Pages

Friday, June 26, 2009

TLDM MERAIKAN WARGA MEDIA

Sumber: Majalah Perajurit edisi Jun 2009
Oleh: Hamzah hd

Sesuatu yang amat positif bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM ) di dekad ini adalah menjadikan media sebagai rakan penghubung antara ATM dan seluruh rakyat Malaysia. ATM bersama media sudah menjadi satu kitaran aktiviti wajib yang mana ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat , laut dan udara telah diberi peranan berterusan di dalam memastikan segala aktiviti latihan, pembangunan fizikal dan spiritual modal insan ATM serta pembangunan aset-aset strategik yang dibelanjakan oleh Kementerian Pertahanan perlu dimaklumkan kepada rakyat sebagai pembayar cukai.

Untuk mencapai impak maksima, media dari semua medium sering diberi peluang untuk menjelajah di pangkalan-pangkalan ATM yang sebelum ini menjadi satu kawasan larangan yang tidak boleh didedahkan kepada umum sewenang-wenangnya.

Perubahan konsep kepada keterbukaan ini kemungkinan ada kaitan dengan trend dan kepesatan teknologi satelit dan teknologi informasi komunikasi (ICT) yang berupaya ‘mencuri’ maklumat-maklumat asas pertahanan global yang sebelum ini bersikap ‘menyembunyikan kuku’ kekuatan dan keupayaan ketenteraan masing-masing sebagai strategi cegah rintang. Perubahan kepada strategi menunjuk atau mendedahkan kekuatan aset-aset strategik dan juga keupayaan dan kecekapan perwira dan perajurit masing-masing yang akan menjadi benteng di barisan hadapan malahan juga keupayaan mengendali mesen-mesen berteknologi tinggi samada bagi pertahanan darat, laut maupun udara merupakan taktik baru yang mesti di sampaikan kepada sasaran.

Ledakan kuasa teknologi maklumat hari ini tidak mampu lagi bagi pihak-pihak berkuasa untuk terus mengamalkan dasar ‘tutup pintu’ kepada media medium cetak dan elektronik kerana media baru (internet-blog dan sebagainya) sudah mengambil tempat dan semakin rakus memberi informasi-informasi terkini tanpa kawalan dan kadangkala tersasar dari etika kewartawanan.

Sebagai mengimbangi ledakan maklumat dari media baru ini sudah tentu jalan yang paling selamat ialah dengan ‘membuka pintu’ kepada media arus perdana yang lebih beretika dalam membuat laporan bagi menyampaikan maklumat-maklumat sebenar hasil dari taklimat dan tinjauan hands on secara bersepadu dan terancang kerana ianya lebih positif dan bertanggungjawab sekali gus berupaya menangkis ketidaksahihan sumber berita dari media baru yang tidak bertanggungjawab.

Kesempatan ini, pihak media harus mengambil peluang yang sebaiknya di dalam mendalami budaya ketenteraan dan pertahanan dan segala keperluannya supaya laporan positif dapat digarap sebaik mungkin agar kedua-dua pihak media dan ATM berada dalam situasi menang-menang.

Semestinya apa yang diharapkan output dari kefahaman yang dijana dari usaha ini akan meningkatkan publisiti-publisiti positif dan ikhlas yang setimpal dengan perbelanjaan yang bukan sedikit ‘dilaburkan’ oleh ATM untuk menjayakan program-program seumpama. Kekerapan dan kualiti laporan tentunya akan melonjakkan imej serta reputasi dan memberi kepercayaan juga keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan ATM amnya di dalam mempertahankan tanahair.

Ianya juga bergantung kepada kreativiti laporan berdasarkan pendekatan sesuatu penerbitan terhadap sasaran masing-masing hatta majalah hiburan sekalipun boleh berfungsi sebaik mungkin kerana golongan remaja yang menjadi sasaran menjadi pembaca setia majalah seumpama ini. Demikian juga untuk menjana kefahaman dan semangat patriotik kepada etnik-etnik yang menjadi minoriti di dalam perkhidmatan ATM supaya lebih ramai lagi tampil menceburkan diri dalam kerjaya ATM.

