Pages

Monday, November 24, 2008

Persediaan negara hadapi perang zaman moden

Sumber: Utusan online
Oleh Raja Syahrir Abu Bakar


DI dalam dunia yang bersifat global tanpa sempadan kini, maklumat-maklumat penting keselamatan kini semakin terdedah kepada musuh jika tiada tindakan bijak diambil.

Jika dahulu kebanyakan maklumat tersebut hanya dicari, 'dibeli' dan 'dicuri' daripada individu-individu tertentu, kini ia boleh diakses hanya dengan menggunakan hujung jari iaitu menerusi Internet.

Jadi mampukah rahsia kerajaan khususnya berkaitan keselamatan dilindungi daripada musuh-musuh dari dalam dan luar negara pada zaman moden ini? Jika ya, sejauh manakah tahap ia dikatakan selamat?

Persoalan-persoalan ini menuntut agensi-agensi perisikan negara memantapkan pasukan masing-masing bukan hanya daripada segi kesiapsiagaan modal insan, malah dengan perolehan peralatan terkini bidang tersebut.
MOHD. Salleh Ismail bertanyakan sesuatu
kepada anggota KRD yang menyertai
kempen derma darah sempena Perbarisan
Hari Ulang Tahun Ke-39 KRD,awal bulan ini.

Gajet-gajet canggih yang dimiliki sesebuah pasukan risik mampu melindungi maklumat penting pertahanan tanah air daripada jatuh ke tangan musuh.

Lebih penting, ia mampu menembusi sistem data musuh atau ancaman tertentu yang semakin hari semakin sukar dijangka bentuk dan impaknya.

Menurut Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Salleh Ismail, yang kini sedang bercuti bersara, Malaysia memerlukan lebih banyak aset canggih dalam menghadapi hari mendatang.

"Dengan adanya aset canggih seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan satelit pencerapan bumi atau remote sensing, maklumat boleh dikumpul dengan lebih tepat.

"Ini seterusnya membolehkan anggota-anggota risik mengkoordinasi maklumat yang diperolehi, seterusnya menjayakan sesebuah misi,'' katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Ulang Tahun Kor Risik Diraja (KRD) Ke-39 di Kem Sungai Buloh, Selangor pada 7 November lalu. Hadir sama, Asisten Ketua Staf Perisikan, Brigedier Jeneral Datuk Dahari Hussin dan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Hadi Hussin.

Benar, ancaman-ancaman yang dihadapi negara-negara bangsa di dunia kini lebih bersifat tidak konvensional seperti kegiatan pengganas, lanun dan masalah-masalah alam sekitar yang semakin meruncing.

Ancaman lain yang turut semakin ketara dewasa ini pula antaranya ialah peperangan elektronik (electronic warfare) dan keselamatan siber (cyber security).
Justeru, perolehan peralatan canggih yang disebutkan Mohd. Salleh tadi terbukti berupaya melindungi keselamatan negara-negara pemiliknya dengan penyaluran maklumat yang menyeluruh dan tepat.

"Koordinasi yang berkesan di antara agensi-agensi perisikan negara pula membolehkan maklumat-maklumat yang didapati digembleng agar gambaran keseluruhan sesuatu perkara atau ancaman itu dapat ditafsir dengan baik,'' tambah Mohd. Salleh yang juga bekas Pengerusi KRD.

Sebagai Pengerusi KRD dan ketua pasukan risik ATM atau nama rasminya Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), tugas yang pernah dipertanggungjawabkan ke atasnya termasuklah memastikan data-data yang diperolehi dianalisis dengan tepat.

Tugas ini memerlukan petugas-petugas BSPP dan KRD mempunyai tahap pemikiran yang amat kritikal agar maklumat-maklumat tadi tidak tersalah tafsir bagi mengelakkan padah.

Oleh itu beliau menegaskan, kecekapan akal para pegawai dan anggota BSPP dan KRD adalah amat mustahak berbanding kecanggihan teknologi namun kedua-duanya tidak dapat dipisahkan.

Sepanjang pertemuan dengan pemberita pada pagi Sabtu tersebut, Mohd. Salleh terus bercerita tentang peri pentingnya sistem perisikan yang mantap.

"Saya tidak mampu lagi menerangkan tentang betapa pentingnya sistem perisikan yang baik serta kepayahan melaksanakannya.

"Kalau anda mengikuti berita semalam, selepas sahaja Barack Obama diundi sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), taklimat pertama yang disampaikan kepadanya adalah taklimat perisikan,'' katanya bersungguh-sungguh dan penuh makna.

Seperti yang diketahui umum, AS merupakan antara, kalau tidak negara paling berkuasa di dunia dalam hal perisikan keselamatan.

Remote sensing, GIS, pesawat radar amaran awal (AEW&C) dan lain-lain aset perisikan telah menjadi permainan negara kuasa besar itu sejak sekian lama, antara faktor yang menjadikan ia 'superpower' tunggal dalam era moden ini.

Berbalik kepada teater domestik, ATM sehingga kini masih menunggu perolehan pesawat AEW&C untuk berkhidmat di dalam inventorinya.
Dalam acara 'Sehari Bersama Media Sempena Ulang Tahun Ke-75 ATM' di Banting Sabtu lalu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal ada menyebut tentang keperluan pesawat AEW&C dalam memastikan keselamatan kawasan perairan negara.

Khabarnya, ATM memerlukan lapan buah pesawat jenis itu yang berupaya mengesan pesawat musuh dari jarak beratus-ratus kilometer, serta mampu 'mengunci' sasaran berkenaan bagi membantu juruterbang tempur memusnahkan ancaman tersebut.

Abdul Aziz menambah, walaupun peruntukan perolehan itu diminta untuk dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan masih lagi mempertimbangkannya.
"Justeru ATM akan terus berusaha mendapatkan peruntukan (AEW&C) dalam RMK-10 atau RMK-11,'' katanya.

Bagi warga ATM, penggemar dan pemerhati landskap pertahanan dalam negara, sudah pasti mereka tertanya-tanya 'bilakah negara bakal memiliki pesawat AEW&C?'

Kembali kepada risik ATM dan Mohd. Salleh, beliau kini sedang bercuti bersara dan tugasnya sebagai Ketua Pengarah BSPP kini dipangku oleh Abdul Hadi.

No comments:

Post a Comment