Sumber: Majalah Perajurit Edisi Ogos 2007
Oleh : Hamzah h.d
Derap tapak dan degup nadi satria menyelusuri denai-denai dan tebing belantara, menongkah arus deras sungai, menjulang senjata mengatur jejak langkah memburu pertualang negara tanpa mengira padah mengundang jika tersilap langkah. Keamanan agama, nusa dan bangsa agenda utama mereka. Sebaris ucapan dan sekalung penghargaan tidak dapat menghilang hanyir darah yang mengalir. Selagi parut masih ada, airmata mereka saban tahun tergenang bila menyaksikan kemegahan adik-adik generasi pelapis berbaris dan menyanyi lagu semangat.
Penulis sekali lagi berkesempatan menjejak satria unggul yang mempunyai banyak pengalaman dan mahu berkongsi dengan pembaca suka duka kehidupan di alam ketenteraan semuga catatan kecil ini dapat memberi pedoman kepada generasi hari ini untuk terus mara mempertahankan maruah agama, nusa dan bangsa.
Ahmad bin Mohamad Alim atau lebih dikenali dengan nama “Mat Joe” (gelaran yang diberi oleh kawan-kawan semasa beliau berpangkat Koperal yang membawa maksud seorang yang sentiasa periang dan tidak pernah merajuk dengan tanggungjawab) yang kini menetap di No 2E, Taman Bahagia, 06000 Jitra Kedah tidak pernah diam walaupun sudah berumur 74 tahun. Masih giat dengan aktiviti sosial di samping bekerja sebagai Pegawai Keselamatan di sebuah firma. Beliau juga aktif berniaga dan berpesatuan. Sering mendapat jemputan ke majlis-majlis hari kebesaran negeri malah negara.
Agak malang juga dalam coretan ini tiada dilampirkan gambar-gambar kenangan beliau semasa dalam perkhidmatan kerana semua album-album gambar dalam simpanan di rumahnya musnah dalam peristiwa banjir besar di negeri Kedah pada bulan Disember tahun 2005.
Zaman Persekolahan
Lahir pada 1 Julai 1933 di sebuah kampong yang mengambil nama sempena sebuah lubuk ikan sebesar padang bola. Lubuk ini juga dikatakan mengandungi banyak ikan sungai yang menjadi sumber rezki penduduknya. Lubuk Boi yang berada dalam daerah Yan Kedah.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Yan sehingga darjah Lima yang mana ketika itu tahap pencapaian yang sudah boleh dibanggakan. Zaman remajanya dihabiskan dengan berniaga laksa di Alor Star (berhadapan dengan Panggung Empire ). Ahmad bin Mohamad Alim menyahut seruan negara semasa umurnya mencecah 18 tahun. Temuduga terbuka sebagai anggota tentera mempunyai beberapa tapisan sebelum diletakkan di dalam mana-mana pasukan. Ahmad yang mempunyai kelebihan akademik telah terpilih dalam kategori kedua dari tiga kategori pemilihan diserap ke dalam Malaya Royal Airforce Regiment (RAF)
Bermula Episod Suka Duka
Beliau adalah anggota pengambilan kedua RAF memulakan latihan pada 9 Nov 1950 di Changi Singapura selama 5 bulan. Pengambilan pertama RAF rejimen Malaya adalah pada tahun 1947. Beliau diberi nombor 734985 yang mana sehingga hari ini nombor tentera yang berpangkal tujuh dikhaskan kepada tentera udara.
Setamat latihan rekrut iaitu pada tahun 1951, beliau dihantar ke Kai Tak Hong Kong selama satu tahun dan ditugaskan sebagai pengawal landasan kapal terbang.
Balik ke Seletar Singapura pada tahun 1952. RAF Malaya Regiment mengandungi lima skuadron iaitu 91 Skn, 92 Skn, 93 Skn, 94 Skn dan 95 Skn. Aircraftman (AC) Ahmad yang ditempatkan di dalam 92 Skn dengan kekuatan anggota seramai lebih kurang 170 orang telah dihantar bertugas ke Kem Sungai Besi Kuala Lumpur. Kawasan yang sering menjadi sasaran operasi Skn 92 ialah Kajang, Semenyih, Borga, Banting dan Sepang. Pada masa itu pengganas komunis mempunyai kekuatan yang besar di Tanah Melayu. Komunis berkeliaran di mana-mana menyebar doktrin secara sulit menentang British
Kebanyakan anggota platun menggunakan senjata jenis Mark 5 kecuali AC Zakaria yang menggunakan Brand Gun telah bertempur dengan pengganas komunis di Puchong. Dalam peristiwa itu tiga orang pengganas komunis mati ditembak. AC Ahmad ditugaskan memikul pengganas yang mati untuk dibawa keluar dari kawasan operasi.
AC Ahmad seorang yang segak tampan di zaman remajanya dengan bentuk fizikal yang kemas dengan body mass index yang sepadan mempunyai semangat kental yang mempunyai semangat membujur lalu melintang patah sentiasa bersedia menyingsing lengan demi tanah air dan setiakawan pasukan. Dalam operasi di Bukit Kerayong, AC Makmor kawan seperjuangannya telah dirasuk hantu dan lari ke dalam hutan. Dalam keadaan kekuatan mangsa rasukan yang luar biasa, tiada siapa yang berani menghampiri. AC Ahmad memikirkan tiada jalan lain untuk menolong kawan dan pasukan lantas mengejar untuk mendapatkan AC Makmor. Dihimpun segala kekuatan dan keyakinan, satu tumbukan padu ke perut kawan yang sedang dirasuk. AC Makmor terjatuh dan dibawa ke hospital untuk rawatan. 734952 AC Makmor Arif masih hidup hingga kini.
Setamat tugas operasi skn 92 di Malaya, mereka kembali ke Singapura dan seperti biasa AC Ahmad dan rakan-rakan bertugas sebagai pengawal air base.
AC Ahmad juga seorang ahli sukan yang baik pencapaian dalam acara olahraga 440 ela dan 880 ela. Walaupun hampir lima tahun terlibat dengan olahraga, namun katanya tiada kejayaan besar yang dicapai. Walau apa pun jika dikumpulkan ke lima-lima skuadron, ternyata RAF Malay Regiment seringkali mengungguli dalam acara-acara yang dipertandingkan dan menjadi pasukan yang disegani dalam kalangan Tentera Udara British.
Naik Turun Pangkat
Pada tahun 1953, Skn 92 digilirkan sekali lagi ke Malaya. AC Ahmad memang dikenali seorang yang petah bercakap dan tidak akan membazirkan masa terluang dengan mendalami Bahasa Inggeris.. Seorang pegawai Inggeris telah bertanya kepada beliau kenapa beliau cuma ambil mata pelajaran Bahasa Inggeris, tak ambil semua mata pelajaran? Sebenarnya AC Ahmad adalah seoarang yang anti British. Dalam diam disematkan niat untuk menyingkirkan British dari bumi Malaya satu hari nanti.
Dengan kebolehan dan komited dalam tugas AC Ahmad telah dinaikkan ke pangkat Koperal pada tahun 1954 bersama tujuh orang rakan-rakan yang lain tetapi kegembiraan tersebut cuma bertahan selama satu hari dan pangkat beliau dilucutkan balik pada sebelah petang. Ini ekoran dari peristiwa boikot makan terhadap mutu makanan yang disediakan oleh rumah masak yang dirancang oleh beliau dan rakan-rakan. Setelah banyak kali komplen dibuat namun tiada tindakan positif maka boikot makan dilancarkan. Kesudahannya beliau dipanggil menghadap oleh Pegawai Memerintah (Mejar Horserose). Beliau didapati bersalah dan dilucut dari pangkat Koperal kambali ke AC.
Pada tahun 1955 ditugaskan sebagai AMRA sehingga bulan Sep 1955 terpaksa balik kampong kerana tidak boleh menyambong perkhidmatan. Semasa kali terakhir bertemu Pegawai Memerintah yang berbangsa Inggeris AC Ahmad sempat berkata sesuatu kepada OC. “ Sir!, if my country independent I will jump into wherever river”. Niat AC Ahmad sebagai mandi hadas untuk orang inggeris keluar Malaya. “What do you say Ahmad.?” “Sir!, one day I want to be a soldier, who one the best in the world!”. Sambil menghulurkan tangan untuk berjabat dengan OC 92 Skn Rejimen Malaya untuk kali terakhir sebagai anggota RAF.
*Tepat jam 12 tengahari pada 31 Ogos 1957, Ahmad bin Mohamad Alim telah mengotakan janjinya dengan terjun ke dalam sungai Yan dengan disaksikan oleh kawannya Sanusi Junid (mantan Menteri Besar Kedah)*
Kawan-kawan membuat majlis perpisahan di Esplanade Singapura. Lebih mengharukan lagi ialah duit cuma ada RM 5.05. Beg pakaian pun tak ada untuk bawa pulang. Kawan-kawan buat pungutan drastik pada malam tu dapat hampir RM50.00. Selebih beli barang keperluan esoknya naik keretapi arang batu balik ke kampong kelahirannya.
Sepanjang perjalanan dengan keretapi melalui Rawang, Tanjong Malim, Padang Rengas semasa balik ke kampong, kerisauan terdetik juga kerana ancaman pengganas komunis semakin meningkat dikuatiri juga kalau-kalau pengangkutan keretapi turut dijadikan sasaran kerana kawasan itu merupakan sarang komunis.
Tiba di stesen keretapi gurun, naik beca menuju ke kampong dengan tambang Rm 1.50. Sampai di rumah duit tinggal RM 1.50. Esoknya famili minta belanja tengok wayang cerita Hindustan. Mereka ingat behenti tentera ada duit banyak. Di kampong, Ahmad telah melakukan bermacam-macam kerja yang mana boleh menghasilkan wang sementara mendapat kerja tetap.
Mengimbau kenangan
Kontroversi penculikan yang memisahkan Natrah dari Mansur Adabi juga menjadi imbauan. Pada penghujung tahun 1951 semasa membuat latihan menembak di Pasir Laba Singapura, di tengah-tengah pekan kelihatan muslim league sedang bertelagah dengan masyarakat inggeris berpunca dari Natrah-Mansur. Kawalan di airbase dipertingkatkan. Arahan dikeluarkan supaya tidak membenarkan seorang pun menaiki pesawat. Dalam pada itu pada jam 9.00 malam, sebuah pesawat New Zealand (Baletta) berlepas dengan kawalan ketat yang mana dipercayai pesawat tersebut yang membawa Natrah ke England untuk memisahkan dari Mansur.
Masuk tentera kali kedua
Kata orang tua-tua, “kalau dah jodoh takkan ke mana”. Pada akhir 1957, seorang kawannya dari Sik mengajak beliau menghadiri satu pemilihan tentera. “Mad! ada pemilihan tentera di Pulau Pinang. Jom kita cuba” ajak Syed Mansur suatu hari. “Memang aku nak masuk tapi aku tak ada duit. Nak pi macam mana!”. Jawapan itu sudah cukup membuatkan Syed Mansur gembira. “Pasal duit tak jadi masalah, aku banyak duit” jelas Syed Mansur.
Dialog itulah titik permulaan Ahmad kembali ke alam tentera untuk kedua kalinya.
Pada tanggal 5 Mac 1958, Ahmad memulakan latihan rekrut di Port Dickson. Hari itu juga adalah tarikh keramat dalam sejarah tentera darat iaitu Askar Melayu telah ditauliahkan sebagai Rejimen Askar Melayu Diraja. 11804 Rekrut Ahmad bin Mohamad Alim dan rakan-rakan dari ‘A’ Kompeni sepatutnya menghabiskan rekrut selama enam bulan tetapi ditunda sehingga sembilan bulan kerana platunnya terlibat dengan penggambaran filem ‘Sarjan Hasan’ arahan P Ramlee. Di antara adegan yang dilakonkan oleh rekrut Ahmad ialah semasa berkawad dengan P. Ramlee di Padang Kawad Pusat Latihan TD (LATEDA) dan adegan askar jatuh pokok terkena tembakan askar jepun.
Tuah ayam nampak di kaki , tuah manusia siapa yang tahu namun tuah Rekrut Ahmad memang diduga berdasarkan komitmen dan kewibawaan yang ditujukkan sepanjang latihan. Beliau diistiharkan sebagai rekrut terbaik dan anugerah disampaikan oleh Lt. Jeneral Sir James.
Harimau Malaya
Setamat rekrut, Prebet Ahmad telah diserap ke Unit 2 Rejimen Askar Melayu Diraja yang ketika itu berpangklan di Taiping di bawah pemerintahan Lt Kol. Tengku Osman bin Jiwa manakala ajutan disandang oleh Kapt Ghazali bin Che Mat (bersara PAT) yang mana menjadi kebanggaan dan digelar dengan nama Harimau Malaya.
Pemerintahan yang bersifat regimental yang diamalkan berjaya membentuk anggotanya menjadi kental dan berani menghadapi cabaran. Hukuman drastik secara body contact terhadap anggota-anggota yang cuai atau mengabaikan disiplin semasa beruniform. Hasilnya semua anggota 2 RAMD mempunyai semangat berpasukan yang sangat tinggi yang sangat disegani oleh pasukan kawan atau musuh. Faktor ini adalah di antara mengapa 2 RAMD mendapat jolokan Harimau Malaya.
Cara ini sudah banyak diabaikan oleh pasukan tentera mutakhir kononnya ianya besifat zalim dan tidak sesuai untuk tentera masa kini yang lebih sesuai menggunakan pendekatan saikologi. Tapi jika dibandingkan, di antara tentera masa lampau dengan tentera generasi terkini secara kasarnya boleh dikatakan tentera lampau lebih mengungguli dari segi semangat keberanian dan setiakawan. Namun kenyataannya agak subjektif kerana pengaruh persekitaran yang amat berbeza di antara dua zaman.
Selepas kembali dari penugasan di Pangkalan Cepa pada tahun 1961, sekali lagi 2 RAMD mencipta sejarah menyahut panggilan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk bertugas di Conggo. Ahmad juga telah dinaikkan ke pangkat Koperal dan ditugaskan sebagai Koperal mengawal minuman semasa di Conggo kerana kebolehan beliau bertutur dalam bahasa Inggeris. Beroperasi di Conggo (Goma, Bukabu, Elizaberth Ville, Leopoville (sekarang kinshasha) selama satu tahun dan balik ke Malaya pada tahun 1963 kerana Malaya dilanda konfrontasi dengan Indonesia.
Konfrontasi Malaya – Indonesia
Koperal Ahmad (lebih popular dengan panggilan ‘Mat Joe’ dalam kalangan rakan sepasokan) dalam platun lapan 2 RAMD ditugaskan mengawasi pantai Kemasik hingga ke Kemaman Trengganu. Pada tahun 1964, 2 RAMD dihantar bertugas di Tawau Sabah. Keadaan di Tawau secara keseluruhannya tersangat daif ketika itu. Mengawasi sekitar Pulau Sebatik, kampong Sungai Rimau dan sempadan Indonesia. Pernah bertempur secara berjauhan dengan tentera Indonesia. Tiada kehilangan jiwa berlaku dalam pertempuran tersebut kerana pada penilaian pihak 2 RAMD sebenarnya tentera Indonesia guna mercun waktu itu berdasarkan tiada kesan-kesan tembakan.
Rezki berganda
Tahun 1966, pasukan kembali ke Kem Sungai Besi. Pada April 1967 Koperal Mat Joe dikurniakan seorang anak (bongsu) lelaki dan dalam masa yang sama beliau dinaikkan ke pangkat Pemangku Sarjan. Tradisi lazim ATM, sebelum sempurna menjadi senior hand, setiap orang akan menjalani sesi suaikenal. Tidak terkecuali Sjn. Mat Joe yang di ragging selama dua jam dengan meminum coca-cola kerana membantah arahan RSM menyuruh beliau meminum arak dalam majlis suaikenal.
Adalah tidak dinafikan tentera muslim era kolonial memang ramai yang mengamalkan budaya yang tidak bermoral seperti itu yang diwarisi dari penjajah Inggeris. Tetapi perubahan ketara yang berlaku dalam organisasi ATM mutakhir sangat positif dalam menangani gejala arak dari berleluasa. Boleh dikatakan tiada lagi hidangan-hidangan sedemikian dalam majlis-majlis yang melibatkan orang islam pada ketika ini.
Pada tahun 1968, 2 RAMD telah dihantar bertugas di Sarawak. Angkelili, Wang Padong, Tanah Merah dan Lubuk Antu adalah menjadi kawasan operasi mereka. Operasi menunjuk kehadiran sebagai cegah rintang, melawan secara fizikal terhadap anasir Parti Rakyat Kalimantan (komunis) yang sangat agresif di Kepulauan Kalimantan dari mempengaruhi atau menyebar dakyah kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
Malam ambang merdeka 1968, ‘C’ Kompeni 2 RAMD telah menganjurkan satu konsert yang melibatkan artis-artis tempatan dan semenanjung. Apa yang menariknya ialah pengacara konsert pada malam itu ialah Sjn Mat Joe. Ribuan penonton hadir menyaksikan walaupun perintah berkurung telah dikuatkuasakan.
Sebenarnya di sebalik konsert yang sedang berjalan, Sjn Mat Joe, Mejar Salleh Don (OC), DSP Kulasinggam, Lan Koperal Ibrahim dan Lanyau ( Anggota Polis hutan) mempunyai misi khas yang mesti diselesaikan. Pengacara konsert telah diserah pada orang lain pada jam 12.00 tengah malam kerana penonton masih belum berganjak dan mahu konsert diteruskan.
Misi pada pagi tersebut ialah untuk membuat serbuan ke atas kem komunis pada pukul 6.00 pagi. Mereka membuat penyamaran dengan berhanyut dalam sungai selama 6 jam dengan sebuah perahu yang cuma mengisi senjata dan peralatan sahaja. Mereka semua berada d dalam air. Seperti yang dirancang, pertempuran berlaku Dalam operasi tersebut yang mana tiga orang pengganas telah ditembak mati.
Malaysia Berdarah - Peristiwa 13 Mei 1969
Akhir 1968, 2 RAMD balik ke Kem Sebatang Kara Port Dickson. Pada 10 Mei 1969, 2 RAMD bersiapsiaga setengah jam notis ekoran dari ancaman rusuhan kaum yang kian meningkat. Cetusan kekacauan yang berpunca dari tekanan parti politik pembangkang yang turut dipengaruhi oleh anasir subversif dan tindakan agresif kumpulan kongsi-kongsi gelap. Pilihanraya 1969 mempamerkan keagresifan parti pembangkang yang didorong oleh komunis telah memanipulasikan sentimen perkauman dalam kempen-kempen mereka. Akhirnya Parti Perikatan yang dominasikan kaum melayu kelihatan goyah dengan asakan-asakan slogan anti kerajaan dan anti melayu.
Pada jam 10.00 pagi 13 Mei, siaran televisyen tergendala. Pada jam 12.00 tengahari, ‘C’ kompeni 2 RAMD yang diketuai oleh Mejar Salleh Don (OC), Lt Hamid Awang (Seri Pahlawan Gagah Berani) sebagai ketua platun, Sarjan Mejar Yatim, Sjn Mat Joe dan lain-lain telah diarahkan ke Kuala Lumpur untuk mengawasi dan mententeram keadaan.
Sedikit fakta tentang Hamid Awang dalam sejarah kepahlawanan negara yang membawa kepada penganugerahan Pingat Seri Pahlawan Gagah Berani SPGB) ialah sifat keberanian dan kepahlawanan beliau dalam pertempuran di Gunong Pueh pada 8 April 1973. Dengan beranai tanpa menghiraukan keselamatan diri, beliau bertindak nekad dengan menerkam ke arah pengganas yang cuba menembak anggota beliau dan memukul lehernya dengan senjata M79. PAsokan beliau berjaya membunuh tiga orang pengganas komunis, merampas tiga laras senjata automatik, peluru dan peralatan lain. Sumber BTDM.
“Encik!. Ada ke peluru?” soal Sjn Mat Joe kepada Sjn Mej Yatim selaku penjaga peralatan unit. “Tak payah bawa peluru kerana kita cuma POPO platun (public Order)” jelas SM Yatim.
Sebenarnya hati kecil Sjn Mat Joe tidak berpuas hati dengan kenyataan SM Yatim. Dalam diam-diam beliau mengarahkan dua orang anggotanya mengambil (curi) dua peti peluru senjata kecil semasa ketiadaan SM Yatim. Sjn Mat Joe yang mengepalai trak telah melalui jalan Kajang – Semenyih – Cheras untuk ke Sungai besi. Dalam perjalanan anak-anak buah yang bersama Sjn Mat Joe telah dibahagikan dengan sepuluh butir peluru setiap seorang dan diisi ke dalam kelopak.
Tiba di kawasan Sungai Besi airbase ramai kaum Cina membuat sekatan jalan raya bersenjatakan tombak, lembing dan sebagainya sambil melaungkn slogan anti melayu dan kerajaan. Setelah trak berhenti, Sjn Mat Joe mengarahkan anak-anak buahnya mengambil posisi bertahan. Lt Hamid yang bersama-sama Sjn Mat Joe diarah meniarap.
“Tuan!, biar saya seorang berdiri menguruskan keadaan. Kalau saya mati, tuan boleh handle keadaan”. Walaupun Lt Hamid sebagai ketua platun namun dengan kewibawaan dan pengalaman Sjn Mat Joe, dia patuhi juga permintaan anak buahnya. Pada Sjn Mat Joe pula, beliau merasakan ketua platunnya seorang yang masih muda dan belum cukup pengalaman untuk menghadapi saat genting seperti ini.
“Oiii !!, dengar sini!. Saya beri masa sepuluh saat dari sekarang. Kamu clear dari laluan ini. Kalau tidak kami tembak!”. Dengan lantang dan tegas Sjn Mat Joe memberi arahan kepada perusuh. Anak-anak buah Sjn Mat Joe seramai sepuluh orang dalam trak pertama sudah take cover dan bersedia menunggu arahan. Namun sepuluh saat pertama yang beri langsung tidak menakutkan perusuh-perusuh. Mereka tidak berganjak. Dalam pada itu Sjn Mat Joe berfikir apa yang patut dilakukannya seraya berdoa supaya Tuhan menunjukkan jalannya. Setelah membaca beberapa potong ayat Quran yang pernah beliau belajar dari orang tua-tua, seolah-olah dapat satu suntikan semangat dan kekuatan baru dalam dirinya.
“Inilah masanya antara hidup dan mati”. Bisik hatinya dengan penuh tawakkal bila melihat perusuh-perusuh berbangsa Cina masih ingkar.
“Dengar sini platunnn!. Dengar hukuman saya. Isi peluru dan tunggu hukuman saya!”. Hukuman dalam bahasa kawad adalah arahan. Arahan yang betul mesti diikut. Itulah perinsip arahan dalam ATM. Lt Hamid yang berada di sebelah tidak senang hati melihat Sjn. Mat Joe keseorangan lantas bangun. “Saya juga sanggup mati bersama”.
Sekali lagi Sjn Mat Joe memberi arahan kepada perusuh. “Sepuluh saat dari sekarang…. clear dari sini!” Arahan yang bercampur geram terbit dari rangsangan darah yang menyelinap ke setiap urat nadi. Selalunya situasi begini, manusia akan bertindak mengikut kata hatinya yang telah dicongak dengan akal jika sesuatu kehendaknya dihalang. Dengan izin Allah, semua perusuh beredar tanpa kejadian yang tidak diingini berlaku.
Dalam platun 8 ‘C’ kompeni, anggota-anggota dibahagiakan kepada dua kumpulan. Empat belas orang dengan satu orang Koperal berada dalam kumpulan yang diketuai oleh Lt Hamid. Manakala Sarjan Mat Joe mengepalai empat belas anggota yang lain membut tugasan antara jalan Tun Razak hingga ke jalan Pahang termasuk Kem Wardiburn. Berbekalkan senjata General purpose of machine gun (GPMG) dan senjata kecil yang lain, kumpulan mereka bergerak hingga ke Jinjang bila diperlukan. Dalam situasi darurat yang dirancang seperti itu, operasi akan jadi lebih mencabar kerana elemen-elemen kerajaan mungkin akan menjadi sasaran mereka yang sangat anti kerajaan pada masa itu.
Kemungkinan agenda terancang peristiwa 13 Mei ini juga mempunyai kaitan dengan arahan daripada Jawatankuasa Pusat PKM sejak 1968 lagi supaya memulakan pemberontakan bersenjata terhadap elemen-elemen kerajaan. Mempergiatkan propaganda dan berjaya mempengaruhi parti-parti pembangkang sebagai pencetus kekacauan.
Jika sebelum 1969 PKM hanya terbatas pergerakan di sempadan sahaja namun, dengan kesibukan pasokan keselamatan menghadapi kekacauan yang berlaku di bandar-bandar, penyusupan unit-unit pengempur diperhebat hingga berjaya menyusup masuk jauh di pendalaman negeri-negeri semenanjong sehingga boleh dikatakan sekitar 1995 seluruh unit –unit penggempur PKM sudah bertapak di semenanjong. Bermakna peristiiwa 13 Mei atau rusuhan kaum atau seumpamanya adalah kesan eksploitasi yang sangat berjaya dan patut menjadi teladan kepada bangsa Malaysia yang berdaulat jika mahu mengekalkan keamanan dalam negara di masa-masa mendatang.
Walau bagaimana pun setiap anggota pelatun sudah bertekad akan bertindak sejajar dengan doktrin RAMD jika keadaan memaksa. Pada suatu masa dalam rondaan pengawasan, platun beliau telah terjumpa sebuah beg James Bond di dalam sebuah banglo yang tidak berpenghuni dengan jumlah wang puluhan ribu ringgit. Apa yang sangat menggembirakan Sjn Mat Joe pada masa itu ialah kepatuhan anak-anak buahnya terhadap perintah dan pesanan beliau. Beliau selalu berpesan, tiga perkara ini mesti dielak iaitu merogol, menyamun dan menganiaya orang semasa menjalankan tugas kerana dikuatiri melanggar pantang larang malah juga untuk mengelak dari tohmahan dan fitnah masyarakat terhadap institusi ketenteraan.
Setelah keadaan darurat semakin reda, Sjn Mat Joe dan anak-anak buah telah diberi cuti selama lima hari dengan waren tiket keretapi dari Seremban ke destinasi masing-masing. Berbekalkan wang RM 3.80 sampai juga ke kampong halamanya. Bonus berganda yang sangat menggembirakannya ialah pada hujung tahun 1969. Sjn Mat Joe telah dinaikan pangkat melangkau terus ke pangkat Pegawai Waren 2.
17 Jam Berdiri di atas Jerangkap Samar
Pada tahun 1970, satu lagi RAMD ditubuhkan iaitu Rejimen ke 8 Askar Melayu Diraja. Walau pun ramai anak-anak buahnya yang di tarik untuk memenuhi dan menseimbangkan kekuatan rejimen baru tersebut namun beliau dan Mej Salleh Don masih menerajui 2 RAMD dengan kemasukan anggota-anggota baru sebagai ganti.
Semasa dalam sesi memberi latihan kepada anggota-anggota baru di Grik Perak pada bulan Disember 1969, sepasokan Askar Wataniah sedang bertempur dengan sekumpulan komunis di atas bukit batu 52 1/2 , jalan Kroh – Baling. 2 RAMD diminta untuk memberi pertolongan. Memikirkan anggota yang ada kebanyakan anggota-anggota baru yang masih mentah maka OC membuat keputusan supaya SM PW2 Mat Joe, Koperal Nasir dan Koperal Hashim mendahului pasokan untuk membantu pertempuran sementara yang lain bergerak secara perlahan kerana waktu itu sudah pukul 1700H.
Malang tidak berbau, kita merancang tetapi perancangan Allah lebih rapi. Belum pun sempat mendaki bukit, mereka bertiga sudah terpijak jerangkap samar. Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan membatukan diri sehingga tim pemusnah jerangkap samar datang memberi bantuan pada keesokan hari jam 1000H. Tujuh belas jam berdiri dalam situasi tegang yang boleh mengorbankan jiwa raga jika tiada kesabaran. Mereka bertiga tidak memilih jalan berkompromi dengan jerangkap samar dan memilih untuk akur dengan menunggu tim penyelamat sampai daripada bertindak sendiri yang akan mengancam nyawa mereka.
Inilah natijahnya di sebalik latihan keras yang diadaptasikan ke dalam latihan anggota ATM terutamanya pasokan-pasokan Special Force. Kesabaran, ketahanan mental dan fizikal adalah pemankin kepada kejayaan menghadapi situasi genting yang akan menyapa mereka tidak mengenal waktu dan ketika di dalam sesuatu operasi. Lantaran ini adalah amat malang dewasa ini jika ada orang awam yang kononnya memperjuangkan human right turut campur tangan dengan komplen-komplen terhadap skim latihan yang diperuntukan kepada ATM yang agak keras dengan membuat pendedahan kepada media dan sebagainya.
Berpantang maut sebelum ajal. Setelah membuat pemeriksaan, tim pemusnah jerangkap samar mendapati fuse tidak disambung kepada bateri. Kalau mengikut lumrah, jika terlanggar kabel seperti itu, roh mereka sudah bercerai dari jasad.
TD tahun 1970an membuat operasi hutan selama tiga bulan. Balik rumah bersama anak isteri satu hingga dua minggu dan keluar lagi selama empat bulan, stand off lagi dua minggu dan keluar lagi beroperasi empat bulan dan begitulah seterusnya. Belum kering ponco dah keluar balik. Begitulah gambaran betapa azabnya jadi tentera masa itu. Sehingga anak sendiri pun tak kenal bapa. Tidak hairanlah jika anggota infantri masa itu ramai yang tidak menyambung perkhidmatan.
Sarjan Mejar Maktab Tentera Diraja
Berpegang teguh dengan motto TAAT SETIA, Mat Joe dinaikkan ke pangkat PW1 dan menyandang RSM/SMR. Bertukar ke Maktab Tentera Diraja (MTD) dan dihantar berkursus selama enam bulan di Royal Military Academy Sandhurst dan berpeluang melawat pasokan tentera British selama 24 hari. Menyaksikan perbarisan tamat latihan kadet tentera British/tentera Komanwel.
Sedikit fakta tentang Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) yang telah dibuka pada tahun 1947yang pada mulanya dikenali sebagai Royal Military College (RMC) bertempat di Sadhurst.ialah pusat latihan asas pegawai tentera Darat British dan menerima atau melatih pegawai-pegawai kadet negara Komanwel dan lain-lain negara termasuk ATM yang saban tahun menghantar calun untuk menerima pendedahan di RMAS yang amat berprestij di dunia.
Balik ke MTD menjawat jawatan RSM MTD sehingga januari 1982. Satu perkara yang agak berbeza dengan jurulatih lain di MTD ialah RSM Mat Joe memakai kasut bertapak tinggi dan berat kerana tapak kasutnya dipaku dua lapis (tiru RSM tentera British). Apabila berjalan, dari jauh orang sudah tahu RSM Mat Joe sudah datang. Seperkara lagi yang sering menjadi trade mark RSM Mat Joe ialah bila memarahi kadet akan terpancul perkataan “ you are bloody good officer cadet. You do next time, you see this”. Sambil menunjukkan penumbuk kepada putera kadet.
Satu lagi perkataan yang sering beliau guna ialah “you are very bad geography” kepada putera –putera yang kini kebanyakannya sudah menyandang pangkat panglima.
RSM Mat Joe menceritakan pernah bertanya kepada salah seorang senior boy .
“Kamu nak jadi apa besar esok?”.
”Nak jadi perdana menteri” jawab senior boy.
“Yes! You are bloddy good boy” sambil ketawa Pak Mat Joe menceritakan detik-detik itu. Senior boy yang dimaksudkan sudah pun menjadi menteri ketika ini iaitu Dato Seri Anuar Musa. Ramai lagi bekas-bekas anak muridnya yang menjawat jawatan yang tinggi dalam kerajaan ketika ini. Cerita Pak Mat Joe dengan nada yang cukup puas dan bangga.
Walaubagaimana pun RSM Mat Joe mengakui tidak pernah memaki hamun anggota bawahan dengan perkataan yang kotor dan menyinggung perasaan dan sering menasihati jurulatih-jurulatih di bawahnya supaya menggunakan perkataan yang baik-baik semasa mendidik putera-putera kadet.
Pada Disember 1981 RSM Mat Joe telah dipanggil oleh Komandan MTD (Kolonel Mohd Munif).
Komandan: ‘Encik!, we have a good news”
RSM: “Apa dia tuan?”
Komandan: “Encik!, kita akan dapat anugerah panji-panji Maktab Tentera. We have very short time to prepare Encik!”
RSM: “Siapa yang akan mengarak panji-panji tuan?. Soal RSM Mat Joe dengan mempamirkan kegembiraan dengan berita tersebut.
Komandan: “Budak-budak boy” jawab komandan spontan.
RSM Mat Joe termenung memikirkan cabaran yang akan beliau dan Jurulatih kawad yang lain akan pikul nanti. Bayangkan kadet putera yang baru dalam Tingkatan satu (13 tahun) dan baru melapor MTD satu bulan nak diajar berkawad untuk mengarak panji-panji.
Setelah beristikharah dan memohon hajat kepada Allah (s.w.t), setelah empat belas (14) hari menjalani latihan dengan mendapat sokongan padu dari semua yang terlibat, pengarakan panji-panji berlangsung di Stadium Merdeka dalam suasana padang yang digenangi air kerana hujan lebat pada malamnya. Walaupun ada usaha dibuat untuk mengeringkan limpahan air tersebut namun hanya sedikit sahaja yang berjaya dikurangkan.
RSM Mat Joe yang bertindak sebagai Parade Commander bersama Putera-putera Kadet sebagai pengarak panji-panji yang segak beruniform putih berkawad di dalam air. Uniform yang pada mulanya bersih dan keras bergosok telah bertukar menjadi hitam dek pancutan air dari hentakan kawad kaki yang tidak pernah mengenal halangan bila sesuatu perintah dilaungkan oleh Parade Commander.
Panji MTD yang telah dianugerahkan oleh DYMM Tuanku Sultan Pahang berjaya diarak dalam perbarisan istiadat yang penuh gemilang walau pun terpaksa berkawad di atas padang yang lecak. Bagi tentera, itu bukan menjadi alasan untuk tidak boleh melakukannya dengan terbaik. Upacara pada hari itu diberi ucapan tahniah dan mendapat tepukan gemuruh dari DYMM Tuanku Sultan dan para hadirin yang hadir.
RSM Mat Joe berpendapat, untuk menjadi RSM MTD, muka hendaklah macam singa, percakapan macam harimau, kelakuan mesti kasar tetapi hati mesti lembut seperti agar-agar. Berdiri lah kamu seperti dian untuk menerangi kegelapan dan jadilah jambatan sebagai penyambung jalan. Namun hakikatnya jauh ke dalam sudut hati beliau terselit satu sifat kasih sayang dan demi kelancaran dan kesempurnaan tugas dan tanggungjawab beliau boleh berbincang bila-bila masa.
Sarjan Mejar Rejimen yang pertama Tentera Darat
Peristiwa yang sangat bermakna dalam kerjaya Mat Joe sebagai anggota lain-lain pangkat (LLP) tentera darat ialah bila diberi pengiktirafan yang tidak diduga sama sekali sekali gus perintis kepada penambahan perjawatan baru dalam LLP Tentera Darat..
Pada 1 Jun 1982 beliau dipanggil menghadap Yang Berbahagia Tan Seri Jeneral Zain Hashim di Markas Tentera Darat.
PTD: “Good morning Encik!” suatu perkara yang jarang dilakukan oleh pegawai terhadap anggota bawahan iaitu mendahului memberi ucap selamat.
RSM: “Good morning sir!” jawab RSM Ahmad Joe dalam keadaan spontan dan masih terpinga-pinga apakah tujuan beliau dipanggil menghadap PTD.
PTD: “Sila duduk. What is your drink Encik”.
RSM: “Anything Tan Seri” seakan sudah mendapat kekuatan untuk menghadapi situasi.
PTD: “Saya nak lantik Encik”
RSM: “Lantik apa Tan Seri?”. Soalan balas yang masih kebingungan kerana beliau langsung tidak menduga tentang kewujudan jawatan baru yang paling tinggi dalam LLP TD.
PTD: “Sargent Major of the Army. Sarjan Mejar Tentera Darat.” Tegas Panglima Tentera Darat sekali gus merungkai persoalan yang sedang berligar dalam benak seorang Pegawai Waren yang menjadi harapannya untuk disemat dengan dengan lambang tertinggi dalam kalangan LLP.
RSM: “Very good Tan Seri. Bila Tan Seri?”
PTD: “Today!. Apa yang Encik nak cakap?”
RSM: “Saya Cuma ada dua perkara saja Tan Seri iaitu:
1. saya harap Tan Seri tidak memarahi saya di hadapan khalayak samada di depan pegawai-pegawai, LLP atau orang awam.
2. Perlantikan ini hendaklah disebarkan kepada seluruh anggota TD. Itu saja permintaan saya Tan Seri!” dua permintaan yang tidak pernah dirancang untuk dijawab kerana peristiwa itu tidak pernah diduga sebelum ini.
PTD: “Saya setuju Encik” tegas PTD tanpa ragu-ragu dengan permintaan RSM Mat Joe.
Pegawai Waren 1 Sarjan Mejar TD mempunyai tanda pengenalan ‘Red stripe’ pada topi dan bunga padi yang membaluti singa berjuang pada insignia pangkat Pegawai Waren 1 sekali gus menjadi anggota terkanan dalam kalangan LLP Tentera Darat. Beliau juga diperuntukan kereta staf semasa menjalankan tugas seharian.
Semasa menjawat sebagai RSM TD, beliau sempat membuat kunjungan ke TD Singapura, TD Australia dan TD Arab Saudi yang mana sangat berguna untuk pertukaran maklumat dan idea dengan rakan sejawat di dalam mengurus angkatan masing-masing.
Satu peristiwa bersejarah telah tercatat dalam sejarah TDM ialah pengarakan 17 panji-panji TD pada tahun 1983 yang pertama di dunia. Panji-panji atau bendera warna warni secara simboliknya adalah lambang kemegahan satu-satu pasokan tentera yang dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan perjuangan segenap lapisan warga ATM yang menjaga maruah dan martabat negara.
Adalah menjadi satu kehinaan untuk sesuatu pasokan jika panji-panji yang dipertahankan jatuh ke tangan musuh. Teladan ini pernah ditunjukkan oleh sahabat baginda (s.a.w) dalam peperangan yang mana menjaga/memeluk panji-panji tentera islam walaupun kedua-dua tangan telah dipotong oleh tentera musuh. Bukan itu sahaja, malah kedaulatan panji-panji juga adalah perangsang dan pembakar semangat yang memangkin dan menjana peningkatan kualiti perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.
Seramai seratus tiga (103) orang anggota untuk setiap platun dan menjadikan sejumlah seribu tujuh ratus lima puluh satu (1,751) orang terlibat. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan mencemar duli menerima tabik hormat dan mendapat pujian daripada baginda dan Jeneral Tan Seri Ghazali Che Mat (PTD) masa itu. Beliau merasa terharu dan menitiskan air mata kerana pujian-pujian dari pihak tertinggi negara dan ATM itu secara langsung telah memberi pengiktirafan kepada beliau sebagai RSM TD yang bertanggung jawab penuh sepanjang upacara tersebut. Di atas pengiktirafan tersebut, beliau dengan rasa bangganya telah mengumumkan cuti tanpa rekod selama enam hari kepada anggota-anggota yang terlibat. Pemberian cuti ini sebenarnya terbit dari mulut beliau sendiri tanpa merujuk atau memohon kepada PTD terlebih dahulu. Dengan karisma yang ditunjukkan oleh RSM Mat Joe, segala keputusan yang telah dibuat diperakui oleh pihak atasan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu.
Pesanan
Pak Mat Joe merasa bangga dan sangat berpuas hati kerana beliau menamatkan perkhidmatan dalam TD darat setelah berkhidmat selama 34 tahun iaitu tarikh tamat perkhidmatan (TTP) sebenar pada bulan Jun 1986. dengan penuh cemerlang. “Hanya itu yang terdaya saya memberi sumbangan untuk ugama, bangsa dan negara. Terpulanglah kepada khalayak untuk membuat penilaian kepada perkhidmatan saya. Saya telah memberi yang terbaik. Saya merasa seronok untuk berkongsi pengalaman pahit maung saya bersama ATM, TD khususnya untuk panduan generasi terkini mengawal keamanan tanahair. Laksanakanlah tugas anda dengan jujur dan ikhlas. Kepada pemimpin-pemimpin PBTM samada di peringkat Pusat, Negeri atau Cawangan, Laksanakan amanah pesara dengan jujur dan ikhlas. Jangan jadikan jawatan yang disandang sebagai batu loncatan untuk kepentingan diri sendiri. Kekuatan PBTM adalah kerana bersatu padu. Kebajikan pesara terletak di bahu anda”. katanya mengakhiri perbualan.
Encik Mat Joe sudah kembali ke Rahmatullah pada bulan puasa tahun 2008. Saya tak boleh lupakan kenangan walaupun singkat bersama allahyarham semasa di RMC 1982-84 (Boys Wing) dan 1985 - 1987 (Kadet Wing)
ReplyDeleteMintak izin sebarkan blog entry ini. Saya jiran Pak Mat Joe di Taman Bahagia, Jitra
ReplyDeletesaudara jalak lenteng, silakan.
ReplyDeleteAda beberapa peristiwa aku terlibat sama dalam cerita beliau.Semasa menerima panji panji...Yes...pukul 3 pagi kami dah bersiap dengan pakaian, itulah kebenaranya.% pagi dah sampai stadium merdeka.Hujan renyai lagi masa tu. Passingaout parade 1983 kalau tak silap, sedang buat raptai penuh "Mat Joe" tak puas hati masa mara mengadap....tetiba terdengar jeritan dari Grand Stand....SEMULAKKKKK....adusss kecut perut masa tu. semuanya tinggal kenangan yg mengusik jiwa dan mendewasakan aku...kekuatan mental mengatasi segalanya
ReplyDeleteAda satu perkara yang saya amat kagum dengan beliau. Beliau boleh mengingati rupa dan nama anak-anak muridnya walaupun beliau ada beribu anak murid.
ReplyDeletePernah di satu hari (tahun 2001) di waktu hampir senja ketika saya di dalam sebuah Land Rover di tol Gurun, Kedah. Setelah L/Rover yang saya naiki melintasi rumah tol, tiba2 ada sebuah van di hadapan di bawa dalam keadaan melilau seolah2 seperti pemandunya sedang mabuk menggangu laluan L/Rover. Van itu tiba2 berhenti di depan dan L/Rover pun turut berhenti dibelakang van berkenaan. Saya segera turun dari L/Rover untuk menegur pamandu van tsb (sebenarnya tujuan saya nak memarahi...). Tiba2 nama saya dipanggil oleh pemandu van tsb dan saya dapati di dalam kesamaran senja beliau adalah Encik Mat Joe. Sebenarnya saya sudah tidak ketemu lagi dgn beliau lebih 20 tahun namun beliau masih lagi mengingati nama saya dan rupa saya walau pun saya ketika itu sedang duduk didalam L/Rover.
Terus saya tak jadi marah, dan saya terus menerkam dan memeluk guru saya itu dan bersembang mesra bertanyakan khabar masing2 di tepi jalan highway yang sibuk itu.
Al Fatihah untuk beliau...
434916 juo azam(e-coy) rmc)(1112)
ReplyDeletesaya bangga. sangt2... walaupon ketika sya di rmc nie bkan b'sama beliau..... saya sebenarnya adalah anak saudara beliau.... tetapi... beliau telah dlu pergi..... jika tatkala ini beliau msihh hidup, pasti juga beliau bangga.... tetapi.... hari ini orang sudah tidak knal siapa rsm mat joe.... spatutnya jasa beliau dkenang..... apa yg sya harapkan anak muda hari ini ketahui jasa & pengorbanan beliau sbagai penyunting smangat untuk trus mmpertahankan negara kita...
Kawan baik kepada ayah saya RSM Amenon bin Mat Kassim (168316).. Ayah saya masih sihat.. Berada di pt buntar, perak
ReplyDeleteInnalilah waina ilaihi rojiun..salute to Rsm Mat Joe..Our Hero
ReplyDeleteSalute to Rsm Mat Joe
ReplyDelete