Sumber: Utusan online
Oleh SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my
MERSING 13 Feb. – Angkatan tentera perlu meningkatkan keupayaan perkhidmatan secara bersepadu dengan memberi fokus mengembangkan potensi serba boleh setiap anggotanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ia boleh dilakukan dengan memberi penekanan terhadap aspek integriti dan saling bekerjasama dalam perkhidmatan ketiga-tiga sayap angkatan itu.
“Sesuai dengan pendekatan ini, Grup Gerak Khas (GGK) terutamanya perlu melalui proses transformasi dengan perolehan aset mestilah berasaskan teknologi terkini di samping pembangunan modal insan yang berkualiti,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berucap semasa melawat Kem Iskandar sempena majlis penganugerahan Beret Hijau Kehormat kepadanya di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Panglima 21 GGK, Datuk Awie Suboh.
Abdullah berkata, pasukan tersebut perlu terus mengekalkan keupayaan untuk diatur gerak dengan tangkas, sentiasa bersedia dan profesional dalam mematahkan ancaman musuh.
‘‘Saya yakin semua ini telah dilatih untuk melaksanakan tugas. Pengalaman saudara dalam peperangan melawan pemberontakan perlu dikekal dan dipertajamkan,” katanya.
Selain itu, Abdullah mengingatkan anggota tentera supaya tidak mengabaikan tugas-tugas sampingan.
Beliau berkata, ia antaranya membantu polis dan pihak berkuasa awam dalam memelihara ketenteraman dan menjalankan operasi anti keganasan dari semasa ke semasa.
“Hubungan baik antara anggota dan pihak berkuasa awam serta agensi kerajaan perlu dikekalkan dan diperbaiki lagi,” katanya.
Abdullah memuji pasukan GGK yang mengharumkan nama Malaysia semasa bertugas di luar negara khususnya di Bosnia dan Somalia sewaktu beliau menjadi Menteri Luar, dulu.
Justeru, beliau menyeru agar pasukan tersebut mengekalkan kecemerlangan yang menjadi kebanggaan rakyat negara ini.
No comments:
Post a Comment