Pages

Wednesday, May 20, 2009

Markas Medan teras kekuatan TD

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

SEBAGAI sebuah organisasi yang dinamik, Markas Medan Tentera Darat (TD) telah berkembang pesat dalam menyelaras dan melaksanakan aktiviti operasi serta latihan trup di bawah pemerintahannya.

Sejarah penubuhan Markas Medan TD bermula pada 5 Mei 1981 apabila Markas Kor Tentera Darat diwujudkan sebagai langkah susulan kepada pembangunan dan penstrukturan TD untuk memikul tanggungjawab memerintah, mengawal serta mengurus semua Formasi Medan di Semenanjung Malaysia.

Bagi formasi medan di Sabah dan Sarawak status operasi ketika itu masih diletakkan di bawah pemerintahan Markas Divisyen Pertama Infantri yang bertanggungjawab terus kepada Panglima TD.

Setelah ditubuhkan Markas Kor TD telah berkongsi tempat kediaman, bangunan pejabat dan kemudahan-kemudahan tertentu kepunyaan Markas Dua Divisyen di Kompleks Markas Dua Divisyen, Pangkalan Sungai Besi.

Perkongsian ini berterusan hinggalah Markas Dua Divisyen berpindah ke Pulau Pinang.
Bagi melancarkan pelaksanaan penubuhan Markas Kor TD, proses penubuhannya dilaksanakan dalam tiga tahap. Tahap-tahap tersebut adalah seperti berikut:

1. Tahap pertama - penubuhan Markas ini pada 5 Mei 1981 dan anggota-anggota kumpulan pertamanya dipenuhkan pada tarikh tersebut.

2. Tahap kedua - meneruskan proses penubuhan di tempat yang sama dengan mengadakan anggota-anggota kumpulan kedua bagi jangka masa 10 Oktober 1981 hingga 31 Januari 1982.

3. Tahap ketiga - meneruskan proses penubuhan di tempat yang sama dengan mengadakan kumpulan ketiga dalam jangka masa 1 Februari 1982 hingga 30 Jun 1982.

Dengan tertubuhnya Markas Kor TD, maka keselamatan pertahanan Wilayah Satu adalah di bawah tanggungjawab markas ini.

Dengan itu, Panglima Kor TD bertanggungjawab untuk merumus dan melaksanakan strategi, operasi dan rancangan kontigensi terhadap pertahanan Wilayah Satu yang mana meliputi seluruh kawasan tanah daratan di Wilayah Semenanjung Malaysia.

Pada tahap pertama penubuhan Markas Kor TD, pelbagai tekanan telah dihadapi dan paling ketara adalah kekurangan keanggotaan.
Hanya 62 peratus pegawai yang melapor diri manakala anggota lain-lain pangkat pula seramai 47 peratus.

Namun demikian, bahagian Turus TD terus memberi perhatian sewajarnya mengenai perkembangan dan kemajuan markas ini.
Apabila Markas Kor menghadapi pelbagai kemajuan dari segi organisasi dan keanggotaan, ia terpaksa dirombak semula pada tahun 1982.

Rombakan ini dibuat sebagai menyahut rancangan jimat cermat yang dilancarkan disebabkan oleh keadaan negara menghadapi kemerosotan ekonomi.

Dengan rombakan ini, organisasi Markas Kor TD telah diubahsuai untuk memulakan tanggungjawab khusus meliputi aspek latihan TD sahaja.

Leftenan Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom yang menjadi pengasas Markas Kor TD pertama pada ketika itu telah menyerahkan tugas setelah sampai tempoh untuk beliau bersara dari perkhidmatan kepada Leftenan Jeneral Datuk Wan Ismail Wan Salleh sebagai Panglima Kor TD yang kedua pada 1 Januari 1984.

Setelah dilantik, Wan Ismail terus membentuk markas ini hingga mencapai taraf profesionalisme yang tinggi.
Pengalaman dan kecekapan beliau mengendalikan tugas telah membawa kepada pelbagai perubahan yang begitu menggalakkan.
Atas daya usaha Panglima Kor yang kedua ini, Markas Kor TD mencapai taraf operasi pada 17 Julai 1984.

Dengan pencapaian taraf tersebut, semua Markas Divisyen Infantri di Semenanjung Malaysia diletakkan di bawah pemerintah Markas Kor TD dan segala tanggungjawab mereka akan disatukan oleh markas ini mulai tarikh yang sama.

Taraf operasi

Pengisytiharan taraf operasi ini dilakukan oleh Panglima TD ketika itu iaitu Jeneral Datuk Ghazali Che Mat dalam satu upacara gilang-gemilang di Bilik Gerakan Markas Kor TD pada 17 Julai 1984 di hadapan Panglima Kor.

Panglima Kor TD kemudian menyampaikan perintah ulung beliau kepada semua panglima-panglima dan pegawai-pegawai yang hadir pada hari tersebut.

Walaupun penubuhan Markas Kor TD baru memasuki tahun keempat pada ketika itu, ia telah dikenali Angkatan Tentera negara-negara asing.
Ini terbukti dengan lawatan pemimpin-pemimpin dari negara sahabat ke markas itu sejak ia ditubuhkan.

Pada 1 Januari 1994, berikutan Program Penyusunan Semula Struktur TD menjelang tahun 2000, semua formasi medan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak diletakkan di bawah pemerintahan dan seliaan Markas Kor TD dengan mengambil 'designasi' Markas Medan TD.

