Pages

Saturday, September 27, 2008

BRIGED SEMPADAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Sep 2008
Oleh: Hamzah hd.

DETIK PERMULAAN

Berdasarkan komitmen dan iltizam yang dipamirkan selama 29 tahun Batalion Infantri Siri 300 Askar Wataniah (Bn. Inf. Siri 300) melaksanakan tanggung jawab dan amanah mengawal sempadan utara Semenanjong, pelbagai pihak merasakan kewajaran supaya khidmat bakti Batalion ini dihargai.

Justeru itu tarikh 12 Jan 2008 telah menjadi satu tarikh bersejarah terpahat di dalam kalendar Tentera Darat (TD), kerana kerajaan memberi pengiktirafan kepada pasukan ini dengan penyerapan semua pegawai dan anggota ke dalam sebuah lagi cabang perkhidmatan Infantri iaitu Rejimen Sempadan (RS) menjadikan Kor TD yang ke 16. Majlis pengistiharan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dalam satu majlis pada 09 Feb 2008 di Batalion Pertama RS Tanah Merah Kelantan. Langkah penubuhan RS adalah satu wahana untuk merealisasikan aspirasi keselamatan di kawasan sempadan negara.

Tindakan Susulan Peningkatan

Tanggal 25 Julai 2008, bertempat di Kem Oran, Kangar Perlis, satu lagi istiadat berlangsung iaitu mengistiharkan Status Operasi Markas Briged Sempadan (MBS). Upacara pengistiharan ini telah di sempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Seri Muhammad Ismail bin Haji Jamaluddin.

Majlis bermula dengan Istiadat Perbarisan yang terdiri daripada 8 orang Pegawai dan 151 orang anggota Lain-lain Pangkat serta turut dihadiri oleh Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor, Panglima 2 Division, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Noor bin Daud dan Panglima-panglima Formasi, Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai dan anggota.

Upacara dimulakan dengan menandatangani Sijil Serah Terima Batalion Rejimen Sempadan daripada 2, 6 dan 8 Briged Infantri kepada Briged Sempadan.

-Panglima Briged Ke 2 Infantri, Brigadier Jeneral Zulkifli bin Mansur telah menyerahkan Batalion Ke 3 dan Ke 4 Rejimen Sempadan kepada Kolonel Adnan bin Ariffin selaku Pemangku Panglima Briged Sempadan (BS).

-Panglima Briged Ke 6 Infantri, Brigadier Jeneral Dato’ Fadzil bin Mokhtar telah menyerahkan Batalion Ke 5 Rejimen Sempadan kepada Pemangku Panglima BS.
-Panglima Briged Ke 8 Infantri, Brigadier Jeneral Azizan bin Mat Deli telah menyerahkan Batalion Pertama dan Ke 2 RS kepada Pemangku Panglima BS.

Seterusnya upacara menaikkan bendera MBS dan bendera Batalion-batalion Sempadan dan diikuti dengan upacara menandatangani Plat Pelancaran MBS oleh Panglima TD sebagai acara kemuncak.

Kesinambungan Mandat

Kemakmuran yang sedang dinikmati hari ini adalah hasil usaha dan jerih payah generasi dahulu. Dengan usaha-usaha berterusan, maka rakyat hidup dalam keadaan harmoni dan selesa. TD mengekalkan kesinambungan kesejahteraan ini berganding bahu dengan ikrar bagi menjamin untuk mempertahankan keamanan dan kedaulatan supaya kualiti hidup rakyat kekal kondusif dan makmur.

Komitmen berterusan TD, sebagai benteng dan tulang belakang pertahanan negara dengan meneruskan misi order of battle nya telah mengorak langkah dengan mengaktifkan kepada status operasi BS. dengan menurunkan kuasa untuk melaksanakan peranan dan tugasnya sebagai sebuah ketumbukan BS bagi menjamin keselamatan di kawasan sempadan darat negara.

Nukleas asas BS yang telah ditubuhkan pada tahun 2006 telah diberi nafas baru pada awal 2008 dan kini kerajaan sekali lagi merestui segala perencanaan dengan mengistiharkan MBS sebagai sebuah Briged yang berstatus operasi. Dengan ini MBS diberi keupayaan oleh TD untuk merancang, melaksanakan operasi dan latihan serta mentadbir dan juga mengurus keperluan logistik sesuai dengan peranan dan tugasnya.

Batalion-batalion RS yang diletakkan di bawah perintah operasi Briged-briged Infantri sebelum ini telah diambil alih oleh MBS. Ini bermakna Rejimen ini akan melaksanakan tugas menjaga keselamatan sempadan daratan negara dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat TD untuk mempunyai satu pasukan keselamatan sempadan yang lebih khusus, fokus dan teratur. Cabaran ini akan berhasil hanya dengan perancangan yang komprehensif serta dizahirkan perlaksanaannya dengan penuh komitmen oleh semua peringkat. Walaubagaimanapun, saluran pemerintahan MBS kekal di bawah Markas 2 Division yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Selain daripada itu, pemerintah tertinggi TD turut memberi gambaran tentang proses pemodenan untuk mempertingkatkan pengawalan sempadan di masa hadapan akan dilengkapi dengan bantuan radar surveillance, alat pandang malam (NVG), unmanned aerial vehicle (UAV) dan sebagainya, dalam usaha memberi jaminan supaya tahap keberkesanan pengawalan sempadan dapat dioptimumkan.

Meninjau kepada senario keselamatan dewasa ini telah menunjukkan indek jenayah yang semakin meningkat menjadikan usaha dan perancangan ini sangat relevan, tepat pada masanya dan harus disegerakan. Makanisma atau kaedah teknologi masa kini sebagai alat bantu dan nilai tambah kepada keupayaan pengawalan dijangka akan memberi impak yang lebih besar ke arah keberkesanan.

Langkah pengoperasian Rejimen ini juga dirancang untuk dilaksanakan di sempadan negara di Malaysia Timur. Ini selaras dengan usaha kerajaan yang sedang merancang untuk mengusir dan ‘membersihkan’ Pendatang Tanpa Izin (PTI) dari bumi Sabah dan menentukan sedaya mungkin kemasukan kembali mereka melalui sempadan darat tidak berlaku lagi.

Persediaan

Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, isu keselamatan negara samada bermula dari garisan sempadan daratan atau pun sempadan lautan merangkumi setiap inci tanah jajahan samada bandar maupun desa adalah menjadi tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap warganegara. Segala unsur-unsur yang boleh memudarat dan mencemarkan kedaulatan dan keselamatan, jika tidak dijaga dan dipertahankan, suatu hari kelak akan menjejaskan keharmonian dan kualiti kehidupan semua warganegara itu sendiri.

Kesan daripada pengabaian dan ketidakpedulian tentang hak dan kedaulatan akan mengakibatkan kehilangan kepada suatu pemilikan tanah jajahan yang merupakan maruah kepada sesebuah negara. Dalam konteks lain, kesan daripada pengabaian penjagaan sempadan juga turut mencetus satu suasana tidak harmoni di dalam negara. Ini adalah kerana pembiakan aktiviti-aktiviti pencerobohan dan lintas sempadan seumpama penyeludupan dadah, senjatapi dan juga kemasukan PTI telah membibitkan pencemaran keselamatan yang mana bukan sahaja kesempatan sebegini diambil oleh orang luar malah rakyat sendiri yang menjadi dalang utama yang mencetus ketidakharmonian dalam negara..

Justeru itu, pengemblingan proaktif agensi-agensi keselamatan negara, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan Imigresen memerlukan idea-idea baru yang lebih kreatif di samping mempertingkatkan usaha dan sentuhan bagi menafikan segala bentuk aktiviti yang telah banyak mendatangkan masalah.

Suatu reka bentuk berupa kerjasama jangka panjang antara RS dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dengan pembentukan satu ketumbukan bersama dan melakukan pengawalan terkordinasi mungkin boleh menghasilkan suatu dimensi penguatkuasaan kawasan sempadan yang efisyen dan dinamik. PERAJURIT

Wednesday, September 24, 2008

RSM PERTAMA TD KEMBALI KE RAHMATULLAH


Bekas PW1 RSM Ahmad Mohd Alim atau Pak MAt Joe telah kembali ke rahmatullah pada 21 sep 2008 jam 1.50 petang di Hospital Jitra. Allahyarham yang lahir pada tahun penubuhan Malaysia dan penubuhan RAMD/TD/ATM dan kembali ke rahmatullah pada saat TD menyambut Jubli Intan penubuhan.
Menurut isteri Allahyarham, Puan Salbiah Salleh 45, beliau mengalami kepenatan sebelum dibawa ke hospital. Sebelum ini Allahyarham juga mengalami komplikasi darah tinggi dan diabetis.

Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampong Manggis Yan Kedah pada 22 sep 2008. Upacara perkebumian diuruskan oleh 6 RAMD yang berpengkalan di Kepala Batas.

Allahyarham bersama pegawai-pegawai RAMD sempena sambutan Jubli Intan RAMD di Stadium Darul Aman Alor Star.

-ALFAATIHAH-

Tuesday, September 23, 2008

PREBIU PERAJURIT OKTOBER 2008

Sumber: Forum Gempurwira.com



-Perutusan Khas Panglima ATM

-Wawancara Eksklusif bersama Panglima ATM

-Wawancara Eksklusif bersama Pengerusi RAD

-Pertahanan Udara

-AMPV

-Eksklusif RSAF Empat Dekad - laporan dari Paya Lebar AB

-Eksklusif ACMS SAF

-Perolehan Aset Dalam Kemurungan Ekonomi

-Swiss Arms 553/GL5340

-Sistem Pertahanan Udara Negara

-EKO COBRA

-Ideologi Komunis Masih Ada?

-BTMP-84

-Model oleh Naza Model Art

Monday, September 22, 2008

2008- JUBLI INTAN DAN JUBLI EMAS DISAMBUT SERENTAK

Oleh: Hamzah hd.
Sumber: Majalah Perajurit edisi Sept 2008

Tanggal 01 Mac 1933 adalah tarikh penubuhan Tentera Darat dan 15 Julai 1958 pula ialah tarikh DYMM Al Sultan Mu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah menaiki tahta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman yang juga selaku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Dua tarikh keramat yang sentiasa menjadi ingatan kepada dua institusi yang berbeza tetapi mempunyai titik pertemuan kepada identiti bangsa Melayu sekali gus mengesahkan kedaulatan dan ketuanan bangsa yang mula bertapak, berusaha membangun, menjaga dan mempertahankan bumi ini dengan darah dan air mata.

Tahun ini (2008) genap 75 tahun usia RAMD dan 50 tahun usia pemerintahan Tuanku Sultan yang mana sambutan Jubli Intan dan Jubli Emas berlangsung dengan komitmen kedua-dua belah pihak sepanjang tahun bermula dengan Majlis Pelancaran Jubli Intan RAMD oleh Kolonel Yang Dipertua pada 17 Jan 2008. Manakala pengistiharan sambutan Jubli Emas pemerintahan Tuanku Sultan pula berlangsung dalam suasana yang penuh gemilang pada 15 Julai 2008.

Sejarah Ringkas

Penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) 75 tahun yang lalu, yang juga permulaan kepada angkatan tentera darat keseluruhannya adalah tercetus dari kesedaran Raja-raja Melayu dengan pengambilan 25 orang anak melayu yang dilatih di dalam kompeni percubaan yang menjadi pemangkin kepada keunggulan dan kegemilangan tentera darat hari ini.

Ianya diperteguhkan dengan limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong melantik Raja-raja Melayu menaungi
Unit-unit selaku Kolonel Yang Dipertua. Pada 23 Sep 1975, Al Sultan Mu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah Sultan Kedah Darul Aman berkenan mengambil alih selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD yang kedua menggantikan DYMM Sultan Abu Bakar Ri-ayatuddin Al-Muadzam Shah yang menaungi RAMD sejak 11 Sep 1959.

Ikatan dua institusi ketenteraan dan Diraja ini terlalu sinonim bukan sekadar sebagai simbol
kedaulatan dan ketuanan Melayu malah jalinan warisan turun temurun yang berfungsi seperti aur dengan tebing yang saling menguatkan antara satu sama lain. Jalinan yang mesti dipertahankan sampai bila-bila dan bertanggong jawab mematahkan jika ada usaha yang cuba mempersenda dan mempertikai soal kedaulatan negara dan ketuanan bangsa.

Acara Sambutan

Sambutan Jubli Emas sempena pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Mu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah Sultan Kedah Darul Aman selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD telah berlangsung istiadat penuh gilang gemilang mengikut tradisi kesultanan Raja-raja Melayu.

Baginda merupakan payung mahkota yang menjadi idola dan kebanggaan rakyat jelata telah menaiki tahta 50 tahun yang lalu setelah kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan
Badlishah. Di dalam sejarah kesultanan negeri Kedah, baginda merupakan Sultan yang keempat yang menyambut Jubli Emas pemerintahan ketika berada di atas tahta.

Perarakan kali ini bermula dari perkarangan Wisma Darul Aman hingga ke Balai Besar berhadapan dengan Mesjid Zahir Alor Star dengan menyaksikan ribuan rakyat jelata dari pelusuk daerah untuk sama-sama meraikan suasana yang penuh warna warni.

Baginda Sultan dan Sultanah Haminah di arak dengan menaiki ‘Bahtera Emas Lapis Suasa’ serta diiringi oleh pancaragam sekolah, tiga ekor gajah yang didatang khas dari Kelantan, Pasukan Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kontijen Pegawai Tadbir Negeri, Hulubalang Diraja dan ribuan lapisan masyarakat yang berbaris di sepanjang jalan laluan perarakan.

Setiba di pentas Diraja, Baginda diberi Kawalan Kehormatan oleh Batalion 19 RAMD (Mekanise)
yang berpangkalan di Sungai Petani. Kawalan Kehormatan bersama panji-panji yang diketuai oleh Mejar Zaidi bin Omar seramai 103 orang anggota lain-lain pangkat beserta 3 orang pegawai. Di pentas Diraja baginda menerima tabik hormat dengan diiringi lagu ‘Allah Selamat Sultan’ serta tembakan meriam istiadat sebanyak 50 das sebagai simbolik pemerintahan baginda selama 50 tahun. Pancaragam Pusat RAMD mengiringi sepanjang upacara tersebut berlangsung manakala tembakan meriam telah dilaksanakan oleh Unit 41 Artileri Istiadat.

Di balai Penghadapan, Yang Berhormat Menteri Besar Ustaz Azizan (Sekarang Dato’ Seri) melafazkan ucapan pengistiharan sambutan perayaan Jubli Emas pemerintahan Sultan Kedah.

Larian Dirgahayu

Dalam peristiwa lain, Larian Dirgahayu dan Projek Jiwa Murni telah berlangsung dengan
penglibatan sejumlah anggota-anggota dan Pegawai-pegawai RAMD. Larian bermula pada 6 Julai 2008 jam 0930H dengan pelepasan serentak di empat laluan iaitu Laluan Utara (Bukit Kayu Hitam), Laluan Barat (Tanjung Dawai), Laluan Selatan (Bumbung Lima), Laluan Timur (Baling). Pelari-pelari memulakan larian seawal pagi secara bergilir-gilir dan membuat pertemuan di sebelah petang bersama warga yang membuat Projek Jiwa Murni selama tiga hari.
Upacara penutup Larian Dirgahayu diadakan di Stadium Darul Aman pada 9 Julai. Baginda Sultan mencemar duli menyaksikan perlawanan akhir Bola Sepak ‘Piala Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah’ bagi tahun 2008 di antara Pasukan Batalion 1 RAMD menentang Batalion 11 RAMD.

Sebelum itu baginda dan hadirin turut disajikan dengan pertunjukan Pancaragam Pusat TD, pertunjukan Terjun Bebas oleh dua puluh lima orang penerjun Pasukan 10 Briged Para. Pengunjung-pengunjung di upacara penutup Larian Dirgahayu sempena Jubli Intan RAMD ini juga turut dihiburkan oleh persembahan Kombo RAMD dan Pameran Statik yang mempamirkan aset dan peralatan Batalion Infantri Standard (BIS), Makanise dan Para. PERAJURIT

Friday, September 12, 2008

MUZIK TLDM-PANCARAGAM PUSAT TLDM MEREALISASIKAN AMANAH

Oleh : Hamzah Hd.