Apa yang lebih penting hasil dari jumlah pendedahan yang dibuat oleh media ialah peningkatan sokongan rakyat dengan menyematkan pada diri masing-masing semangat patriotisme dan sedia berkorban untuk kestabilan negara. Kepada kerajaan, supaya tidak ragu-ragu untuk membelanjakan sejumlah wang negara untuk memperlengkapkan ATM ke tahap yang lebih kelihatan dominan sebagai usaha cegah rintang di rantau Asean.

Aktiviti Bersama Media

Perajurit telah merakam beberapa siri program ATM bersama media yang telah dilaksanakan di beberapa lokasi-lokasi dari ketiga-tiga perkhidmatan sebagai memperjelaskan kepada umum tentang komitmen dan keterbukaan ATM memberi maklumat tentang keupayaan, kesusahan dan cara hidup mereka kepada masyarakat melalui media untuk dinilai bahawa pengorbanan mereka cukup besar di dalam menentukan keamanan Malaysia.

Program Sehari Bersama Media sempena sambutan Jubli Intan TLDM di Lumut pada 15 April lalu adalah kesinambungan daripada siri-siri intraksi ATM bersama media yang bertujuan untuk memberi penghargaan kepada media terhadap sokongan dan liputan pablisiti sepanjang tahun 2008 dan suku tahun pertama 2009 di samping memberi peluang kepada pengamal media berintraksi secara terus dengan Navy people terutama sekali dengan pucuk pimpinan TLDM.

Bermula dengan menyaksikan pertunjukan peralatan dan kemampuan tim penyelam KD DUYUNG TLDM membuat aktiviti-aktiviti di dalam air sebagai elemen bantuan pembaikan dan sabotaj.

Selepas itu media diberi pendedahan sejarah penubuhan dan penglibatan dan evolusi pembangunan PASKAL di samping melihat sendiri ketangkasan yang di persembahkan sempena upacara perasmian pentauliahan KD PANGLIMA HITAM.

Sebelah petang, peserta media seramai 70 orang telah dibawa berlayar dengan KD LEKIU dan KD LEKIR di sekitar Pulau Pangkor. Semasa perlayaran, peserta media didedahkan dengan injek kapal sedang menerima ancaman udara dan permukaan yang mana KD LEKIR gagal menangkis peluru berpandu kapal terbang musuh dan telah terkena tembakan yang menyebabkan kebakaran dan kecederaan berlaku. Tim mengawal kerosakan bahagian belakang (Aft Damage Control) telah membuat demonstrasi melawan kebakaran dan merawat anggota yang tercedera.

Permainan hoki tradisi tentera laut (hoki geladak) diperkenalkan kepada media dengan mengadakan perlawanan kalah singkir di kalangan peserta. Sebelum kembali berlabuh, acara menembak pistol di KD LEKIR dan Carbin M4 di KD LEKIU telah diadakan.

Acara kemuncak, semua peserta di perkenalkan dengan saf pimpinan TLDM iaitu ketua-ketua formasi yang berada di sekitar Pangkalan TLDM Lumut berserta isteri. Di antara mereka ialah Panglima Tentera Laut sendiri, Panglima Armada, Panglima Sistem Armada, Panglima Pendidikan dan Latihan, Panglima Bantuan, Ketua-ketua Staf, Pegawai Kanan Armada dan Pegawai-pegawai Memerintah. Peserta diraikan dalam Majlis BBQ yang juga merupakan acara tradisi tentera laut setelah penutupan sesuatu acara-acara besar seperti Latihan, Kejohanan Sukan dan sebagainya. Sepanjang Majlis tersebut, Band Gelombang Biru dan Penari-penari Badan Kesenian TLDM telah menghangatkan suasana majlis.

Kesimpulan

Walau bagaimanapun apa yang telah dipersembahkan untuk penghayatan peserta media setakat ini belum pun mencecah ‘di hujung kuku’ berbanding dengan keperitan, kejerihpayahan dan krikil yang diharungi oleh anggota tentera semasa menjalankan tugas. Risiko yang terpaksa dihadapi oleh mereka bukan sahaja menanti peperangan sebenar tiba tetapi semasa latihan persediaan juga terpaksa berdepan dengan kecederaan dan kematian terutamnya semasa penerjunan, berlayar dalam keadaan cuaca buruk dan evolusi-evolusi lain seperti menyelam dan sebagainya.

