Pages

Wednesday, December 17, 2008

VETERAN ATM-PATAH SAYAP BERTONGKAT PARUH

Oleh: Veteran terasing

Sambutan hari kebangsaan saban tahun menyaksikan persiapan sambutan yang penuh terancang bermula dengan acara-acara sambutan di malam ambang merdeka diikuti dengan perarakan kontinjen dari pelbagai perkhidmatan dan pertubuhan berjalan lalu melintasi pentas kenamaan. Dataran merdeka menyaksikan ribuan rakyat jelata dari pelbagai kaum telah menunggu untuk menyaksikan acara berlangsung seawal pagi.

Penulis teruja dan ingin memfokuskan penglibatan veteran ATM dalam perbarisan tersebut yang mana menggambarkan semangat juang yang jitu walaupun kudrat mereka ada yang sudah tidak mengizinkan untuk berbuat demikian. Ini jelas dilihat ada di antaranya tercicir di tengah jalan kerana sebab yang tersendiri.

Namun penulis tabik dengan penglibatan mereka yang membenarkan kata-kata pujangga ‘Patah sayap bertongkat paruh’. Mereka menghabiskan perjalanan hingga ke garisan penamat perbarisan walaupun mereka telah tertinggal ke belakang. Perjuangan diteruskan jua. Sketsa di atas yang membuatkan penulis merasa terharu dan mahu berkongsi dengan khalayak tentang nasib veteran ATM mengharungi kehidupan arus perdana.

Pengorbanan

Hampir setengah tahun persiapan negara untuk menyambut acara tahunan kemerdekaan. Media Massa , media elektronik malah juga medium siber bagaikan berpesta menyiar dan melaporkankan kejayaan negara sejak 1957. Pembangunan fizikal yang tersergam dikaitkan dengan pengorbanan pejuang-pejuang yang bermandi darah untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah.

Kejayaan bangsa tidak terhitung sepanjang lebih setengah abad, mewah dan mampu memiliki segalanya hasil kemerdekaan yang dicapai. Acara-acara gemilang tidak pernah dikesampingkan untuk meraikan kejayaan atas nama merdeka. Jalur gemilang yang sangat sinonim dengan acara-acara gemilang pra sambutan 31 Ogos setiap tahun terkibar megah di premis, di kenderaan dan di mana-mana. Negara sudah merdeka dan gemilang.

Semua menyebut kemerdekaan negara adalah hasil pengorbanan dan jasa perajurit digembeling dengan peranan besar pemimpin-pemimpin negara masa itu. Maka tercatatlah satu hari dalam kalendar negara diistiharkan sebagai Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai dan disambut dengan aktiviti tertentu bermula seawal pagi dengan perbarisan satu platun kawalan kehormatan ATM untuk mengiringi upacara perletakan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara. Kebanyakan pembesar-pembesar negara hadir untuk turut sama menghayati dan mengingati pengorbanan anggota-anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan negara.

Untuk menyatakan penglibatan rakyat jelata dan memberi peluang kepada mereka turut merasakan simpati kepada perajurit lalu di lancarkan Tabung Rayuan Hari Pahlawan. Maka berduyun-duyunlah rakyat yang perihatin menderma dengan satu kefahaman bahawa hasil kutipan ini akan teragih kepada balu-balu atau yatim-yatim bekas tentera yang terkorban dan sebagainya. Namun masih ramai juga yang bertanya ke mana sebenar terarahnya hasil kutipan tersebut? Apa pun kita tidak perlu prejudis dengan usaha murni ini selama ini kerana penulis yakin ianya sampai ke sasaran.