Pancaragam secara definisinya ialah gabungan alat-alat muzik yang dimainkan secara berkumpulan yang mengeluarkan bunyi dan berbagai jenis irama. Keperluan muzik atau lagu dalam kehidupan seseorang manusia adalah sangat besar samada sebagai hiburan atau elemen pembakar semangat. Muzik kontemporari yang bersendikan lagu dan irama sememangnya tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan manusia kerana jalinan irama dan lagu sebagai penenang jiwa kepada sesetengah orang.

Muzik dalam konteks pasukan keselamatan juga tidak dapat dipisahkan kerana keperluannya amat tinggi dan mendesak. Hampir keseluruhan organisasi besar seperti ATM, PDRM, Dewan Bandaraya sehingga sekolah rendah dan menengah pun masing-masing mempunyai kumpulan pancaragam mereka sendiri. Namun peranannya adalah tertakluk kepada visi penubuhan mereka yang tersendiri.

Corp Of Drum

Pancaragam TLDM juga mempunyai sejarah penubuhan dan mengalami revolusi peningkatan yang tersendiri sejajar dengan perkembangan dan pengukuhan angkatan lautnya. Memikirkan untuk memberi perkhidmatan muzik dalam sesuatu acara atau perbarisan, maka lahirlah Corp Of Drum yang berpusat di HMS MALAYA Woodland pada tahun 1964 yang telah diidealisasikan oleh seorang pegawai Tentera Laut British.

Pada peringkat awal penubuhan, pemilihan anggota pancaragam adalah dari kalangan kelasi yang mempunyai minat dan berbakat dalam bidang muzik dan mereka belajar secara bersendirian. Seramai 28 orang anggota telah diberi latihan dengan instrumen muzik asas pancaragam. Bermula dengan aktiviti-aktiviti sekitar pangkalan seperti mengiringi perbarisan di padang-padang kawad dan persembahan pertunjukan kepada ahli-ahli keluarga TLDM.

Pengiktirafan

Sejajar dengan perkembangan, kemampuan dan keperluan TLDM itu sendiri, Pasokan Pancaragam telah dinaik taraf sebagai Pancaragam Pusat TLDM pada tahun 1976 dan diiktiraf penubuhannya pada tahu 1984 dengan mewujudkan perjawatan baru seramai lebih kurang 40 orang anggota yang dilatih secara berperingkat-peringkat dengan kepakaran khusus Pancaragam (PGM). Pemuzik-pemuzik mula diajar secara formal adalah sejak penubuhan sekolah muzik di KD PELANDOK pada tahun 1992.

Sesuai dengan pengiktirafan yang diberi, seorang pegawai dari tentera darat telah dipinjamkan sebagai pengarah muzik yang pertama untuk cawangan Pancaragam TLDM. Pada 1982, Lt Kdr Mohamad Nor bin Othman TLDM telah mengambil alih. Beliau telah menamatkan perkhidmatan dan diganti oleh Lt Kdr Khairel bin Harun TLDM hingga ke hari ini.

Penglibatan

Pancaragam Pusat TLDM kini mempunyai jadual kerja yang amat padat sepanjang tahun. Acara-acara dalam negara seperti perarakan Panji-panji Diraja, Kawalan Kehormatan menyambut tetamu-tetamu kerajaan dari luar negara, pembukaan/penutupan kejohanan sukan, majlis-majlis makan malam pembesar-pembesar negara, perbarisan istiadat pasokan-pasokan intra TLDM khususnya dan membantu keperluan cabang ATM yang lain memenuhi kalendar tahunan.

Jika rakan sepasokan yang lain meninggalkan anak isteri keluar ke perbatasan perairan, mereka juga tidak lekat di rumah memenuhi undangan di serata pelosok tanah air. Semangat sedia berkorban turut digengam sama seperti pasokan-pasokan lain. Misi dan Visi TLDM juga dijiwai dan diserlahkan dengan alunan irama muzik mengiringi derap langkah patriotik. Tanpa mereka, langkah perajurit menjadi sumbang dan tidak seragam. Keseragaman adalah asas ketenteraan.

Penglibatan Pasokan Pancaragam Pusat TLDM bukan sahaja berkisar di dalam acara-acara dalam negara malah paluan mereka telah bergema dalam acara city march di Yokohama Jepun semasa sambutan 50 tahun Japan Self Defence Forces pada 2002. Menjadi duta pelancongan Tourism Board of Malaysia dengan persembahan menarik An Evening Malaysia Truly Asia di Tokyo di samping membuat persembahan di dalam majlis koktel anjuran kapal-kapal TLDM di Republic of Korean Navy dan Manila. Pada tahun 2006 sebahagian daripada anggota terlibat dalam pertunjukan di Brunei Darussalam.

Gubahan

Pada dasarnya peranan Pasokan Pancaragam 
Pusat TLDM dan lain-lain adalah memberi perkhidmatan muzik untuk mengiringi perjalanan atau kawad pasokan kawalan kehormatan atau ketumbukan dalam perbarisan supaya menaikkan semangat anggota dan bertindak untuk menyeragamkan langkah ketika berkawad.

Kebanyakan lagu-lagu patriotik pada asalnya digubah oleh penggubah-penggubah lagu tanahair dan masih diguna pakai hingga ke hari ini. Lagu-lagu berentak march pengenalan khusus untuk sesuatu pasokan seperti lagu ‘Samudera Raya’ ( TLDM), Perwira Angkasa TUDM), Gagah Setia (TDM) dan lain-lain kor masing-masing mempunyai lagu-lagu pengenalan di samping lagu-lagu patriotik ATM seperti ‘Perajurit Tanahair’ dan Tentera Benteng Pertahanan Negara’. Iramanya bukan sahaja boleh menaikkan semangat sewaktu berjalan malah senikatanya juga adalah pembakar semangat supaya tidak gentar untuk mempertahankan tanah air. Walaupun begitu, lagu-lagu pop dan asli dari pelbagai rentak turut digubah semula mengikut kesesuaian sesuatu majlis atau acara.

Cadangan Pembangunan

Keberkesanan sesebuah pancaragam adalah selain dari kemahiran pemainnya, kombinasi instrumen yang mencukupi adalah sangat penting untuk menghasilkan bunyi lagu yang menarik. Sehingga kini boleh dikatakan semua keperluan instrumen muzik mencukupi setelah dibuat 
penambahan dari masa ke semasa sejak pancaragam TLDM berpindah disebabkan penutupan secara berperingkat-peringkat dari Pangkalan TLDM Woodland.

Apa yang penulis perhatikan ialah bangunan penempatan Pasokan Pancaragam Pusat TLDM sekarang adalah tidak sesuai kerana berkongsi bangunan dengan domestik anggota bujang yang mana sudah tentu mengganggu keselesaan mereka. Sebagai sebuah penempatan pasokan pancaragam, bangunan berasingan perlu dibina dengan mengambil kira aspek yang menjurus khusus dengan kesesuaian tempat latihan muzik seperti:

a. Bilik kedap bunyi untuk mengenal pasti keunggulan bunyi yang terbaik terhasil semasa latihan.

b. Bilik latihan individu bertujuan untuk pengasingan kumpulan-kumpulan pemuzik berlatih.

c. Bilik latihan khas untuk pemuzik yang kurang cekap.

Penambahan instrumen seperti Violin, Viola, Cello juga sangat perlu untuk menambah kepelbagaian bunyi semasa bermain untuk majlis-majlis makan malam.

Trend mutakhir, keperluan perkhidmatan muzik sudah menjadi satu kewajipan. Justeru itu dua pasokan Brass Band telah diwujudkan iaitu di KD SULTAN IDRIS (Pusat Latihan Rekrut Tanjong Pengelih) dan KD PELANDOK (Lumut) untuk menangani keperluan semasa di pusat latihan.
Bagi memenuhi keperluan semasa samada dalam acara intra TLDM atau memenuhi acara-acara kebangsaan, Pancaragam TLDM ternyata memerlukan penambahan anggota bagi melicinkan penugasan dan menangani kekangan permintaan semasa.