Sebenarnya apa yang cuba hendak disampaikan kepada media erti keperitan dan kepayahan dalam ‘fasa pertama’ ini adalah tidak kesampaian melainkan selepas ini mungkin ada kesinambunagn dan peningkatan program yang lebih mencabar. Contohnya, para media dijemput untuk mengikuti latihan peperangan sebenar sebagai wartawan medan yang akan melapor dari garisan hadapan samada bersama trup TD meredah belantara dan bukit bukau atau mengharungi gelora Laut China Selatan bersama flotila serang TLDM dalam siri-siri latihan yang berskala besar yang akan menggambarkan suasana peperangan sebenar.

Sebagai contoh, wartawan/jurufoto yang ‘bertuah’ dapat bersama krew FAC M yang bertempur di barisan hadapan maritim, akan dapat merasai bagaimana rasa tidak mandi berminggu-minggu kerana catuan air, tidur dan rehat yang tidak mencukupi dan bersarapan dalam suasana action messing kerana serangan permukaan dan udara bertubi-tubi dari angkatan musuh.

Natijah kepada usaha murni ATM bersama media melalui cabang-cabang perkhidnmatan darat, laut dan udaranya secara berterusan supaya diberi gambaran jelas melalui penulisan berita maupun rencana adalah semata-mata bertujuan supaya rakyat Malaysia tahu dan faham secara keseluruhan tentang organisasi dan peranan yang dimainkan.

Namun, apa yang sedang berlaku secara tidak langsung tetapi sudah bergerak secara meluas ialah pendedahan informasi dan perbincangan khusus berkisar kepada pertahanan dan ketenteraan di dalam dan luar negara adalah melalui ruangan-ruangan forum siber yang semakin mengambil tempat dan semakin mencuri tumpuan peminat dan pemerhati pertahanan. Bagi pentadbir-pentadbir forum yang bertanggungjawab, semua perbincangan berkisar kepada sesuatu yang positif dan ada juga yang sebaliknya. Justeru untuk meliberalisaikan keadaan supaya tiada unsur-unsur negatif dari sudut penyebaran maklumat, warga tentera yang ‘arif’ itu sendiri patut diberi tugas mengakses dan menyertai secara aktif semua perbincangan supaya iannya tidak dimanipulasikan oleh kelumpok yang tidak bertanggungjawab.

Media alternatif TLDM (www.navy.mil.my/) sendiri juga menyediakan ruang perbincangan yang seumpama mencakupi seluruh aspek persenjataan, aset strategik malah kehidupan warga ATM secara amnya. Untuk memberi impak maksima dari kewujudannya, perlu diberi perhatian secara serius kerana ianya sangat informatif. Apatah lagi jika semua bod-bod yang diperuntukan diberi tanggungjawab kepada formasi-formasi atau unit-unit yang berkaitan dengan melantik seseorang yang boleh menjawab atau memoderasikan setiap persoalan dengan jawapan yang lebih tepat, kontemporari dan berilmiah di samping mengekalkan sekuriti maklumat yang patut dirahsiakan serta mengemaskinikan secara harian dengan berita-berita atau aktiviti-aktiviti terkini samada artikel-artikel umum atau bersifat rejimental.

Sesungguhnya ramai peminat-peminat pertahanan ingin tahu perkembangan yang sangat terhad di media-media arus perdana dengan mencari alternatif di alam siber. Trend ini tidak boleh tidak harus diberi perhatian oleh ketiga-tiga cabang perkhidmatan untuk menjadikan salah satu usaha menghebah dan penjelasan kepada umum yang memilih internet sebagai saluran komunikasi dan perbincangan mereka. Medium ini sangat popular dalam kalangan anak-anak muda lepasan sekolah maupun lepasan ijazah yang sangat patriotik untuk berbincang secara mendalam dan menunggu peluang untuk mereka menceburi dalam bidang ketenteraan.

Agak malang, jika di nilai dari respon yang ada, ianya berkisar dalam kalangan mereka yang tidak arif dan tidak kontemporari dalam bidang ketenteraan. Penyedia ruang forum yang sangat popular ini harus peka dan proaktif dalam menilai suasana ini dan memanjangkan kepada pihak yang lebih tinggi jika menghadapi kekangan tugasan. PERAJURIT

No comments:

Post a Comment