Pages

Wednesday, May 29, 2024

RIMPAC 2024 - KD LEKIU MEMBAWA MANDAT NEGARA DI PENTAS GLOBAL



Oleh: Paklang Hamzah/Foto : MPAB

Lumut 29 Mei- TLDM melalui KD LEKIU sekali lagi membawa mandat negara bagi menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024 di Joint Base Pearl Harbor, Hawaii.

 

RIMPAC 2024 bakal menyaksikan penyertaan lebih dari 30 negara dengan penglibatan sebanyak 40 buah kapal, empat kapal selam dan 170 pesawat. RIMPAC 2024 merupakan penglibatan ketiga TLDM dan kali kedua bagi KD LEKIU, yang mana menyertainya buat kali pertama pada tahun 2018 dan diteruskan dengan penyertaan KD LEKIR pada tahun 2022. 


Objektif eksesais kali ini adalah untuk melatih keupayaan gabungan pasukan RIMPAC dalam persekitaran maritim dinamik bagi menunjukkan kesalingoperasian berterusan merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan. 


KD LEKIU yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Kepten Mahamad Nazir bin Darus TLDM akan menempuh tempoh pelayaran hampir 100 hari, merangkumi jarak pelayaran sejauh 12,730 batu nautika. Kapal juga akan melaksanakan pelbagai latihan yang dirancang, termasuk penembakan misil ke sasaran kapal sebenar. 


Penyertaan ini adalah satu kebanggaan bagi negara dan menjadi penanda aras keupayaan TLDM dalam memastikan semua asetnya berfungsi dengan cemerlang serta menjadi platform kepada anggota TLDM untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu melalui latihan bersama di samping  memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan pertahanan Malaysia dengan negara-negara lain.


Majlis Pelepasan KD LEKIU telah disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato' Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin di Tambatan Pangkalan Lumut, hari ini. Pelepasan bersejarah ini turut dihadiri oleh Pegawai Kanan, Pegawai Memerintah di Armada Barat TLDM dan ahli keluarga KD LEKIU. MP


Foto sekitar pelepasan.