Pages

Monday, November 24, 2008

PAC buktikan kemampuan

Sumber: Utusan online
Oleh : ZAINI RABAN


JAMBATAN Datuk Sagor dan Jambatan Sultan Yusoff di Seberang Perak yang begitu penting kepada penduduk setempat, tiba-tiba ditawan musuh.
Keadaan itu menyebabkan kehidupan orang ramai yang kebanyakannya terdiri daripada pesawah padi dan pengusaha ladang sawit mula tersepit dan terancam.
Malah, nyawa penduduk juga diancam oleh musuh ekoran kejadian itu.


Menyedari mengenai insiden bahaya tersebut, pihak atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat keputusan untuk merampas kembali dua buah jambatan berkenaan.

Tugas merampas semula jambatan itu daripada tangan musuh amat penting bagi memastikan sistem perhubungan atau komunikasi darat dapat pulih seperti sediakala.

Setiap kali kejadian seumpama itu berlaku, pasukan tentera pertama yang pasti dipanggil menyelamatkan keadaan ialah anggota terlatih Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) daripada 10 Briged Para. Buat permulaan, pasukan tersebut menghantar satu kumpulan elit terdiri daripada 20 anggota dari Kompeni PANDURA bagi menjalankan tugas risikan dan mengenal pasti kedudukan musuh. Bagi mengelak dikesan musuh, anggota Kompeni PANDURA tersebut dibawa menggunakan pesawat CN 235 dan diterjunkan dari paras ketinggian kira-kira 6,000 kaki tepat pada pukul 3 pagi.

Apa yang membanggakan, dalam keadaan kritikal itu, anggota Kompeni PANDURA terbabit begitu cekap dalam menjalankan tugas malah berjaya mendarat dengan selamat dalam keadaan gelap gelita.

Sebaik sahaja mendarat, mereka dengan pantas berpecah kepada dua kumpulan seterusnya melakukan tugas risikan serta penyusupan bagi mengenal pasti kedudukan musuh di kedua-dua jambatan tersebut.

Dalam tempoh singkat, mereka akhirnya mendapati musuh berada 18 kilometer (km) di sebelah utara (Jambatan Datuk Sagor) dan 20km di sebelah selatan (Jambatan Sultan Yusoff) dari DZ Gaya atau tempat mereka mendarat.
Selepas berjaya menjalankan misi tersebut, sebahagian pasukan elit berkenaan memulakan tugas membuat penandaan Zon Guguran bagi dua kelompok tempur 10 Briged Para yang akan diatur gerak melalui Operasi Paracut.

Ia semata-mata bagi memastikan kawasan tersebut selamat untuk dijadikan Zon Pengguguran kepada anggota dan peralatan berat PAC 10 Briged Para.
Tugas itu sangat penting kerana jika terdapat ancaman musuh, pesawat pejuang udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan ‘diundang’ terlebih dahulu bagi mematahkan ancaman lawan.

Setelah segalanya berjalan lancar, tepat pukul 9 pagi keesokan harinya, sebanyak 480 anggota PAC 10 Briged Para pula dihantar dengan menggunakan tiga pesawat pengangkut C130.
Dalam keadaan seperti itu, mereka yang dihantar menggunakan pengangkutan udara adalah pasukan tentera paling pantas untuk tiba di medan peperangan berbanding pasukan lain.
Tidak dapat dinafikan, dari paras ketinggian kira-kira 1,000 kaki, mereka berjaya mendarat dengan kemas tanpa sebarang masalah dalam tempoh beberapa minit.
Kelompok tempur 10 Briged Para kemudian berpecah kepada dua pasukan dan menuju ke Jambatan Datuk Sagor dan Jambatan Sultan Yusoff sepantas yang boleh tanpa mengira keadaan cuaca siang dan malam.

Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka tetap berada di situ kerana perlu ‘menyambut’ ketibaan peralatan dan kenderaan perang yang juga dilepaskan melalui udara.
Bagi memastikan misi itu berjaya, kenderaan dan peralatan yang dibekalkan kepada mereka ialah penarik meriam bersama meriam 105 milimeter (mm) PH serta G. Wagon iaitu kenderaan bersenjata mesingan 12.7 mm.

Pada masa sama, mereka juga membawa bersama kenderaan Supacat 6x6, pembawa mortar dan lapan laras mortar 81mm.

Kesemua peralatan berkenaan amat penting bagi memberi tembakan bantuan dan amat berkesan menewaskan tentera musuh dengan kuasa tembakan yang diberikan.
Sebagai contoh, meriam 105mm boleh melancarkan peluru meriam dari jarak 8 hingga 10km dan ini memudahkan dua kelompok tempur tersebut bergerak ke hadapan membuat serbuan.
Ketibaan jentera dan peralatan berat itu ternyata meyakinkan dua kelompok tempur terbabit yang telah bersiap sedia dan hanya menunggu masa memulakan serangan.
Justeru, tepat pukul 5 pagi keesokan harinya, serangan ke atas musuh dilancarkan secara habis-habisan tanpa sekelumit rasa gentar anggota-anggota terbabit.
Selepas hampir satu jam bertempur, pihak musuh akhirnya ditewaskan dan menyerah kalah kepada pihak tentera.

Maka, secara tidak langsung Jambatan Datuk Sagor dan Jambatan Sultan Yusoff yang amat penting bagi kehidupan penduduk setempat itu juga berjaya ditawan semula oleh PAC 10 Briged Para.

Misi berjaya!

Begitulah sedikit sebanyak gambaran yang dapat penulis nukilkan bagi tatapan pembaca setelah mengikuti Eksesais Gerak Pantas Siri 17 2008 bagi PAC 10 Briged Para.
Eksesais yang bermula 14 hingga 21 November di Kota Setia itu dilaksanakan dengan cemerlang di bawah pimpinan Pemangku Panglima 10 Briged Para, Kolonel Hasagaya Abdullah.
Secara keseluruhannya, latihan tersebut cukup mencabar minda dan fizikal hampir 1,000 anggota terlatih.

Melihat kejayaan mengagumkan itu, penulis berani membuat kesimpulan bahawa pasukan PAC 10 Briged Para adalah barisan awal pertahanan negara yang mampu bergerak pantas dan cekap pada bila-bila masa.
Pencapaian cemerlang pasukan tersebut memang amat dituntut oleh ATM kerana sebarang kegagalan hanya akan memberi kesan negatif kepada pelan keseluruhan dalam sesuatu peperangan.

No comments:

Post a Comment