Hidup Mesti Diteruskan

Memang tidak dinafikan kerajaan banyak membantu dan menghulurkan peruntukan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan persatuan-persatuan. Bantuan pendidikan kepada anak-anak yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan terpilih dan sumbangan wang pendaftaran untuk ke IPTA. Namun ramai yang bertanya bagaimana nasib pendidikan anak-anak veteran yang tidak mencapai tahap kecemerlangan?. Sedangkan ibubapa mereka juga terpaksa berkais pagi demi kelangsungan hidup. Bukan bermakna anak yang tidak cemerlang mesti juga diberi imbuhan tetapi bagaimana nak merencanakan sesuatu supaya ibubapa mereka ini boleh merancang pembentukan akademik atau kemahiran mereka tanpa mempunyai masalah kewangan.

Statistik selalu mengandaikan bekas-bekas tentera semua berjaya meniti kehidupan kerana mereka dibekalkan dengan kemahiran sebelum menamatkan perkhidmatan. Penulis selalu skeptikal dengan kenyataan ini kerana hakikatnya ramai yang kecundang dengan pelbagai sebab dan musibah. Bersaing dalam merebut peluang, ada yang berjaya dan lebih ramai yang terserap dalam masyarakat umum dan terjebak dalam kancah kemiskinan kerada tiada kepintaran dan kekuatan dan keyakinan diri. Kalau semasa di dalam perkhidmatan mereka pernah tercicir dalam persaingan mengejar pangkat, di luar perkhidmatan mereka terpaksa bersaing sekali lagi untuk kelangsungan hidup meraih rezki bersama masyarakat umum yang belum tentu menjanjikan pulangan lumayan yang tetap.

Semasa di dalam perkhidmatan, tiada perkataan ‘tidak berjaya’ dalam sesuatu usaha atau perlaksanaan kerana kemantapan kerja berpasukan di dalam organisasi. Dari Prebet hingga ke Jeneral berganding bahu, tanpa Prebet, Jeneral akan merasa sukar bekerja dan sebaliknya. Kenapa bila berada di pasca perkhidmatan, masing-masing seperti ‘enau dalam belukar’. Jeneral menaungi pelbagai sektor korperat bertaraf gergasi dan tidak mahu lagi memandang ke bawah melihat bekas-bekas anak-anak buah mereka sama-sama berjuang dahulu yang kini mengharapkan PBTM menghasilkan sesuatu. Tak ramai para Jeneral yang mahu berjuang melalui PBTM untuk merangka sesuatu seperti dalam perkhidmatan dahulu demi sabordinat yang memangkin mereka menyandang jeneral.

Ada JHEV di peringkat negeri dan PBTM di setiap daerah yang menaungi mereka tetapi ahli-ahli bertebaran seperti anak-anak ayam kehilangan ibu. Organisasi PBTM masih belum berupaya atau terlalu sibuk memikirkan agenda sendiri daripada memikirkan agenda berpasukan seperti dalam perkhidmatan.

Ramai Veteran tentera masih memerlukan tongkat untuk sama-sama merasai nikmat kemerdekaan yang mereka cipta dan ukir sedari awal detik kemerdekaan, zaman konfrontasi dan insugensi. Jika diselarikan dengan objektif PBTM ‘untuk menjadi sebuah organisasi yang berwibawa serta berpengaruh ke arah pembangunan dengan menjadi sebuah organisasi yang berdaya maju, progresif dan inovatif dan juga menjadi sebuah organisasi yang berkemampuan dari segi kewangan’, rasanya jika dirujuk dengan usia PBTM menjangkau 87 tahun, warga veteran atau bekas tentera tidak perlu lagi berada dalam golongan ‘meminta’ malah sudah mampu menjadi atau berada dalam golongan ‘memberi’.

Penutup

PBTM sebagai satu badan yang diberi kuasa untuk mewakili bekas tentera serta tangungan mereka kelihatan hanya mampu menjadi penyampai suara-suara bekas tentera, terlalu jauh untuk diharap menjadi penjana ekonomi ahli-ahli berdaftar. Walaupun PBTM adalah merupakan badan sukarela namun objektif yang terbentuk mesti diperjuangkan supaya PBTM dilihat kredibel di mata ahli malah menjadi contoh kepada persatuan- persatuan lain dalam menjaga kebajikan anggota.

No comments:

Post a Comment