Pages

Monday, February 28, 2022

OP BENTENG - KEUPAYAAN FCB TLDM TERSERLAH

 



Telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Jan/Feb 2022

Oleh:  Paklang Hamzah

Foto: TLDM


Fast Interceptor Craft (FIC)  mula memasuki inventori Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada bulan Mac 2021 dan diletakkan di bawah naungan skuadron Bot tempur Laju (FCB). Bot pemintas laju Kelas G2000 FIC yang saiznya 18 meter panjang dan 4.6 meter lebar dilengkapi persenjataan 1 x 12.7mm RCWS dan 2x 7,62mm machine gun serta didorong oleh 2 jentera utama dengan sistem dorongan Jet air (Water Jet) mampu mencapai kelajuan maksima 50 knots.  Bot berkelajuan tinggi ini telah dibina sepenuhnya oleh Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI) di Limbungan GMI Lumut Perak.


Sebanyak 6 buah FCB pada perolehan pertama dengan setiap satunya dikendalikan oleh 5 orang kru dan mampu memuatkan sehingga 8 orang Quick Reaction Force pada satu-satu masa.  Diberi pengenalan dengan nombor 1021, 1022,1123,1124,1325 dan 1326 dan ditempatkan  di beberapa Pangkalan TLDM seluruh Malaysia untuk penugasan operasi bagi memperkukuhkan kawalan perairan negara. Pembelian FCB ini adalah sangat relevan bagi mempertingkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan di perairan cetek dan juga bersesuaian dengan  geografi negara Malaysia yang berpulau.


Walau pun mula menyertai Ops Benteng  pada 26 Apr 2021 yang lalu, Skuadron FCB telah menunjukkan keupayaan yang sangat memberangsangkan dan telah dizahirkan melalui beberapa kejayaan yang dicapai iaitu pada 29 Apr 2021 telah membuat tangkapan penyeludup di Telok Ramunia Johor, 1 Jun 2021 telah membuat tangkapan PATI di Johor dan tangkapan nelayan Vietnam di Pulau Tioman Pahang pada 4 dan 8 Jun 2021..


Kejayaan 2022


Kejayaan terkini ialah pada pada 20 Januari lalu, bot FCB TLDM  sekali lagi membuktikan kemampuan  mematahkan satu aktiviti rentas sempadan. Kali ini melibatkan cubaan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Tindakan pantas kru FCB 1123 telah berjaya menahan 21 orang PATI di perairan Johor Selatan.


Aktiviti rentas sempadan ini dikesan sekitar jam 2.51 pagi oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) di mana satu kontak  berkelajuan tinggi dikesan bergerak di Selatan perairan Tanjung Penyusop, Johor dalam keadaan mencurigakan.


Area Control Centre (ACC) Johor seterusnya memaklumkan kepada , KD SRI INDERA SAKTI (KDSIS) selaku Ketua Gugus Tugas dalam operasi ini dan seterusnya  mengaturgerak task unitnya iaitu FCB 1123 untuk melaksanakan penjejakan dan pemintasan ke atas kontak tersebut. 


Menyedari kehadiran bot FCB TLDM, bot curiga telah bertindak memecut laju dan berpatah balik untuk keluar dari perairan negara. Semasa bot tersebut berusaha untuk melarikan diri dan cuba mengelak dari ditahan untuk diperiksa, ia  bertindak agresif dengan melanggar FCB 1123 yang mengakibatkan bot curiga terbalik di lokasi. 

Hasil tindakan pantas kru FCB 1123 telah berjaya menyelamatkan sejumlah 21 mangsa dipercayai PATI terdiri dari 9 lelaki serta 12 wanita dan dua darinya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. 


Kesemua 21 orang PATI yang diselamatkan telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan seterusnya diserahkan kepada Tim Op MERPATI 1 Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk ujian saringan COVID-19 dan juga siasatan lanjut. Siasatan lanjut yang dilaksanakan ke atas mangsa yang diselamatkan mengesahkan bot curiga telah membawa seramai 27 individu dipercayai PATI semasa kejadian.


Operasi Carilamat telah diaktifkan sejurus selepas kejadian bagi mengesan baki 6 orang PATI yang masih hilang. Usaha Carilamat telah dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM) dengan penglibatan aset TLDM iaitu FCB 1124, RHIB SANTI dan RHIB CERDIK di lokasi. Hasil pencarian telah menemukan 3 orang mangsa wanita di lokasi berhampiran dan meneruskan pencarian 3 mangsa lagi.


Nota Kaki


Pembukaan sektor ekonomi dalam negara dalam fasa endemik COVID-19 telah menjadi pendorong kepada peningkatan aktiviti rentas sempadan samada melalui jalan laut mau pun melalui sempadan darat.


Operasi-operasi bersepadu dalam kalangan agensi-agensi penguatkuasa dilihat mampu menangani aktiviti- aktiviti seperti ini, namun begitu pihak kerajaan seharusnya menyediakan aset-aset serta alat bantu  berprestasi tinggi kepada agensi-agensi penguatkuasa terlibat di samping membina makanisma penghadang seperti tembok di sepanjang sempadan negara. 


Aset-aset udara dan FIC perlu kepada penambahan kerana aset udara mempunyai keupayaan yang tinggi bukan sahaja dari sudut jangkauan dan kepantasan malah identifikasi terhadap kontak mencurigakan yang dikesan melalui radar dapat dikenal pasti secara visual sebelum menghantar pasukan darat atau laut untuk membuat pemintasan dan penangkapan.


Dengan cara ini bukan sahaja aktiviti pencerobohan dapat dikekang semaksima mungkin malah negara akan kembali mendapat keuntungan dari kutipan percukaian serta penyeludupan keluar barang-barang terkawal yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi negara-negara jiran dapat dikekang penularannya.


