Pages

Monday, August 29, 2022

EX SEACAT- KOLABORASI TENTERA LAUT DAN AGENSI KESELAMATAN MARITIM


Pusat Operasi Armada Barat (POA Barat) melalui Sistem Sea Vision menerima maklumat berkaitan sebuah kapal yang berdaftar di luar negara iaitu MV SUNNY QUEEN sedang berada di dalam perairan Malaysia dan disyaki sedang melaksanakan aktiviti penyeludupan dadah dan kegiatan jenayah rentas sempadan. 


POA Barat seterusnya telah mengatur gerak KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL (LTAJ) yang sedang melakukan tugas rutin  di lapangan untuk memintas dan melaksanakan pemeriksaan ke atas kapal tersebut..


Bertindak atas penyaluran maklumat tersebut, LTAJ telah berjaya mengesan lokasi MV SUNNY QUEEN di posisi 12 Bn Tenggara Pulau Perak berpandukan kepada Sistem Sea Vision dan Automatic Identification System (AIS). 


LTAJ  seterusnya melancarkan bot dan mengatur gerak tim menggeledah untuk merapat ke kapal MV SUNNY QUEEN bagi melaksanakan Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) yang dibantu oleh United States Coast Guard sebagai Sea Rider di atas MV SUNNY QUEEN. 


EX SEACAT 22


Kejayaan latihan VBSS oleh LTAJ membuktikan objektif pelaksanaan eksesais Eksesais South East Asia Cooperation and Training 2022 (SEACAT 22) iaitu bagi memperkasakan kerjasama serta latihan di antara Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS) dengan pasukan pertahanan dan agensi penguatkuasaan maritim negara serantau telah tercapai. Eksesais pada kali ini turut memfokuskan kepada penyaluran serta perkongsian maklumat bagi menangani aktiviti jenayah rentas sempadan.


 EX SEACAT 22 adalah kolaborasi multilateral yang diterajui oleh pihak TLAS bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Keselamatan Maritim dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina di sekitar perairan Selat Melaka. 


Menurut sumber dari Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Eksesais South East Asia Cooperation and Training 2022 (SEACAT 22) berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) telah dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pelabuhan dan fasa laut bermula pada 16  hingga 26 Ogos 2022 yang lalu. 


Fasa pelabuhan telah dilaksanakan mulai 16 Ogos hingga 21 Ogos 2022 melalui pelaksanaan seminar dan bengkel di Changi Naval Base, Singapura. Fasa ini berbentuk sesi persidangan di kalangan Subject Matter Expert (SME) bagi Maritime Domain Awareness Seminar, Bengkel Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) dan Bengkel Unmanned Aircraft System (UAS) yang melibatkan Pasukan Menggeledah KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, Pegawai Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat dan pegawai Skuadron 601 dari TLDM.


Pelaksanaan fasa laut pula telah dilaksanakan pada 22 Ogos hingga 26 Ogos 2022 yang mana LTAJ telah mewakili TLDM bagi pelaksanaan VBSS ke atas Vessel of Interest (VOI) iaitu MV SUNNY QUEEN. 


Menurut sumber itu lagi, penglibatan aset TLDM dalam Eksesais SEACAT 22 ini amatlah penting berikutan peningkatan ancaman bukan tradisional dan jenayah rentas sempadan yang bersifat asimetrik di rantau ini. Ancaman-ancaman ini dapat dimitigasi kan melalui pengumpulan maklumat yang cekap dengan kerjasama bersepadu daripada pelbagai agensi dan angkatan laut negara sahabat. 


Selain itu, eksesais ini dapat meningkatkan tahap kebolehoperasian antara negara dan agensi keselamatan maritim yang terlibat di samping sebagai instrumen bagi menguji dan membuktikan kesiagaan dan ketersediaan aset maritim negara dalam menjaga keselamatan perairan Zon Maritim Malaysia


Sunday, August 28, 2022

SEAEX THAMAL- KERJASAMA STRATEGIK PENGUATKUASAAN MARITIM DUA NEGARA

Tanjung Gelang, 27 Ogos 2022 - Sea Exercise Thailand-Malaysia (SEAEX THAMAL) adalah merupakan eksesais bilateral di antara komponen keselamatan maritim Malaysia iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin Diraja Malaysia (PPM PDRM) bersama Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) dan agensi keselamatan maritimnya yang telah bermula di 2nd Naval Area Command (2nd NAC) Songkhla, Thailand dan berakhir di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Kuantan. 


Pegawai Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat, Lt Kdr Haimin Mohamad berkata, “Eksesais dwi-tahunan ini bertujuan untuk memupuk persefahaman dan kebolehoperasian bersama di antara Angkatan Maritim kedua-dua negara. Selain itu, ianya juga membuktikan keupayaan dan kesiagaan angkatan serta keberkesanan perhubungan strategik di samping memperkuatkan lagi keselamatan dan keupayaan melalui perkongsian berwibawa”.


SEAEX THAMAL 66/22 dilaksanakan secara Field Training Exercise (FTX) di perairan Laut China Selatan. Eksesais ini dibahagikan kepada beberapa fasa iaitu fasa pelabuhan yang berlangsung di Songkhla Naval Base mulai 22 Ogos 2022 diikuti oleh fasa laut di perairan Laut China Selatan pada 24 Ogos 2022 sebelum diakhiri dengan fasa penutup di Pangkalan TLDM Kuantan pada 26 Ogos 2022.


Antara aset-aset pertahanan maritim negara yang terlibat adalah KD HANDALAN, KD GEMPITA dari TLDM, KM BAGAHAK dari Maritim Malaysia dan PA 6 dari PPM PDRM manakala aset-aset Thailand yang terlibat adalah HTMS KLONG-YAI, PGM 991 dan PGM 114. 


Pelbagai siri latihan telah berjaya dilaksanakan semasa fasa laut meliputi Latihan Manuvra, Flashex, Flag Hoist, Replenishment at Sea (RAS) dan Heaving Line Transfer (HLT).


Kata Haimin lagi, kejayaan pelaksanaan eksesais ini membuktikan komitmen yang jitu serta ketersediaan dan kebolehoperasian aset dari kedua-dua negara bagi memelihara kepentingan dan khazanah maritim di perairan wilayah tersebut.


Upacara Pembukaan Eksesais telah disempurnakan oleh Commander 2nd NAC TLDT iaitu Vice Admiral Suntorn Kamklai di 2nd Naval Area Command HQ, Songkhla pada 22 Ogos 2022 yang lalu.


Manakala upacara Penutup Eksesais SEAEX THAMAL 66/22 telah disempurnakan oleh Panglima Wilayah Laut 1, Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato’ Zulhelmy bin Ithnain dan disaksikan oleh Chief of Staff 2nd Naval Area Command TLDT, Rear Admiral Thawatchai Pimmuang di Auditorium Al-Haimi, Markas Wilayah Laut 1.


Wednesday, August 24, 2022

LEKIU SERTAI REGIONAL PARTNERSHIP EXERCISE 2022



Di antara empat Teras Utama Hala Tuju Kepimpinan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ialah Memperkasa Integrasi dan Sokongan kepada Aspek Kebersamaan.  Dipertingkatkan melalui pelbagai kaedah seperti mempertingkatkan pelaksanaan eksesais.


Kelmarin, 23 Ogos 2022, di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL),  menyaksikan upacara pelepasan tali tambatan KD LEKIU bagi memulakan misi pelayaran selama 86 hari  mulai 23 Ogos 2022 sehingga 17 November 2022 untuk menyertai empat eksesais secara berterusan iaitu Regional Partnership Exercise 2022 (RPEX/22).


KD LEKIU yang diketuai Pegawai Memerintah, Kepten Mohd Reduan bin Ayob TLDM diberi lambaian terakhir oleh Timbalan Panglima Armada Barat, YBhg Laksamana Pertama Farizal Myeor serta kaum keluarga anak-anak kapal yang turut hadir dalam majlis tersebut.


Eks MALINDO JAYA 26/22


Eksesais pertama yang akan disertai dalam pelayaran ini adalah Eks MALINDO JAYA 26/22 bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) di Surabaya, Indonesia yang merupakan eksesais bilateral bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama serantau Malaysia-Indonesia dalam melaksanakan operasi bersama. Sebanyak 2 buah aset utama TLDM yang akan terlibat iaitu KD LEKIU dan KD SRI INDERA SAKTI di samping aset sokongan yang lain. Kapal TLDM yang terlibat buat julung kalinya dijangka akan memasuki pelabuhan Dermada Madura, KOARMADA II, Pangkalan Tentera Laut TNI-AL di Surabaya, Indonesia.


Eks KAKADU 2022


RPEX/22 yang mengandungi satu eksesais multilateral iaitu Eks KAKADU 2022 di Darwin, Australia yang melibatkan angkatan laut dari pelbagai negara dengan pembabitan aset yang besar. Ianya merupakan latihan dwitahunan perdana antarabangsa serantau yang dianjurkan oleh Tentera Laut Diraja Australia. Eksesais ini menyediakan peluang penglibatan kepada semua negara sahabat untuk melaksanakan aktiviti maritim secara multinasional meliputi operasi dan peperangan tahap tinggi.  


Buat pertama kali dalam eksesais yang berprestasi tinggi ini, kapal TLDM ditugaskan sebagai Commander Task Unit 628.2.2 (CTU 628.2.2)  kepada kapal dari United State Navy (USN) dan Her Thai Majesty Ship (HTMS). 


Latihan KAKADU tahun ini dijangka menjadi aktiviti maritim antarabangsa terbesar yang dianjurkan oleh Tentera Laut Diraja Australia (RAN) dalam sejarahnya. 


Eks KAKADU telah dikonsepkan pada awal tahun 1993, apabila geopolitik dan bencana alam memberikan cabaran yang kompleks. Eks KAKADU dikonseptualisasikan dalam semangat diplomasi yang membina, dengan keperluan tulen untuk membangunkan pasukan tentera laut yang mampu bekerjasama dan bertindak balas terhadap keperluan negara masing-masing.


Eks KERISMAS 2022


Dari Darwin, seterusnya KD LEKIU akan meneruskan pelayaran  ke perairan Laut China Selatan bagi menyertai Eks KERISMAS 2022 yang mana ianya merupakan eksesais berskala besar Intra-TLDM yang dianjurkan secara tahunan. Eksesais ini akan melibatkan sebanyak 27 buah aset TLDM.  Dengan jumlah penglibatan aset armada yang besar dari Armada Barat dan Armada Timur ini telah  membuktikan TLDM sentiasa konsisten dan berupaya menjaga dan memulihara aset dengan baik.  


Suasana ‘kekurangan’ aset berbisa dalam inventori armada TLDM tidak melemahkan  semangat Navy People dan sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam menjaga kedaulatan dan kepentingan maritim negara melalui show of force dengan memperagakan aset-aset sedia ada di Zon Maritim Malaysia. Turut terlibat semasa eksesais ini adalah Fast Combat Boat, pesawat Super Lynx, Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM serta 6 pesawat dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset sokongan. 


Selepas tahun 2025 Eks KERISMAS dijangka akan lebih ‘meriah’ dengan penambahan aset-aset strategik ke dalam inventori armada TLDM bila mana perancangan perolehan melalui peruntukan RMK-12 yang bermula 2021 hingga 2025 akan menjadi kenyataan.  Di antara aset strategik yang termasuk dalam plan perolehan RMK-12 ialah Multi Roles Support Ship (MRSS), Special Force Boat (SFB), Anti-Submarine Warfare (ASW) Helicopter dan Littoral  Combat Ship (LCS) yang sedang dalam pembinaan.


Eks MALAPURA 30/22


Pada penghujung pelayaran, KD LEKIU akan menyertai satu lagi eksesais bilateral bersama Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) iaitu Eks MALAPURA 30/22 di Changi Naval Base, Singapura. Eksesais ini bertujuan memperkukuhkan kesefahaman antara TLDM dan TLRS dalam meningkatkan kebolehoperasian bersama di samping memperkasakan kerjasama antara kedua-dua negara melalui interaksi bilateral.


Bon Voyage


Objektif penglibatan TLDM dalam pelbagai eksesais seperti ini adalah bagi membina persefahaman dan meningkatkan keupayaan kebolehoperasian bersama angkatan laut sahabat serta memperkuatkan keselamatan dan kapasiti pertahanan negara melalui perkongsian berwibawa dengan kerjasama bilateral dan multilateral bagi memupuk kestabilan serantau. Selain itu, penglibatan ini dapat mengekalkan imej dan penghormatan TLDM di pentas antarabangsa di samping meningkatkan keyakinan komuniti maritim terhadap kemampuan dan komitmen TLDM. KD LEKIU dijadualkan  kembali ke TPL pada 17 November 2022.




Thursday, August 11, 2022

TLDM PERKUKUH KERJASAMA DALAM PEPERANGAN KONVENSIONAL DAN ASIMETRIK

Eksesais bersepadu antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama tentera Laut Negara Asing dan Agensi Penguatkuasaan dalam negara mutakhir ini adalah bertujuan untuk menguji dan memperkasakan keupayaan bersama antara tentera laut serta agensi penguatkuasaan dalam melaksanakan peperangan konvensional dan asimetrik.

Sedang berlangsung ialah Eksesais SAMUDERA PERKASA BARAT Siri 5/22 yang bermula pada 7 Ogos 2022 sehingga 12 Ogos 2022 ini antara TLDM dengan Agensi Penguatkuasaan Malaysia (Maritim Malaysia) bertemakan  Penguatkuasaan Undang-Undang Maritim, Carilamat dan Pengenalan Peperangan Di Laut. 

Objektif utama eksesais pada kali ini adalah bagi meningkatkan kebolehoperasian di antara TLDM dan Maritim Malaysia dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan menjaga keselamatan maritim negara ketika waktu aman maupun ketika menghadapi menghadapi sesuatu konflik.

Timbalan Panglima Armada Barat dalam satu kenyataan berkata, “Tema eksesais pada kali ini adalah berbeza berbanding sebelum ini kerana terdapat elemen kepada peperangan  asimetrik dan konvensional selain aspek navigasi dan ilmu kelautan serta carilamat yang masih dikekalkan. Inisiatif ini diyakini akan memperkukuhkan kesefahaman dan ketersediaan kedua-dua agensi melalui usahasama bersepadu bagi mematahkan sebarang niat jahat unsur-unsur yang melanggar undang-undang atau menceroboh perairan negara”.

Kombinasi Aset

Aset-aset terlibat dalam Eksesais ini ialah KD SRI INDERA SAKTI, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH dan pesawat Fennec TLDM manakala KM BAGAN DATUK, KM NYALAU serta pesawat AW139 dari Maritim Malaysia turut dibantu elemen sokongan daripada kedua-dua agensi seperti Fast Combat Boat dan Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM serta Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia. 

Majlis Pembukaan Eksesais telah dirasmikan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, YBhg Laksamana Pertama Farizal Myeor di KD SRI INDERA SAKTI, Pangkalan TLDM Lumut. Turut hadir semasa majlis upacara pembukaan adalah Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, YBhg Laksamana Pertama (M) V. PannirSelvan a/l Veloo.

Eksesais MAL- PAK

Sebelum itu, TLDM telah mengukuhkan kerjasama pertahanan  dengan negara sahabat  melalui Eksesais Malaysia-Pakistan (MALPAK) siri 4/2022 bersama Tentera Laut Pakistan (TLP) di sekitar perairan Selat Melaka pada 6 Ogos lalu.


Eksesais ini bertujuan meningkatkan kesefahaman serta kebolehoperasian bersama kedua-dua angkatan laut yang melibatkan KD JEBAT dan PNS TAIMUR. 


Aset terbaharu dalam armada TLP ini telah tiba di Tambatan Pangkalan Lumut pada 2 Ogos 2022 yang lalu adalah dalam siri  Lawatan Operasi. Kapal frigate kelas TUGHRIL ini merupakan kapal kedua selepas PNS TUGHRIL. 


Menurut Pegawai Perhubungan Awam Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, semua objektif eksesais telah direalisasikan melalui beberapa siri evolusi Peperangan Asimetrik dan Konvensional. Selain itu, perkongsian kepakaran dan ilmu kelautan turut diberi penekanan dengan pelaksanaan Personnel Exchange Programme warga kapal KD JEBAT dan PNS TAIMUR. Turut menjayakan eksesais ini adalah aset sokongan TLDM iaitu Fast Combat Boat dan pesawat Fennec TLDM. 


“Kelancaran pelaksanaan eksesais ini jelas mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi serta keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut dalam melaksanakan operasi bersama”. Kata pegawai itu lagi.


Wednesday, August 10, 2022

HARI PAHLAWAN DAN VETERAN BANGKIT PASCA RU6622

Tanggal 31 Julai setiap tahun adalah hari mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan.  Pahlawan dalam konteks pejuang-pejuang yang memperjuang serta memperhambakan diri dalam usaha untuk membebaskan tanahair dari dijajah atau diganggu-gugat oleh anasir-anasir yang sengaja memporak-porandakan keamanan dan keselamatan negara sejak era pra merdeka, pasca merdeka, insurgensi dan dalam peristiwa era moden di dalam dan luar negara. 


Bagi memperingati jasa dan pengorbanan yang dimaksudkan, negara mengangkat setiap 31 Julai sebagai Hari Pahlawan yang menjadi agenda tetap dalam kalender penting negara. Tahun ini  Istiadat sambutan Hari Pahlawan telah diadakan di Dataran Pahlawan Negara Putrajaya.  Selain Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan oleh Pasukan Keselamatan, acara-acara yang berunsurkan patriotik seperti deklamasi sajak, pentomin dipertontonkan yang menggamik nostalgia perjuangan pejuang-pejuang terdahulu.  


Bagi yang menghayati erti jerih payah perjuangan sudah pasti ada yang tidak berdaya menahan sebak.  Juraian air mata tidak dapat disembunyikan samada yang sedang menyaksikan di dataran malah yang menyaksikan siaran langsung di televisyen. 


Suasana ini memang suatu hakikat bagi menggambarkan persetujuan dan perakuan setiap diri yang bergelar rakyat jelata yang mengerti bahawa keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini adalah hasil keringat dan darah pejuang terdahulu dari individu, tentera malah juga polis. Apatah lagi yang menonton itu Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat secara langsung, balu serta anak-anak yang telah kehilangan tempat bergantung dan menumpang kasih sayang. 


Perasaan kepada yang bergelar Veteran ATM maupun yang hanya boleh dipanggil Bekas Tentera bercampur-baur bukan sahaja kerana dibawa mengenang kisah-kisah lama yang menyayat hati malah di samping itu ada korelasi pertembungan sejarah perjuangan yang telah menghasilkan keamanan dengan kesinambungan penghidupan pejuang itu sendiri yang rata-rata mampu melihat ‘kesenangan’ generasi yang lahir dalam kemakmuran sedangkan mereka sendiri masih terkial-kial untuk mencukupkan belanja kehidupan seharian.  


Sebilangan kecil yang ‘bertuah’ yang telah dianugerah pingat-pingat keberanian boleh menarik nafas lega kerana kelompok mereka sentiasa diberi perhatian.  Tidak dinafikan, Veteran yang cacat serta daif yang tidak mampu bekerja turut diberi saraan dengan kadar tertentu setiap bulan oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) malah juga sentiasa berada dalam radar pemantauan Persatuan-persatuan Veteran jika individu tersebut menjadi ahli persatuan.


Namun ada lagi kelompok Veteran dan Bekas Tentera yang menamatkan perkhidmatan sebelum tahun 2004 sememangnya agak kurang  bernasib baik meskipun bukan semua yang berada dalam kalangan Bottom 40 (B40), keperluan mereka tidak diberi perhatian sewajarnya dalam konteks sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka. 


Pada dasarnya mereka dinasihatkan dan digalakkan menyertai persatuan kerana dengan berpesatuan selain dapat menyambung silaturrahim, jika berlaku musibah atau sakit demam, ada juga orang persatuan datang mengambil cakna. Namun begitu, persatuan tidak mampu untuk ‘memberi’ sepanjang masa kerana persatuan tiada pendapatan tetap selain geran peruntukan daripada JHEV yang tidak cukup untuk memberi manfaat kepada semua ahli. 


Oleh kerana itu, lebih ramai Veteran/Bekas Tentera mengambil sikap independen dan tidak berminat untuk menyertai persatuan terutamanya bagi mereka yang berpencen selepas tahun tahun 2014 kerana pencen mereka agak lumayan dan merasakan tidak perlu lagi mengharap dan menagih simpati persatuan.


 Tabung Rayuan Hari Pahlawan


Penulis tidak pasti adakah tahun ini Kempen Kutipan Tabung Rayuan Hari Pahlawan (TRHP)  dilancar atau tidak.  Ada atau tidak, ianya mempunyai persepsi yang pelbagai dalam kalangan masyarakat sebelum ini.  Yang bagusnya, tabung ini sekurang-kurangnya dapat membantu sedikit sebanyak pihak JHEV maupun persatuan-persatuan Veteran mengambil cakna terhadap Veteran-veteran yang berada dalam sasaran yang memerlukan bantuan berterusan.  Bukan sedikit perbelanjaan bagi memenuhi keperluan ini.  


Namun begitu, tidak kurang juga dalam kalangan masyarakat yang mengkritik mengatakan  Tabung Rayuan Pahlawan ini sudah tiba masanya dihentikan rayuan atau dengan kata lain pihak persatuan-persatuan Veteran tidak perlu lagi menjaja tabung meraih simpati orang ramai di merata-rata tempat.  Kata mereka, tindakan menjaja tabung rayuan ini memalukan Institusi Veteran itu sendiri.  Kata mereka lagi, sepatutnya keperluan menyantuni Veteran ini disediakan melalui dana khas yang disediakan oleh kerajaan yang mungkin juga subsidiary sebagai contoh: dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)   sesuai dengan jasa dan pengorbanan mereka yang sebelum ini juga adalah pencarum tetap sepanjang perkhidmatan mereka yang secara langsung telah ‘mengkaya’ LTAT itu sendiri melalui pelaburan-pelaburan yang dibuat.


Sebagai timbal balas, LTAT sepatutnya boleh membimbing dengan menjadikan Persatuan-persatuan Veteran yang ada sebagai anak syarikat bagi mengurus segala kepentingan LTAT yang mana Veteran-veteran itu sendiri mampu mengendalikannya secara kolektif dan sekaligus memberi peluang pekerjaan secara langsung sebagai kerjaya kedua kepada Veteran yang masih mendambakan kerja.  Sebagai contoh: Persatuan Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) boleh diamanahkan untuk mengoperasikan Dockyard dan lain-lain bidang yang berkait dengan profesionalisme mereka.

  

Rasionalnya di dalam  syarikat Boustead Naval Shipyard itu sendiri sebagai contoh, sebahagian perkerjanya dari  CEO, pegawai-pegawai executive hinggalah teknisyen adalah ramai dari kalangan Veteran TLDM juga.  Demikian juga firma-firma anak syarikat LTAT yang lain yang mengendalikan aset-aset tentera darat dan udara apa salahnya kalau dilantik persatuan-persatuan berkaitan mengendalikannya.  Guballah polisi apa pun supaya kaedah boleh diguna pakai dan direalisasikan untuk tujuan yang baik.


Secara tak langsung pengaliran keuntungan syarikat dapat dimanfaat terus kepada Veteran yang bekerja dan sedikit keuntungan disalur kepada tabung/koperasi yang boleh dimanfaatkan kepada ahli-ahli lain sekaligus mengurangkan beban kerajaan untuk menanggungnya.


Ada yang mengesyorkan, pada sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos nanti supaya para Veteran melalui Persatuan-persatuan tidak lagi diminta berbaris sebagai kontinjen kerana kekuatan mereka untuk berjalan jauh tidak lagi sesuai.  Veteran ATM maupun PDRM sewajarnya ditempatkan di bawah Pavillion atau pentas khas bersebelahan dengan pentas utama orang kenamaan.  Masanya untuk mereka pula melihat deretan perbarisan anak-anak warisan mereka dari atas pentas, bukan masanya untuk mereka sendiri berbaris berkawad  bersama anak-anak sehinggakan ada yang tercicir dari barisan kerana masalah kesihatan.


Skeptikal


Bila sebut pejuang, ada orang atau segolongan yang merasa jengkel dan skeptikal dengan perkataan ini kerana bagi mereka pejuang hanya layak digelar kepada individu atau pasukan era zaman dahulu yang sering bertempur di hutan dan seumpamanya. Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  era 1990an adalah tentera ‘makan tidur’ kata mereka.  Mereka berfikir negara sudah tiada ancaman.  Tentera yang ada hanya menjalani kehidupan seperti orang awam yang lain, bekerja dari jam 8 hingga 5 sahaja.  Bila tiada pertempuran, ramai yang menganggap tentera  sudah tidak ada kerja.


Kerja tentera tidak seperti mana kerja orang awam biasa.  Walau pun kita nampak tentera berada di dalam kem memakai baju bersih keluar masuk pejabat tetapi sebenarnya tentera mempunyai rutin kerja yang membahagikan kehidupan mereka dalam fasa-fasa tertentu iaitu fasa kritikal yakni fasa peperangan sebenar dan fasa aman.  Meski pun negara berada dalam keadaan aman namun anggota tentera tidak berada dalam keadaan aman sepenuhnya kerana persediaan perang sentiasa dikemaskini melalui latihan-latihan dalaman dan luaran yang mana memerlukan komitmen seperti mana perang sebenar.  


Masa aman, negara masih lagi bergelut dengan masalah serta aktiviti-aktiviti penyeludupan,  pemerdagangan manusia dan lain-lain jenayah rentas sempadan yang masih berleluasa yang tidak mampu ditangani oleh Agensi-agensi Penguatkuasaan bersendirian.  Justeru kolaborasi anggota ATM dan Agensi-agensi terbabit merupakan sinergi mapan bagi membendung aktiviti tersebut di samping melaksanakan misi-misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.


Jiwa seseorang anggota tentera tidak sahaja boleh terkorban melalui tembakan musuh fizikal yang berada di hadapan yang telah diistihar dalam peperangan. Nyawa mereka boleh terkorban beramai-ramai melalui latihan jika Standard Operating Prosedur (SOP) latihan tidak dipatuhi dengan ketat atau dalam bahasa yang selalu orang guna ialah ‘kalau silap-silap haribulan.  Ini bagi menggambarkan latihan ketenteraan sentiasa berdepan dengan musibah.  Anggota PARA atau komando yang membuat latihan penerjunan boleh terkorban jika paracutnya tidak terbuka, anggota penyelam ranjau boleh terkorban dalam selaman rutin mereka, pemandu-pemandu pesawat bila-bila masa sahaja boleh terkorban jika berlaku failure ke atas jentera mereka. Pendek kata sebagai seorang tentera, mereka harus waspada sentiasa kerana musibah untuk mereka boleh datang dalam  pelbagai dimensi yang menuntut kepada kewaspadaan yang tinggi meski pun bukan dalam peperangan sebenar.


Latihan berterusan adalah sebahagian daripada rutin kehidupan anggota tentera.  Orang nampak anggota tentera bekerja selama 8 jam sehari tetapi hakikat sebenar kaki mereka ‘dirantai’ oleh perkhidmatan selama 24 jam sehari.  Oleh kerana itu perkhidmatan kritikal anggota Lain-lain Pangkat (LLP) ATM dihadkan cuma 22 tahun. 


Veteran Bangkit Dan RU6622


Bila soal kebajikan tidak ditangani dengan baik, lama-kelamaan rasa tidak puas hati menjadi barah, maka tidak hairanlah jika  Veteran/Bekas Tentera mula bangkit menuntut hak-hak mereka yang ‘dikatakan’ telah diselewengkan  atau dimanipulasikan dengan tidak meletakkan hak-hak itu kepada yang berhak seperti mana yang tertulis di dalam Perlembagaan.  


Selama bertahun-tahun samada secara  individu maupun melalui persatuan memohon kepada kerajaan mempertimbangkan beberapa tuntutan yang dikira perlu selaras dengan peruntukkan-peruntukan yang sedia ada namun pihak kerajaan nampak agak sukar untuk mempertimbangkan di samping kerap memberi alasan-alasan untuk mengkaji, mengkaji dan mengkaji yang akhirnya ‘berselindung’ di sebalik implikasi kewangan kerajaan.


Itulah punca sebenar Veteran Bangkit mengadakan himpunan aman yang dinamakan Re-union Bekas Perajurit pada tarikh 6.6.2022 (RU6622) lalu bagi menzahirkan kekuatan dimana Veteran/Bekas Tentera   mampu menjadi kumpulan pendesak yang boleh mencorak geopolitik negara bila keadaan memerlukan mereka berbuat demikian. Walau pun pelbagai rintangan dan halangan yang dilalui oleh Jawatankuasa Veteran Bangkit, akhirnya terlaksana jua apa yang dirancang. Dikatakan lebih dua ribu orang  Veteran ATM dari pelbagai kategori pangkat dari seluruh pelusuk negara telah hadir berhimpun secara aman di Tugu Negara menyuarakan tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan kebajikan Veteran ATM.  Fenomena bermula di Tugu Negara dan siri-siri berikutnya diadakan di Shah Alam, Kuala Kangsar, Kuantan dan bakal diteruskan di bandar-bandar seluruh negara sehingga apa yang dituntut dilayani dengan sewajarnya oleh pihak kerajaan.


Banyak  tuntutan yang telah disenaraikan oleh individu dan persatuan-persatuan sejak beberapa tahun lalu namun yang terkini tuntutan oleh gerakan Veteran Bangkit RU6622  telah disenarai pendekkan kepada 3 saja iaitu:


a. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarah Majlis Angkatan Tentera (MAT) melaksana segala kuasanya menurut undang-undang untuk selaraskan pencen bagi Veteran yang bersara sebelum tahun 2004, 2013 mengikut kuasa yang ada pada MAT berdasarkan Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, kuasa kebelakangan yang ada pada MAT di Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera dan Peraturan-peraturan Pencen dan Faedah-faedah Lain di bawahnya. 


b. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT memberi pertimbangan berdasarkan kuasa  Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 15, Seksyen 36, Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera supaya anggota tentera, anggota sukarela yang dikerahkan dan Veteran diberi hak yang seakan serupa secara kebelakangan yang di nikmati oleh semua penjawat awam dimana mereka boleh diberi pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun perkhidmatan seperti yang di peruntukkan di dalam Seksyen 9,10,11 dan 12 Akta Pencen 1980; dan seperti juga Ahli Parlimen dan ADUN yang hanya perlu berkhidmat 36 bulan sahaja boleh  dapat pencen. 


c. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT menubuhkan satu Lembaga Pengampunan menurut kuasanya di Perkara 4(1), Perkara 4(2) dan Perkara 137(1) Perlembagaan Persekutuan dimana Yang DiPertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, termasuk  meremitkan,  menggantung atau meringankan hukuman berkenaan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan oleh pegawai atasan, bagi mereka yang layak, supaya mereka yang tidak layak digelar sebagai Veteran oleh Akta Veteran 2012 boleh diterima balik sebagai Veteran dan mereka, suami/isteri dan anak-anak yang layak boleh mendapat kemudahan kebajikan seperti Veteran yang lain. 


Sejurus selepas kejayaan mengadakan RU6622, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein Menteri Pertahanan Malaysia, tampil memberi bayangan satu berita baik yang akan diumumkan secara rasmi nanti bahawa kerajaan setuju untuk mempertimbangkan dua tuntutan yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Persatuan Veteran ATM (PVATM)  iaitu pemberian Pencen Terbitan kepada balu/duda Veteran ATM.  Serentak dengan pengumuman tersebut pihak JHEV telah berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan kepada 25 orang dan proses pembayaran pencen terbitan ini kepada 10 orang lagi dalam masa terdekat. Pengumuman kedua berkaitan Panel Penasihat Pengiktirafan Veteran ATM dimana seramai 28 orang Bekas Tentera telah dikenal pasti dan dipilih oleh pihak JHEV untuk diberi pertimbangan tersebut.  Meskipun Menhan menyebut pertimbangan kerajaan ini adalah berdasarkan perbincangan bersama Jawatankuasa  Khas PVATM, namun ramai yang berpendapat bahawa ianya bertitik-tolak dari hasil dari gerakan RU6622 juga. 


Hasil dari sokongan Veteran/Bekas Tentera melalui gerakan RU6622, dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) baharu berjaya ditubuhkan bagi tujuan membuka akaun bagi mengumpul dana untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang.


Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) yang diketuai oleh Mej Haji Mior Rosli bin Haji Mior Mohd Jaafar TUDM (Bersara) yang akan membawa tuntutan ini ke Mahkamah Tinggi. 


Pertubuhan Pembela Pejuang Negara (PPPM) yang diketuai oleh Dato’ Abd Rahman bin Husain  TLDM (Bersara) yang akan mewakili 14,000 Veteran/Bekas Tentera yang telah mengisi borang petisten ke Mahkamah Tribunal Timbangtara. 


Sebelum itu beberapa pertubuhan NGO yang diasaskan oleh Veteran ATM sudah pun diwujudkan dan bergerak melaksanakan misi masing-masing dalam skala yang kecil dan tidak agresif.  Di antaranya ialah Pertubuhan Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM) yang diketuai oleh Sdr Azizan Salleh (Azizan  Memali), Pertubuhan Media Tentera Rakyat (MTR) yang digerakkan oleh Sdr Ali Baharom, Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) yang digerakkan oleh Sdr Rani Kulup, Pertubuhan PAHLAWAN yang diketuai oleh Sdr Asri KDO. Terkini, penubuhan NGO yang berasaskan Veteran ATM yang mula diwar-warkan melalui media sosial ialah Pertubuhan WIRA RAKYAT NEGARA (WIRAN). 


Kedengaran juga desas-desus yang mengatakan Veteran ATM juga sedang berusaha untuk menubuhkan sebuah Parti Politik bagi tujuan untuk memperjuangkan hak-hak istimewa Veteran ATM melalui Parlimen ekoran Ahli-ahli Parlimen yang ada tidak begitu bersungguh-sungguh untuk membantu Veteran ATM.  Parti ini dijangka akan menyertai PRU15 jika diluluskan penubuhannya nanti. Di antara perkara lain yang menjadi agenda parti Veteran sepertimana yang diviralkan ialah untuk membenteras rasuah yang berleluasa dalam negara ketika ini. 


Kembalikan Roh Perjuangan Dan Solidariti


Natijah kepada perbincangan ini, tentera sebenarnya mempunyai roh perjuangan yang kuat, sebati dalam diri mereka. Semangat perjuangan yang ditanam sedari awal penyertaan seseorang di dalam perkhidmatan tentera sebenarnya tidak luntur meski pun tempoh perkhidmatannya tidak bertahan lama disebabkan beberapa perkara.


Tentera adalah institusi dimana sesebuah kerajaan bergantung harap sehingga kepada saat akhir nyawa sesebuah kerajaan demokrasi boleh bertahan dalam suatu pemerintahan. Apa jua bentuk pencerobohan dari dalam dan luar, tentera menjadi galang ganti nya.


Institusi ketenteraan ATM khususnya adalah sebuah kerajaan dalam kerajaan. Jika kerajaan yang dibentuk secara demokrasi gagal mentadbir, tenteralah yang akan ambil alih sebagai kerajaan interim.  Tentera mempunyai kemampuan untuk memerintah kerana tentera mempunyai kemahiran melalui jabatan yang  telah disusun untuk menerajui negara supaya sistem kenegaraan boleh berjalan seperti biasa jika berlaku rusuhan atau darurat. 


Patriotisme Veteran ATM adalah denyut nadi yang masih berkait rapat di dalam struktur utama ATM. Meski pun ianya kelihatan di luar perkhidmatan namun denyut nadinya adalah sebahagian daripada perkhidmatan. Sebab itu di dalam ATM, Veteran dijaga khas oleh oleh jabatan di bawah Kementerian Pertahanan iaitu JHEV.


Penulis yakin sekuat mana alun yang berkocak atau ada  tangan-tangan ghaib yang berusaha dan mengambil kesempatan untuk merungkai solidariti dalam kalangan Veteran/Bekas Tentera melalui NGO maupun  badan politik akan berakhir dengan kegagalan bila mana roh perjuangan Angkatan Tentera Malaysia ditiup kembali ke dalam jiwa warga ATM yang mempunyai keluarga besar dan yang paling penting kerajaan mesti mempunyai roh yang sama dengan warga ATM dan sentiasa mendengar rintihan dan keluhannya.