Penutup

Walau bagaimana pun, atas nama tentera laut, semangat SEDIA BERKORBAN sentiasa dihayati bukan sahaja dengan alunan muzik march tetapi persediaan jati diri, pengisian dan kesedaran setiap anggota PGM adalah sama seperti anggota-anggota lain. Mereka tidak gentar untuk sama-sama memikul senjata untuk menentukan setiap inci bumi tanahair terbela dari diancam atau diganggu gugat oleh penceroboh jika keadaan memerlukan. Mereka bukan sahaja pandai meniup trompet panggilan perang malah mereka juga bersedia untuk berperang.

Monday, September 8, 2008

TATU ATM – HIBURAN ALTERNATIF MAKANISMA PATRIOTIK

Oleh : Hamzah Hd.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di samping giat dengan tugas mempertahankan benteng barisan hadapan pertahanan negara masih mempunyai ruang mengisi keperluan yang menepati tugas-tugas skunder semasa aman. Walaubagaimanapun, aktiviti-aktiviti skunder ini mempunyai kaitan rapat dengan pengisian jati diri dan kemahiran yang memberi nilai tambah kepada keunggulan seseorang perajurit.

Oleh kerana itu ATM melalui cabang-cabang perkhidmatan masing-masing mempunyai pasukan Tatunya sendiri yang mana sering dipertontonkan kepada umum di hari-hari kebesaran negara malah menjadi acara tetap di peringkat antarabangsa yang terbukti menggamit ramai penonton.

Jika Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kemahiran memperaga kawad senyapnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kebolehan bergimnastik, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui unit-unitnya mempunyai variasi kemahiran Tempur Tanpa Senjata (TTS), Akrobatik Wira Merah Polis Tentera, Pertunjukan Kebolehan Anjing Perang dan yang terbaru ditubuhkan ialah Kawad Senyap dari Pasukan Infantri yang mampu menghiburkan penonton dengan aksi-aksi yang jarang dipertontonkan.

Generasi hari ini saban hari melalui pelbagai saluran media disogokkan dengan segala macam hiburan seharusnya ada pihak yang memberi insentif kepada pasukan-pasukan beruniform negara menyediakan slot kemahiran mereka untuk dipertontonkan kepada umum dalam usaha mendedahkan generasi muda dengan unsur-unsur yang lebih patriotik.

Rakyat negeri Kedah khususnya sangat bertuah kerana pada tahun ini genap 50 tahun DYMM Al Sultan Mu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah menduduki tahta pemerintahan. Sambutan Jubli Emas DYMM Sultan turut dikongsi dengan sambutan Jubli Intan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang mana Tuanku Sultan merupakan Kolonel Yang Dipertua.

Menggamit Ramai Penonton

Pada 25 Ogos 2008, kesinambungan daripada acara-acara sambutan bersama yang telah dilaksanakan sepanjang tahun, sekali lagi TDM mengambil iniatif mempersembahkan kebolehan anggota-anggota TD melalui pertunjukan Tatu.

Acara yang bermula pada jam 9.00 malam telah dirasmikan oleh baginda Tuanku. Di antara Dif-dif kenamaan yang turut hadir ialah DYTM Tuanku Raja Muda dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda, YAB Dato Seri Menteri Besar Kedah dan Toh Puan, Pembesar-pembesar Istana, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan Yang Berbahagia Lt. Jen. Dato Wira Zulkifli bin Mat Zin Timbalan Panglima TD.

- Persembahan Pentomin yang digarap dengan kombinasi lakonan masa sebenar dan gambaran slide penghantaran anggota ke lokasi tanggungjawab dengan menggunakan helikopter Nuri dan juga penghantaran keluar mangsa pertempuran telah mencuri perhatian penonton.

Pentomin mengisahkan perjuangan Allahyarham Kapt Zainal Abdul Rashid berasal dari Pantai Remis, Perak. Pada 15 Jul 1976 beliau dan lima anggotanya dari pasokan 17 RAMD melaksanakan tugas gerakan di Gubir Kedah berjaya mengesan sekumpulan 15 pengganas komunis. Semasa mengekori pergerakan mereka, terjadi pertempuran yang telah membunuh dua pengganas komunis dengan tembakan semburan, Kapt Zainal meluru dengan berani ke arah musuh sambil memberi kata-kata semangat agar anggotanya terus berjuang. Di masa itu seorang pengganas wanita yang tercedera telah membaling sebutir grenad dan mencederakan Kapt Zainal.Keberaniannya yang luar biasa dan daya kepimpinannya yang tinggi membakar semangat juang anggota-anggotanya menggempur musuh. Mereka berjaya membunuh enam daripada 15 orang pengganas dan merampas selaras mortar 60 mm, tujuh pucuk repal, peluru, bom dan peralatan lain. Kapt Zainal telah gugur dalam pertempuran itu. Beliau dikurniakan pingat SP pada 1 Jun 1977.

- Pusat Latihan Tempur TD (PULADA) turut mengambil bahagian dengan mempertontonkan kemahiran dan ketangkasan Anjing-anjing Perang dengan beberapa skil terlatih. Peranan utama Anjing Perang di dalam membantu tugas-tugas ketenteraan untuk mengesan dan menjejak musuh tidak dapat disangkal lagi. Pertunjukan kali ini melibat 20 ekor anjing dari jenis Rottweiler dan German Shepherd yang dapat berkerjasama dengan baik semasa pertunjukan ini.

- Sketsa humor turut mengalih perhatian penonton dengan lagak lawak sekumpulan juruteknik-juruteknik dari Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (JLJD) yang mendapat pendidikan dari Institut Kejuruteraan TD (IJED) Port Dickson. Pemasangan kenderaan Formula 3 (F3) yang telah diubahsuai menggunakan Enjin Campro berkapasiti 1600 CC dan mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 200 km/j. Manakala sebuah lagi menggunakan Enjin Model Subaru berkapasiti 1800 CC dan mampu mencapai kelajuan maksima 180 km/j. Kejayaan mencipta kereta F 3 ini adalah hasil sentuhan inovasi daripada juruteknik-juruteknik IJED.

- Gimnas-gimnas TUDM satu-satunya pasokan yang dijemput oleh TD untuk sama-sama mewarnai pertunjukan Tatu TD kali ini dengan mempamirkan akrobatik gimnastik yang bertenaga yang melibatkan 50 orang gimnas.

- Pasukan Akrobatik Wira Merah Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) tidak pernah ketinggalan di mana-mana jua persembahan Tatu TD. Kumpulan Akrobatik Motosikal ini ditubuhkan pada tahun 1963 di Kem Imphal Kuala Lumpur. Pasokan ini menggunakan 29 buah motosikal Modenas Jaguh, 2 motosikal Aprilla, 2 motosikal Trial dan 2 motosikal Suzuki. Aksi-aksi yang dipamirkan menarik perhatian kerana peserta dari pranita juga turut mengambil bahagian. Walaupun aksi-aksi yang ditunjukkan agak merbahaya namun latihan dan komited menjadikan sesuatu aktiviti yang menghiburkan.

- Pertunjukan Tatu TD pada kali ini diakhiri dengan persembahan Pancaragam dari gabungan kesemua pasukan di bawah naungan Markas Divisyen Ke 2 TD. Ianya melibatkan seramai 130 orang anggota mempamirkan kemahiran menggunakan alat muzik dan dipelbagaikan dengan gerakan formal melalui formasi-formasi yang menarik. Mengakhiri program pada malam tersebut adalah pertunjukan bunga api.

Syabas TD

Sesungguhnya tiada bahasa yang lebih indah selain ucapan syabas yang boleh dilontarkan kepada anggota ATM yang selain menjadi benteng pertahanan malah juga menabur bakti melalui program jiwa murni kepada masyarakat, mampu menjadi penghibur alternatif malah sebagai pengaman di peringkat antarabangsa.

Jika diambil kira dari jumlah penonton yang hadir membanjiri Stadium Sultan Abdul Halim Alor Star pada malam tersebut, penulis merasakan bahawa rakyat Malaysia dahagakan hiburan alternatif seumpama untuk mengimbangi hiburan yang melibatkan artis semata-mata. Pertunjukan sebegini juga jika saluran media elektronik turut menyiarkan secara langsung ke seluruh negara secara konsisten mampu menjadikan generasi muda lebih patriotik dan tahu menghargai kebolehan dan kemahiran rakyat sendiri.

Apa yang boleh dilakukan ialah kerajaan-kerajaan negeri perlu menggerakkan usaha ke arah pengemblingan dengan ATM untuk menjadikan acara sebegini berada di dalam kelendar aktiviti negeri masing-masing. Agensi-agensi beruniform yang lain seperti PDRM, BOMBA dan Kementerian Belia dan Sukan juga boleh turut mencipta aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kepakaran masing-masing mengikut kreativiti yang mana mampu menjana minat generasi muda untuk sama-sama menyertai aktiviti-aktiviti yang mencabar keberanian sekali gus membentuk semangat berpasukan dan jati diri yang diperlukan di samping menghindar diri mereka terjebak di dalam aktiviti yang tidak sihat yang semakin hari semakin parah melanda masyarakat muda mudi hari ini.

Masyarakat telah lama mengiktiraf kebolehan dan disiplin anggota ATM di dalam apa jua aktiviti yang dipertanggongjawab kepada mereka. Tidak ada apa yang istimewanya yang ada dalam diri seseorang anggota ATM melainkan kebolehan mereka terbentuk oleh latihan terancang dan konsisten yang masing-masing menjalankan tugas/peranan yang diarahkan mengikut tahap kedudukan mereka. Di atas dasar inilah biar apapun arahan yang diberikan, mereka cuba melakukan sedaya mungkin dan jika diadaptasikan kaedah ini kepada belia-belia bukan tentera pun, mereka mampu melakukan jika ditangani dengan betul. Jika ada seribu daya, tidak mustahil akan wujud seribu hala. Malaysia mesti boleh.

Thursday, September 4, 2008

DECOMPRESSION SICKNESS- SAMAD AKUR DENGAN KETENTUAN TAKDIR

Oleh: Hamzah h.d
Sumber: Majalah Perajurit Edisi Ogos 2008

Ku ambil rumput di ladang
Ku jadikan penyamaran
Rupa elok bertukar menjadi syaitan
Agar tidak mudah dipandang
Bergerak, bertempur
Komando pantang mundur
Biarpun peluru datang menyembur
Komando pantang mundur.


“Lagu ini adalah lagu keramat pasukan komando. Lagu sedemikian di antara lagu-lagu yang menjadi pencetus kepada keberanian kami di pasukan khusus. Kami menyanyi di kala kami rasa susah dan getir ketika menghadapi cabaran yang ternyata boleh membangkitkan kembali semangat yang hilang”. ujar Samad bekas Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang kini sudah 17 tahun meninggalkan perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menghadapi liku-liku kehidupan sebagai seorang Pasukan Khas sebahagian daripada sketsa kehidupan yang sudah menjadi kenangan dalam lipatan sejarah hidup kepada 807798 LK 1 PPP (PASKAL) Samad bin Saad. Beliau dilahirkan di Kampong Rantau Panjang, Klang Selangor pada tahun 1960. Menerima pelajaran asas di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang Klang dan meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad dan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah.

Sebaik tamat persekolahan Samad terus memohon untuk menjadi seorang anggota Tentera Laut. Setelah menjalani pemilihan di Sekolah Sultan Abdul Aziz Kuala Selangor, dia telah terpilih. Pada 9 Jun 1978, sewaktu usia beliau genap 18 tahun, beliau telah memulakan kerjaya pilihan sebagai anggota TLDM. Samad menerima latihan di Pusat Latihan TLDM Sembawang, Singapura yang waktu itu penempatannya masih kepunyaan Malaysia. KD MALAYA yang berada di Woodland merupakan Pangkalan TLDM terbesar dengan sejumlah kapal-kapal menjadikan Malaysia Base Jetty (MBJ) sebagai pusat operasi sementara menunggu Pangkalan Lumut boleh beroperasi.

Permulaan Kerjaya

Setamat kursus asas rekrut selama enam bulan di Sembawang, Samad yang yang telah memilih kepakaran Peperangan Paras Permukaan (PPP) sebagai kerjaya khusus. Kursus persediaan selama enam bulan di Pusat Latihan KD PELANDOK Woodland juga ditamatkan dengan jayanya sebelum menjalani latihan sambil kerja di KD SERI RAJA JAROM iaitu sebuah kapal Landing Ship Tank (LST)- EX USS SEDGWICK COUNTY.

Semasa Latihan Sambil Kerja di KD SERI RAJA JAROM, beliau bersama rakan-rakan yang baru mengenal dunia tentera telah ditempatkan di dalam satu kabin yang dulunya tempat simpanan mayat-mayat tentera yang gugur semasa Perang Dunia Kedua. Satu penempatan yang sangat tidak selesa, tanpa penghawa dingin dan sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan Sebagai anggota dari Cawangan Kelasi, selain daripada mempelajari pelajaran teras dalam aspek persenjataan, mereka dikehendaki juga mendalami hal ehwal Ilmu Kelautan dan dalam masa yang sama membuat kerja-kerja pemuliharaan kapal dan membudayakan Kawalan Kerosakan dan Mencegah Kebakaran di kapal merupakan latihan harian kepada anggota-anggota dalam latihan tanpa kecuali selama tempoh latihan sambil kerja. Cabaran dan tekanan persekitaran membuatkan Samad terfikir untuk mencari jalan keluar.

Idea tercetus bila melihat sendiri tim PASKAL sedang membuat latihan di MBJ dan memerhati dari atas kapal aktiviti PASKAL telah mendorong beliau untuk mengenal secara lebih dekat tentang pasukan elit TLDM ini. Salah seorang yang turut mendorong Samad untuk menganggotai pasukan ini ialah seorang pegawai PASKAL (Allahyarham Lt. Rahmatullah) yang bertugas sebagai Pegawai Persuratan di kapal yang seolah-olah memahami minat anak buahnya. Kebetulannya unit PASKAL memerlukan anggota baru maka peluang ini terbuka luas untuk beliau.

Pada tahun 1980, Samad menyertai PASKAL yang merupakan bac kedua yang telah dihantar ke Surabaya, Indonesia untuk mendapat latihan khas dari pasukan elit Komando Pasukan Katak (KOPASKA) Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TNI-AL). Sebelum beliau dan 21 orang kawan-kawan yang lain di hantar ke Surabaya, mereka terlebih dahulu mendapat latihan intensif di Tapak Latihan PASKAL Lumut sebagai persiapan awal mental dan fizikal di bawah kelolaan tim PASKAL bac pertama. Persediaan ini penting supaya pelatih tidak mengalami kejutan bila dilatih oleh KOPASKA. Mereka semua lulus dan dipakaikan dengan beret Ungu oleh Panglima Tentera Laut (Laksamana Madya Mohamad Zain)

Prosedur pada peringkat awal penubuhan PASKAL agak berlainan kerana setelah ditauliahkan barulah mereka diperlukan untuk melengkapkan pakej sebagai anggota PASKAL dengan sayap penerjunan dan penyelaman. Tidak seperti silibus PASKAL terkini yang menghabiskan pakej latihan sebelum ditauliahkan. Untuk melengkapkan mereka dengan sayap penerjunan, Samad dan kawan-kawan yang lain meneruskan latihan di Pusat Latihan Pasukan Khusus di Sungai Udang Melaka manakala kursus Penyelam dibuat di Sekolah Menyelam KD PELANDOK. Akhirnya berkat kesabaran dan kemahuan yang menjulang. Samad lulus dalam semua ujian dan beliau layak menerima elaun PASKAL sebanyak RM150.00 sebulan.

Samad tidak bernasib baik. Beliau redha dengan takdir yang meletakkan beliau kepada suatu permulaan yang tidak baik yang telah menjejaskan kualiti kesihatan sekali gus menjejaskan perkhidmatan beliau dengan TLDM

Semasa di dalam satu latihan di Pulau Sembilan, beliau telah melakukan kesilapan yang menyebabkan beliau terkena apa yang dipanggil Decompression Sickness- Diver Desease (DCS).

“ DCS ialah kesakitan akibat penyahmampatan (akibat selaman) merupakan gangguan di mana nitrogen yang larut dalam darah dan tisu akibat daripada tekanan yang tinggi membentuk buih apabila tekanan tersebut mula berkurangan. Udara dihasilkan daripada nitrogen dan oksigen. Oleh kerana udara yang berada bawah tekanan tinggi dimampatkan, setiap nafas yang diambil di kedalaman mengandungi lebih banyak molekul berbanding nafas yang diambil semasa di permukaan. Kerana oksigen digunakan secara berterusan oleh badan, lebihan molekul oksigen yang diambil di bawah tekanan yang tinggi selalunya tidak berkumpul. Bagaimanapun, lebihan molekul nitrogen boleh berkumpul dalam darah dan tisu. Apabila tekanan di luar berkurangan semasa penaikan perenang ke permukaan atau semasa menamatkan penyelaman. Apabila tekanan di luar berkurangan semasa penaikan perenang ke permukaan atau semasa menamatkan penyelaman, pengumpulan nitrogen yang tidak boleh di keluarkan dengan segera akan membentuk buih dalam darah dan tisu. Buih-buih ini akan mengembang dan mencederakan tisu atau pembuluh darah dan mungkin juga akan menghalang perjalanan darah dalam kebanyakan organ badan samada secara langsung atau dengan menghasilkan gumpalan darah yang kecil. Pembuluh darah yang dihalang akan menyebabkan kesakitan dan berbagai simtom lain.buih nitrogen juga boleh menyebabkan keradangan, menghasilkan peluh dan kesakitan pada otot, sendi dan tendon.”

Beliau pengsan dan dirawat di dalam kebuk mampat (chamber) KD SRI INDERA SAKTI. Walaubagaimanapun beliau dapat dipulih dan boleh meneruskan tugas seperti biasa namun kesan DCS ini akan menjejaskan kualiti kesihatan untuk jangka masa panjang. Bila menjalani sesuatu latihan yang agak agresif, banyak kali semasa di dalam Unit, beliau mengalami kekejangan otot dan pengsan.

Pada tahun 1982, Samad telah menduduki peperiksaan ulangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam usaha untuk menentukan masa depan yang lebih cemerlang. Selama tempoh itu beliau telah diberi masa sepenuhnya oleh pasukan dengan memberi tumpuan kepada pembelajaran akademik yang di kelolakan oleh Kor Pendidikan Tentera Darat yang berpusat di KD PELANDOK Lumut. Di akhirnya usahanya beliau memperolehi gred dua.

Penyertaan Dalam Operasi

Baru-baru ini rakyat Malaysia merasa sugul kerana diaibkan oleh Mahkamah Antarabangsa (ICJ) dengan memberikan taraf pemilikan Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura. Kepulauan Spratly, walaupun Malaysia telah menduduki kawasan tersebut dengan mendirikan penempatan ketenteraan di Terumbu Layang-layang, Terumbu Mantanani, Terumbu Ubi dan di kawal sepanjang masa namun ianya masih dibayangi tuntutan bertindih oleh Vietnam, Filipina dan juga Brunei.

Peringkat awal pembinaan Stesen Lima di Terumbu Layang-layang merupakan detik-detik peristiwa yang sukar untuk dilupakan oleh Samad sekitar awal tahun 80an. Terumbu Layang-layang sebelum dibina merupakan sebuah pulau batu karang yang timbul semasa air surut dan tenggelam semasa air pasang. Pulau ini dihuni oleh habitat asal burung-burung dari pelbagai spesies Camar.

Beliau bersama anggota-anggota PASKAL yag lain terlibat secara langsung menduduki dan mengawasi perkembangan pulau ini sejak dari awal pembinaan. Tim PASKAL yang berpangkalan di Labuan secara giliran dihantar untuk mengawasi pulau tersebut dengan berbekalkan senjata kecil dan sedikit peluru setiap seorang. Berbekalkan ransum tempur dan kelengkapan asas menguji ketahanan dan kesabaran mereka bertugas dalam keadaan terdedah dengan ancaman samada dari tentera negara yang berkepentingan atau bencana alam seperti ribut dan sebagainya.

Pengalaman dijengah oleh kapal selam Rusia, Kapal-kapal Tentera Laut Filipina, China dan juga Vietnam semasa bertugas sungguh mendebarkan. Tentera mereka menunjukkan kehadiran sebagai membantah penaklukan Malaysia di kawasan yang kaya dengan sumber asli. Walaupun kehadiran ejen-ejen mereka tidak disusuli dengan tindakan agresif tetapi di samping aktiviti mereka yang bersifat mengumpul maklumat perisikan, ada juga kegiatan sabotaj dilakukan semasa ketiadaan pasukan negara di situ.

Dalam keadaan sedemikian, mereka hanya mampu berserah jika diserang kerana dengan kekuatan anggota dan kelengkapan yang ada dan jarak untuk bantuan tiba sudah tentu mereka tidak berupaya untuk bertahan namun cogan ‘komando pantang undur’ menjadi pegangan walau dalam keadaan mana sekalipun.

Tindakan drastik kerajaan waktu itu telah membangunkan Terumbu Layang-layang sehingga bertaraf Pulau dengan membangunkan infrastruktur dan prasarana TLDM di samping pembangunan pelancongan dan hub kajian kepada ekosistem maritim negara. Agensi Kerajaan yang lain seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dengan kerjasama anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Pasukan Khusus Tentera Darat turut terlibat dalam pembangunan Pulau Layang-layang.

Semasa di Terumbu Layang-layang, latihan fizikal adalah aktiviti wajib bagi PASKAL. Sekali lagi Samad mendapat musibah apabila terjatuh semasa menjalani aktiviti ini. Beliau pengsan selama lapan jam dan dirawat di Hospital Labuan dan keadaan beliau ketika itu sangat kritikal dan beliau pernah dimaklumkan oleh kawan-kawan yang melawatnya bahawa harapan untuk hidup adalah tipis. Beliau pasrah sebenarnya. Semua ini berpunca dari DCS.

Semasa konflik di Vietnam meletus, ramai rakyat mereka menyusup keluar dan mencari perlindungan di negara ketiga. Malaysia menerima kesan secara langsung. Angota PASKAL ialah di antara mereka-mereka yang telibat secara khusus dalam operasi menyelamat ‘orang hanyut’ dan membawa ke Penempatan Pelarian di Pulau Bidong Trengganu. Samad di antara yang terlibat secara langsung dalam operasi ini dengan menggunakan bot RCP sebagai bot peronda pantai bersama elemen-elemen TLDM yang lain.

Masalah Kesihatan

Samad terpaksa akur dengan ketentuan, penyakit yang dihidapi kesan daripada DCS telah membataskan aktiviti lasak beliau bersama PASKAL. Beliau telah di turunkan gred kepada lasykar biasa kerana doktor telah mengesahkan kesihatan beliau tidak ‘fit’ lagi sebagai seorang Pasukan Khas.

Selepas itu beliau bertukar ke unit Rejimen Keselamatan yang bertanggongjawab menjaga pintu-pintu gerbang utama Pangkalan-pangkalan TLDM. Dalam masa yang sama, Samad menggunakan kesempatan yang ada untuk terus menjalani rawatan di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) dan rawatan-rawatan tradisional.

Semasa di unit ini, tempoh tamat perkhidmatan (TTP) Samad ke 15 tahun perlu diperbaharui. Tetapi malangnya beliau tidak dapat menyambung perkhidmatan kerana laporan perubatan menyatakan beliau pengidap penyakit darah tinggi. Rayuan demi rayuan kepada pihak atasan dibuat namun keputusan tetap sama. Beliau berpendapat, berlaku sedikit kesilapan semasa menyediakan laporan perubatan yang menjadi penentu kepada keputusan. Dari segi fakta, seseorang anggota yang tercedera atau sakit akibat dari aktiviti perkhidmatan tidak akan diberhentikan kecuali hilang akal tetapi oleh kerana di dalam laporan kesihatan menyatakan beliau mengidap penyakit darah tinggi maka keputusan jadi sebaliknya. Apapun beliau akur setelah berusaha sedaya upaya. Akhirnya beliau balik ke kampongnya di Klang Selangor setelah genap perkhidmatan 13 tahun pada bulan Jun 1991.

Kehidupan Pasca Perkhidmatan

Komplikasi gout, darah tinggi dan darah pekat yang dihidapi menjadikan keadaan kesihatan Samad semakin sukar, Samad meneruskan kelangsungan hidup sekeluarga dengan berniaga tetapi menemui jalan buntu. Takkala keperluan perbelanjaan menyara pelajaran anak-anak semakin tinggi, beliau banyak terlantar kerana lumpuh. Ada juga kawan-kawan seperjuangan yang perihatin dan menguruskan perubatan beliau di Hospital Angkatan Tentera tetapi keadaan kesihatan beliau tidak banyak berubah.

