Sumber: Utusan Online
LANGKAWI 14 Ogos - Pegawai dan anggota ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dengan Eksesais Angkasa Samudera (Angsa) didedahkan dengan konsep latihan Pos Pemerintah (POSTAH) - sistem simulasi perang berkomputer.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata. melalui Eksesais POSTAH perancangan operasi dan simulasi pertempuran di medan perang dapat dilakukan tanpa memerlukan penggunaan aset sebenar dan pergerakan anggota tentera di medan tempur.
"Kita cuba masukkan senario strategik perang yang mungkin berlaku dengan faktor keadaan sekeliling dan anggota perlu merancang bagaimana untuk menghadapinya," katanya kepada pemberita selepas menutup Eksesais ANGSA 4/2009 di sini hari ini.
Katanya, konsep latihan POSTAH bertujuan meningkatkan keupayaan dalam penghasilan operasi bersama selain meningkatkan keserasian antara perkhidmatan TLDM dan TUDM menerusi simulasi perang.
Selain TLDM dan TUDM, beberapa elemen daripada Tentera Darat turut terlibat dalam eksesais dwitahunan kali ini.
Eksesais kali ini melibatkan 195 pegawai dan anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang diadakan di Markas Wilayah Laut 3, Pangkalan TLDM, Bukit Malut di sini bermula 2 Ogos.
Ia diadakan bagi menilai keupayaan, kesiapsiagaan, meningkatkan keserasian dan menguji tahap keberkesanan sistem P4 iaitu Pemerintahan, Pengawalan, Perhubungan dan Pengkomputeran.
Latihan itu merangkumi aspek pertahanan ruang udara, serangan udara terhadap kapal, latihan anti-keganasan dan juga Combat SAR iaitu mencari dan menyelamat dalam situasi tempur.
Turut hadir dalam latihan itu adalah Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment