Pages

Friday, November 3, 2023

PENGANJURAN KARNIVAL HARI ATM 2023 BERJAYA

Oleh: Paklang Hamzah


Lumut 3 Nov - Seramai 136,361 pengunjung dicatatkan hadir pada penganjuran Karnival Hari ATM (KHA) 2023 yang lalu.  KHA yang berlangsung mulai 13 hingga 15 Oktober di Pangkalan TLDM Lumut adalah kolaborasi dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara dalam usaha mempromosikan peranan ATM dalam melindungi kedaulatan dan integriti wilayah negara tercinta.


Penganjuran KHA 2023 ini adalah bersempena dengan Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-90 Tahun 2023 yang disambut pada 10 Oktober yang lalu. Bertemakan “Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama” telah mendapat sokongan padu rakyat Malaysia terhadap ATM dan TLDM khususnya.  


KHA berjaya mendekatkan masyarakat dengan ATM melalui segmen Demonstrasi Operasi Maritim melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.Turut mencuri perhatian penonton ialah persembahan Kawad Senyap, Pancaragam, Army The Red Warrior dan Anjing Perang TDM, serta Penerjunan Bebas Pasukan Khas ATM. 


Pengunjung juga berpeluang menyaksikan upacara tradisi tentera laut iaitu Sunset Ceremony oleh kapal-kapal yang bertambat di dermaga TLDM dan menyaksikan secara dekat aset-aset pertahanan negara melalui segmen Pameran Statik dan melawat kapal-kapal TLDM. 


Banyak Agensi Terlibat

Di samping itu, terdapat juga segmen pameran melibatkan agensi kerajaan yang lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Penjara, Kastam dan Bomba serta Kementerian Kesihatan Malaysia. Pameran juga turut melibatkan institusi kewangan seperti Affin Bank, Bank Rakyat, Bank Islam, Bank Muamalat dan Maybank serta badan-badan korporat seperti Koperasi Tentera, PERNAMA, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Lembaga Air Perak, PERKESO, Tourism Perak, Universiti Malaysia Terengganu dan Yayasan Ikhlas serta syarikat-syarikat swasta dari sektor hartanah, telekomunikasi dan pelaburan.


Selain demonstrasi dan pameran, pengunjung turut diberi peluang menyertai pertandingan yang dianjurkan seperti pertandingan Armada Swimming Challenge, Armada Explorace, Sukan Rakyat, Pakaian Beragam, Mobile Legend dan Tali Balingan. Lebih menarik, kebanyakan acara ini seperti Sukan Rakyat, Pakaian Beragam, Mobile Legend dan Tali Balingan telah dilaksanakan di kapal-kapal TLDM yang semestinya menjadi pengalaman berharga buat peserta yang terlibat. Para pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan konsert Ameng & Blue Shadow Band dan Sentuhan Buskers.


KHA 2023  telah dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman pada 10 Oktober, manakala Gimik Pembukaan Karnival pula disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada Barat pada 13 Oktober.