Pada tahun 1999, beliau sekeluarga berhijrah ke kampong isteri beliau di Jitra Kedah untuk terus berubat secara tradisional. Dengan usaha dan sokongan isteri bekerja tanpa mengira penat lelah, banyak membantu beliau meneruskan kehidupan. Masalah beliau telah sampai ke pengetahuan Persatuan Bekas Tentera (PBTM) Kubang Pasu dan di atas usaha PBTM, beliau menjalani pembedahan kedua-dua belah lutut dan dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran. (JHEV). Selepas pembedahan, di samping berikhtiar dengan pelbagai cara, kesihatan beliau agak beransur baik dan kini boleh berjalan walaupun tidak secergas dulu. Fizikal beliau selepas bersara banyak berubah. Kesan DCS menjadikan sendi-sendi kaki dan tangan beliau tidak seperti orang lain. Buih-buih nitrogen yang terperangkap di dalam pembuluh darah membuatkan kehidupan beliau menderita sehingga kini.

PASKAL mengajar Samad menjadi kental walaupun beliau tidak berpendapatan tetap malah dalam kepayahan melayan penyakit kronik, menyara enam orang anak yang masih belajar, dua orang di menara gading, seorang di Sekolah Menengah dan tiga orang di Sekolah Rendah menjadi agenda utama beliau dan isteri. Walaupun anak-anak diberi bantuan asas persekolahan melalui sekolah masing-masing tetapi banyak perbelanjaan keperluan lain yang menuntut beliau dan isteri mencari jalan penyelesaian kewangan untuk sara hidup.

Beliau sekeluarga masih menumpang di rumah ibu mertua yang juga menduduki tanah rizab Sungai. Usaha untuk mendapatkan rumah sendiri masih buntu dan sukar bila membayangkan nasib anak-anak jika dirinya sudah tidak ada lagi di dunia.

Walaupun perkhidamatan beliau hanya separuh jalan namun pengalaman selama tujuh tahun menjadi anggota PASKAL dan lima tahun bersama Rejimen Keselamatan TLDM banyak mengajar beliau erti tabah dan kesabaran. PERJURIT

Catatan Khas:
Kepada pengunjung blog ini terutamanya yang mengenali saudara Samad samada semasa zaman persekolahan atau di dalam perkhidmatan di alu-alukan untuk menitipkan dedikasi perangsang sebagai sokongan moral kepada beliau dan keluarga dan insyaallah Admin akan menyampaikan dedikasi anda dalam bentuk printed sheet kepada beliau. Sila nyatakan dengan jelas siapa anda.Terima kasih.

Monday, September 1, 2008

GALLANTRY IN THE SKY – JUBLI EMAS TUDM

Oleh: Hamzah H.d

Program roadshow Jubli Emas Tentera Udara Diraja Malaysia telah bermula semasa LIMA 2007 di Langkawi dan akan menjadi acara bulanan mulai Jan hingga Jun 2008. Lokasi-lokasi roadshow seterusnya di Kolej Tentera Udara Alor Star pada 25 hingga 27 Jan, diikuti Dataran Merdeka Kota Kinabalu pada 15 hingga 17 Feb, Water Front Kuching pada 21 hingga 23 Mac, Ipoh pada 11 hingga 13 Apr, Kuantan pada 25 hingga 27 Apr, KL Sentral pada 16 hingga 18 Mei dan pada Hari Terbuka Pangkalan Tentera Udara Subang pada 1 Jun 2008.

Tujuan program ini ialah untuk memberi pendedahan kepada orang awam tentang peranan TUDM dalam pertahanan negara sekaligus mempromosi TUDM bagi menarik minat lebih ramai pemuda pemudi Malaysia menyertai angkatan ini. Pengambilan anggota yang dilakukan dua kali setahun merupakan usaha berterusan bahagian Sumber Manusia TUDM bagi memenuhi keperluan semasa dan mengimbangi kekurangan anggota yang menamatkan perkhidmatan saban tahun.

Sejarah Penubuhan

Detik permulaan penubuhan Tentera Udara adalah dari sebuah pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-negeri Selat (SSVAF) pada tahun 1936. Semasa Tentera Jepun menunjukkan ancaman dan menguasai di Kepulauan Melayu pada tahun 1940, SSVAF dibesarkan kemudian ditukar nama kepada Pasokan Sukarela Tentera Udara Malaya (MVAF). Walaupun pasukan MVAF berjaya melarikan diri semasa Kejatuhan Singapura dalam bulan Februari 1942, pasukan ini musnah semasa peperangan di Sumatra apabila berhadapan dengan pasukan udara yang jauh lebih besar dan moden. MVAF telah dibubarkan apabila Pentadbiran British kembali ke Malaya selepas Jepun menyerah kalah semasa Perang Dunia Kedua.

MVAF ditubuhkan semula dalam tahun 1950 untuk membantu operasi-operasi ketenteraan semasa Darurat di Malaya. Unit inilah yang menjadi pemangkin kepada penubuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan Malaya pada 2 Jun 1958 setelah Parlimen meluluskan satu Enakmen yang dikenali sebagai Ordinan Tentera Udara yang memberikan kuasa pembentukan sebuah pasukan dikenali sebagai Tentera Udara Diraja Persekutuan. Seorang pegawai Tentera Udara Diraja British, Komodor Udara A.V Johnston dipinjam khidmat kepada Tentera Udara Diraja Persekutuan untuk mengetuai pasukan tersebut dan menjadi penasihat kepada Kerajaan. Komodor Udara A.V Johnston kemudiannya dilantik menjadi Panglima Tentera Udara yang pertama. Beliau bertanggungjawab mencorakkan rancangan perkembangan dan pengukuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan berserta dengan pengambilan dan latihan kakitangan, aset penerbangan, organisasi dan peraturan-peraturan berkaitan.
Dengan penubuhan Malaysia pada 1963, nama Tentera Udara Diraja Malaya ditukar menjadi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pembangunan Aset

Pembangunan sesuatu entiti tentunya bermula dari sesuatu rentetan peristiwa yang terhimpun menjadikan satu sejarah yang mencetus kepada kejayaan sesebuah entiti. Dari sebuah pasokan yang tertubuh atas kepentingan kolonial kemudian diserahkan atas desakan senario politik semasa anak watan, dipermantap dan diberi nafas baru oleh anak watan yang berjiwa kental didorong oleh kuasa politik yang stabil. Era pasca merdeka, pesawat pertama yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Persekutuan Malaya adalah pesawat pengangkut ringan jenis Scottish Aviation Twin Pioneer yang diberikan nama “Lang Rajawali” (pendaftaran FM-1001) oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan Scottish Aviation Single Pioneer [1958-1967]. Ianya telah digunakan secara meluas membantu Tentera Darat dalam perang melawan insurgensi pengganas komunis. Di antara pesawat-pesawat yang digunakan dalam perkhidmatan TUDM ialah:

Era 60an
- Haviland Dove (1962-1975)
- Cessna 310F (1962-1975)
- De Havilland Heron (1963-1979)
- Handley Page Herald 401 (1963-1976),
- Helikopter Alouette 111B (1963- )
- De Havilland DHC-1 Chipmunk (1964-1972)
- Hunting Percival (Piston Provost) (1964-1972),
- Caribou DHC 4 (1966-1999),- Tebuan (Canadair OL-41G) (1967-1985)
- Helikopter Sikorsky S61A-4 (Nuri) (1967)
- CAC AVON SABRE (F86) (1969-1975).

