masyarakat tempatan agar tidak ada kerjasama antara penduduk tempatan Malaysia atau Thailand yang membantu penyeludupan manusia," katanya.
Selain itu, kata beliau, mesyuarat itu juga bersetuju dengan penubuhan Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) yang baru di sempadan kedua negara, tetapi ia akan dibincangkan lebih lanjut.
No comments:
Post a Comment