Pertukaran ini merangkumi peranan, penugasan dan kawasan tanggungjawab.
Sejak dari detik itu bermulalah peranan Markas Pemerintahan Medan Tentera Darat di bawah pucuk pimpinan Panglima Medan TD, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Ghani Ahmad.
Secara amnya Markas Pemerintahan Medan TD memainkan peranan sebagai markas untuk memerintah, mengawal dan mengurus semua formasi-formasi dan unit-unit medan TD termasuk di Sabah dan Sarawak.

Secara tidak langsung, selaku Markas Pemerintahan Tertinggi TD, ia bertanggungjawab terus kepada Panglima Tentera Darat di dalam bidang-bidang pemerintahan, kawalan dan pentadbiran semua formasi medan TD.

Sejajar dengan itu, beberapa buah pasukan tempur, bantuan tempur, bantuan khidmat dan logistik telah diletakkan di bawah pemerintahan Markas Medan TD untuk menjadikannya sebuah organisasi kredibel, berkeupayaan untuk bertempur di barisan hadapan sesuai dengan ungkapan 'Markas Medan Teras Kekuatan Tentera Darat'.

Bermula 1 Februari 2007 hinggalah sekarang, Markas Medan TD diketuai oleh Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang terus memainkan peranan penting untuk memastikan Markas Medan TD menjadi tunjang kekuatan TD.

Sempena sambutan Ulang Tahun Markas Medan TD yang ke-28 baru-baru ini, Raja Mohamed Affandi mahu semua pegawai dan anggota Markas Medan TD memberikan perkhidmatan cemerlang kerana mereka merupakan tunjang kepada kekuatan TD.

Selain menjadi tunjang TD, beliau berkata, Markas Medan ditubuhkan bagi merealisasikan misi utama TD iaitu mempertahankan tanah air dan menangkis segala ancaman dari luar mahupun dalam negara.

"Angkatan Medan akan terus menyumbang khidmat bakti untuk mempertahankan perbatasan dan sempadan negara.
"Jadi, seluruh warga Markas Medan perlu sentiasa 'terampil dan siaga' untuk melengkapkan diri menjadi pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang profesional," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun Markas Medan TD yang ke-28 di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Staff Am, Markas Medan TD, Brigedier Jeneral Datuk Shaharudin Abu Bakar.
Menurutnya, 'terampil dan siaga' adalah merujuk kepada anggota profesional dan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dan keadaan.
Untuk melengkapkan diri ke arah itu, beliau berkata, latihan kondusif dan berpanjangan perlu dilakukan untuk membentuk pegawai dan anggota ATM supaya mempunyai tahap keyakinan dan semangat juang yang tinggi.

Berbekalkan latihan kondusif dan berpanjangan, Raja Mohamed Affandi yakin Markas Medan akan dapat melahirkan anggota yang mempunyai keterampilan dan tahap kesiapsiagaan yang diperlukan dalam TD.

"Saya berharap semua warga pemerintahan medan TD memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta meningkatkan kemahiran masing-masing supaya tidak ketinggalan.
"Tanpa ilmu dan pengetahuan yang tinggi, kita akan ketinggalan di belakang dan menyebabkan organisasi menjadi mundur," jelasnya.

Sementara itu, dalam hal lain, beliau juga mengingatkan semua warga Markas Medan TD supaya mementingkan aspek keselamatan.
Menurutnya, sikap prihatin dan peka kepada aspek keselamatan perlu diterapkan sebagai langkah pencegahan kepada apa jua perkara yang tidak diingini.

Dalam pada itu, Perbarisan Ulang Tahun Markas Medan TD ke-28 kali ini disertai oleh 65 orang pegawai dan 110 anggota lain-lain pangkat diketuai oleh Leftenan Kolonel Zahari Mohd. Ariffin.
Sempena perbarisan kali ini juga, Raja Mohamed Affandi menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 20 orang penerima dan Sijil Kepujian Panglima Medan TD kepada 11 orang penerima.

Antara penerima PJM ialah Ketua Staf Am, Markas Medan TD, Brigedier Jeneral Datuk Shaharudin Abu Bakar.
Sijil Kepujian Panglima Medan TDt adalah pertama kali diberikan sebagai menghargai jasa untuk anggota dan pegawai TD tetapi melibatkan pekerja awan yang menyumbangkan tenaga di Markas Medan TD.

Penghargaan ini merupakan sesuatu yang cukup berharga buat seorang pekerja di bahagian Peramu Saji Markas Medan TD, Nik Suhaimi Nik Mohd. Salleh, 48, yang telah 29 tahun bekerja bersama markas tersebut.
Menurut Nik Suhaimi, dia cukup berterima kasih kerana dihargai dan akan menjadikan penghargaan itu sebagai pendorong untuk terus memajukan diri dan memberikan perkhidmatan cemerlang.

Bercerita ringkas tentang pengalamannya berada di Markas Medan TD, Nik Suhaimi berkata, sepanjang perkhidmatannya hingga sekarang, dia telah berkhidmat bersama 14 orang jeneral yang telah memberikannya banyak pengalaman dan tunjuk ajar yang cukup berharga.
"Tiada istilah kesusahan dalam pekerjaan, apa yang penting kita sematkan di dada bahawa kita akan memberikan perkhidmatan terbaik dalam apa jua bidang yang dilakukan.

"Saya berterima kasih di atas penghargaan yang diberikan ini dan akan meningkatkan perkhidmatan untuk terus berkhidmat bersama Markas Medan TD," katanya.

No comments:

Post a Comment