Era 70an
- Hawker HS-125 (Merpati) (1970-2000)
- Scotissh Aviation Bulldog (1972-1997)
- Bell 47G-5A (1974-1997) - Cessna 402B (1975- )
- Fokker-VFW F28 Fellowship (1975)
-Lock Head- C130H Hercules (975)
- Northrop F5E Tiger 11 [1975]Era 80an
- Lockeed Hercules Pc-130 (1980)
- Northrop F-5F (1981) - Pilatus PC 7 (1983)
- Aermacchi MB 339A (1983)
- Mc Donnell Douglas A-4 PTM Sky Hawk (84-1994)
- Canadair CL-600 Challenger (1984-1989)
- Grumman HU-16 Albatross (1988-1991)
- Marcel Dassault Falcon 900 (1989)

Era 90an
Aerospatial Super Puma (1990
- 1993)- Agusta A- 109C (1990)
- Agusta AS-61N1 (1990)
- British Aerospace Hawk 108 (1994)
- Beach Craft Super King Air B200T (1994)
- MIG 29N Fulcrum (1995)
- Sikorsky S-70 (H-60 Black Hawk ] (1997)
- Mc Donnel Douglas F/A-18D Hornet (1997)
- CN 235- 220M (1999)

Di era 2000 menyaksikan beberapa perolehan Pesawat Pengankutan VIP yang berupaya membuat durasi penerbangan jarak jauh seperti Bombardier BD-700-1A10 Global Express (2002) dan Boeng Business Jet BBJ 737 (2003).


Menjulang Nama

Tahun 2008, genap 50 tahun penubuhan angkatan udara pada awal penubuhannya amat kerdil, kini mempamirkan keupayaan tempur dan kuasa udara yang kredibel dan versatil di rantau ini. Arus pemodenan pesat ATM umumnya juga telah mempamirkan pertambahan bilangan aset seperti pesawat dan juga sistem pertahanan udara. Ini menunjukkan kesungguhan TUDM mempertingkat keupayaan dan usaha berterusan ke arah penambahbaikan dalam institusinya walaupun dengan perolehan bajet negara yang kecil dalam sektor pertahanan jika dibandingkan dengan bajet pertahanan negara-negara serantau.

Manakala perolehan 18 buah pesawat moden Sukhoi Su-30MKM pada tahun ini dengan penghantaran berperingkat menjadi igauan negara-negara serantau yang melihat Malaysia cuba mengadu kekuatan persenjataan kerana perolehan serentak dengan kekuatan tempur Tentera Darat seperti kereta kebal armour PT-91, persenjataan Artileri dan lain-lain malah beberapa perolehan TLDM seperti Patrol Vessel Generasi Baru, Kapal Frigat dan juga Kapal Selam.

Dalam menentukan kesiapsiagaan ruang udara tanahair menyakinkan penghuninya, TUDM membangunkan aset, infrastruktur dan modal insan secara seimbang dan teliti supaya kepercayaan rakyat dan yang paling penting ialah anjakan pengawasan dan pertahanan udara dapat direalisasikan dengan cemerlang sesuai dengan misinya ‘Untuk Mempertahankan Kedaulatan Dan Keutuhan Negara Serta Kepentingannya Melalui Penggunaan Kuasa Udara Yang Berkesan’

Dalam tempoh 50 tahun usia TUDM yang telah diterajui oleh 15 orang Panglima Tentera Udara yang sudah tentu mempunyai gaya kepimpinan yang tersendiri namun visi dan misi TUDM dijana dengan baik dan meyakinkan rakyat keseluruhannya. Fakta ini kita tidak boleh nafikan kerana sejak merdeka TUDM membuktikan telah berjaya mengesan, memintas dan memantau setiap pencerobohan dan provokasi ruang udara oleh anasir-anasir yang berniat jahat. Walaupun provokasi demi provokasi dipintas, dalam usaha menentukan keamanan negara, tindakan agresif ketenteraan tidak pernah disalahgunakan malah semua isu diselesaikan secara diplomasi.

Menjana Modal Insan Cemerlang

Di dalam usaha menentukan kesinambungan masa depan TUDM, aspek pembangunan kebolehan professional modal insan juga telah diberi penekanan kerana perolehan teknikal masa kini memerlukan anggota yang betul-betul berwibawa untuk mengendalikannya.

Untuk membuat persediaan “Right Man For The Right Job”, sel pengambilan anggota/pengawai baru sangat teliti semasa pemilihan dilakukan. Bukan sekadar untuk menampung kekurangan sebanyak dua puluh peratus dari kekuatan sebenar yang diperlukan, malah Sel ini memikul amanah untuk menentukan kemantapan fizikal, kebolehan dan kelayakan akademik yang terbaik seseorang calon diutamakan tanpa kompromi. Aspek ini sangat penting kerana selain menyediakan seorang tentera yang kental dari segi semangat juang, keberanian dan ketahanan, mereka juga memerlukan bijak minda untuk mengendali dan menangani pemindahan teknologi secara menyeluruh dari sistem analog kepada sistem digital. Aset canggih TUDM memerlukan sentuhan teknisyen yang tabah dan kreatif untuk menentukan aset dan peralatan dapat berfungsi ke tahap maksima. Selain keupayaan teknikal, kemahiran seseorang anggota/pegawai memanipulasikan taktikal juga menjadi tunjang kepada keunggulan TUDM. Kebijaksanaan taktikal menjadi pengukur keberkesanan sesebuah pasukan. Atas dasar yang dinyatakan di atas, tiada cara lain selain menyedia dan mencanaikan kebolehan modal insan secara sistematik dan konsisten demi keunggulan sesuai dengan perubahan teknologi.

Untuk menzahirkan hasrat ini, latihan berkala intra TUDM juga latihan intergrasi dengan negara-negara luar telah disusun atur oleh bahagian Operasi dan Latihan TUDM sepanjang tahun seperti Latihan Bersama Lima (Negara-negara FPDA), Latihan Black Pitch (RAAF), Latihan Cope Taufan (USAF), Air Thamal (RTAF) , Malindo Hawk dan lain-lain berserta membina kemantapan intergrasi Angkatan Bersama samada TLDM atau TDM dari masa ke semasa bagi memenuhi keperluan tersebut.

Selain dari itu, nilai keperibadian murni berasaskan iman dan takwa turut diselarikan kerana setiap perjuangan menuntut kesabaran, keikhlasan, berdisiplin dan taat setia kepada agama dan tanahair. Menanam nilai-nilai intergriti yang dewasa ini menjadi nilai teras bagi sesebuah organisasi ke dalam diri setiap lapisan anggota melalui program kepimpinan dan holistik. Pengintergrasian elemen rohani dan jasmani di atas menjadi satu tanggung jawab berat dan bukan mudah untuk dilaksanakan melainkan dengan kerjasama dari semua peringkat warga TUDM untuk merealisasikan kecemerlangan yang menyakinkan.

Kepuasan

Hari ini slogan ‘gallantry in the sky’ telah dipilih yang menunjukan satu pencapaian dan kepuasan memiliki dan mengurus selia segala aset yang dimiliki. Dengan perolehan seimbang aset tempur, peralatan, infrastruktur dan modal insan, TUDM telah mengorak langkah dengan lebih yakin untuk menjanjikan ruang udara negara selamat dan telah bersedia menghadapi segala cabaran dan ancaman mendatang. Apa yang ingin ditonjolkankan kepada umum ialah pelaburan rakyat sebagai pembayar cukai selama ini sangat berbaloi dan telah diterjemahkan ke dalam bentuk membawa keamanan, kesejahteraan dan ketenangan bernaung di bumi bertuah dan berdaulat.

Kebolehan anak watan mengurus dan mengendali pesawat dan peralatan canggih dalam masa yang singkat mendapat pujian dan pengiktirafan negara pengeluar. Ini terbukti dengan aksi-aksi yang telah dipamirkan di dalam road show pertama TUDM LIMA 2007.

Walaubagaimanapun, TUDM masih belum berpuas hati dan terus memburu beberapa lagi kelengkapan dan pesawat samada aset penambahan seperti Early warning Aircraft control Syistem (AEWACS) dan mencari calun helikopter yang mampu mengisi keperluan bagi menggantikan NURI. Apa pun usaha untuk mendapatkan perolehan ini sedang berjalan dan akan diumumkan oleh kerajaan tidak lama lagi.

Dengan pemilikan sebahagian besar keperluan serta aset strategik udara, secara keseluruhannya garapan Visi TUDM ‘Untuk Menyedia, Mengendali Dan Menggerakkan Satu Angkatan Udara Yang Sentiasa Bersedia Dan Berkemampuan Untuk Menonjolkan Kekuatan Kuasa Udara Demi Memelihara Dan Menjaga Kepentingan Negara’ dapat direalisasikan. ‘TUDM SENTIASA DI ANGKASA RAYA’.