Pages

Tuesday, March 24, 2009

TLDM tingkat latihan perangi lanun

Sumber: Utusan Online

Oleh HAMDEN RAMLI utusansabah@utusan.com.my





SYED Zahiruddin Putra Syed Osman (kanan) bersalaman dengan pegawai dan anggota TLDM yang menyertai Eksesais Ostex East 1/09 di Pangkalan TLDM Sepanggar, Kota Kinabalu, semalam. - UTUSAN / GHAZALI BASRI






KOTA KINABALU 23 Mac - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mempergiatkan latihan sebagai persediaan memerangi ancaman lanun yang dijangka kembali berikutan masalah kegawatan ekonomi global.

Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Pertama Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata, perkembangan terbaru yang menyaksikan beberapa insiden serangan lanun memerlukan TLDM untuk lebih berwaspada.

Sehubungan itu katanya, TLDM khususnya di bawah pemerintahan Markas Wilayah Laut Dua akan menjadikan Eksesais Ostex East yang bermula hari ini sebagai platform untuk meningkatkan keupayaan dan kesiagaan dalam memerangi ancaman lanun.

''Kita sudah mula nampak trend itu. Sebagai contoh, baru-baru ini berlaku di Selat Melaka dan Selat Singapura. Walaupun di perairan Sabah dan Sarawak masih belum ada kes serangan lanun tetapi kita mahu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

''Kalau terjadi apa-apa, kita tahu hendak bertindak," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Eksesais Ostex East 1/09 di Pangkalan TLDM Sepanggar di sini hari ini.
Ostex East diadakan tiga kali setahun bertujuan meningkatkan kesiagaan aset-aset TLDM di bawah pemerintahan Markas Wilayah Laut Dua yang berpangkalan di Sepanggar di sini.
Sebanyak 300 anggota membabitkan enam kapal akan menyertai eksesais selama enam hari yang berlangsung di perairan Sabah dan Sarawak.

Syed Zahiruddin menambah, latihan memerangi lanun itu akan turut melibatkan Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM.

Mengenai eksesais kali ini, beliau berkata, beberapa perubahan telah dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan latihan.

''Kali ini latihan penembakan udara tidak akan menggunakan roket sebagai sasaran sebaliknya kita menggunakan sasaran yang ditarik oleh pesawat sewa khas," katanya.

Selain itu, ujarnya, eksesais kali ini akan melibatkan penyertaan pesawat pengawasan pantai Beachcraft, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

''Kita juga akan mengadakan simulasi perang bagi membolehkan pegawai-pegawai meningkatkan kepakaran taktikal sebelum melakukan aksi sebenar di laut," katanya.

No comments:

Post a Comment