TENTANG ORANG PELARIAN


Telah diterbitkan di Majalah Perajurit edisi Jan/Feb 2022

Oleh: Paklang Hamzah

Siapakah Orang Pelarian? Kebanyakan orang sering kali membuat tanggapan yang salah berkaitan siapa sebenarnya Orang Pelarian.  Ramai yang beranggapan bahawa mereka ini adalah dari kalangan orang yang mencari peluang-peluang pekerjaan bagi menjana ekonomi.  Definisi yang diberikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Orang Pelarian (UNHCR) tentang Orang Pelarian ialah sekumpulan manusia yang menjalani kehidupan normal  seperti orang lain di negara-negara asal mereka. Kemudian sesuatu yang buruk telah berlaku telah mengubah segalanya.  Rumah mereka dirosakkan oleh perang atau mereka menghadapi pencabulan hak asasi manusia yang serius di mana rumah-rumah mereka tidak lagi selamat untuk didiami. 

Pelarian pada maksud kata terbitan adalah suatu perjalanan yang dilakukan oleh puluhan ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang telah melarikan diri ke mana sahaja termasuk Malaysia dan negara-negara lain semata-mata untuk menyelamatkan diri dari peperangan dan pencabulan hak asasi manusia.  

Bagaimana rasanya jika suatu hari anda menjadi Orang Pelarian?. Di mana anda akan kehilangan semua yang anda hargai yakni keluarga, rakan, rumah dan anda terpaksa melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa anda dengan menempuh perjalanan sejauh berbatu-batu dengan berjalan kaki melalui hutan tebal malah dengan kapal yang bocor merentasi laut berbahaya.  Apa yang kita tahu ialah setelah mereka kehilangan segalanya, mereka mempunyai suatu keberanian dan ketekunan yang luar biasa untuk tetap tabah dan positif dalam kehendak mereka untuk terus hidup kerana mereka tidak mempunyai pilihan selain melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa mereka dan tidak dapat pulang dengan selamat.  

Berbeza dengan istilah Pendatang di mana individu atau pun kumpulan manusia yang memasuki negara ini dengan memiliki dokumen yang sah atau digelar Pendatang Dengan Izin (PADI) atau pun sebaliknya Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah melalui jalan-jalan laut dan darat secara sembunyi semata-mata untuk mencari peluang-peluang pekerjaan bagi menjana ekonomi bagi keperluan diri serta keluarga di negara asal mereka.  Apa yang sering berlaku di Malaysia ialah PADI boleh bertukar status menjadi PATI bila mana mereka tidak kembali ke negara asal mereka dan ‘menghilangkan diri’ setelah dokumen perjalanan atau pekerjaan telah tamat tempoh yang dibenarkan berada di negara ini.  Untuk mendapat peluang bekerja di negara ini mereka sanggup membayar ribuan ringgit kepada orang tengah yang menjalankan kegiatan memperdagangkan manusia.

Catatan UNHCR

 UNHCR adalah sebuah agensi PBB yang  bekerja keras setiap hari untuk melindungi Orang Pelarian dan menolong mereka sebagaimana mereka menolong diri mereka sendiri. 

Lebih 40 tahun UNHCR telah bekerja di Malaysia dengan membantu kerajaan memberikan perlindungan dan bantuan kepada Orang Pelarian dalam negara ini.  Hari ini Program Kemanusiaan UNHCR telah melindungi dan membantu lebih 178,000 pelarian lelaki, wanita dan kanak-kanak di Malaysia.

UNHCR menyedari bahawa perlu membolehkan Orang Pelarian hidup dalam komuniti yang sah, damai tanpa gangguan bagi membolehkan mereka melaksanakan hak dan kebebasan serta membuat pilihan yang bermakna mengenai isu-isu yang mempengaruhi kehidupan mereka di samping menyumbang kepada komuniti mereka untuk hidup dengan martabat dan kemerdekaan yang lebih baik.

Orang Pelarian berhak meminta suaka untuk tidak dihantar pulang ke negara di mana nyawa atau kebebasan mereka mungkin berisiko. Walau bagaimana pun, perlindungan antarabangsa telah melibatkan lebih dari sekadar keselamatan fizikal. Orang Pelarian sekurang-kurangnya harus mendapat hak sosial dan ekonomi asas yang sama dengan orang asing lain yang merupakan penduduk sah. Sebagai balasannya, mereka diminta menghormati undang-undang dan peraturan negara suaka mereka. 

Sebagai agensi Orang Pelarian, UNHCR memberi penekanan yang besar dengan mengutamakan bantuan kepada pelarian yang paling teraniaya, sambil memberi peluang kepada kumpulan Orang Pelarian supaya lebih berdikari dan memperkuat keupayaan rakan kongsi mereka untuk melayani masyarakat Orang Pelarian dengan lebih baik.

UNHCR berkerja keras dengan memberi peluang kepada Orang Pelarian dalam menjaga diri mereka sendiri dengan lebih baik semasa berada dalam buangan. Untuk seketika, UNHCR membantu mereka mempelajari kemahiran dan peluang baharu untuk berdikari.  Sebagai contoh, memberi pekerjaan dengan masyarakat awam, sektor swasta dan dalam komuniti pelarian mereka sendiri.

Melindungi hak anak-anak pelarian bagi mendapatkan akses pendidikan dan menikmati pengalaman zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak lain.  Bagi memenuhi keperluan pendidikan asas, UNHCR menyokong  pembinaan pusat pembelajaran dalam persekitaran yang selamat untuk menjalankan kelas, menyediakan guru dalam kalangan Orang Pelarian yang dibayar dan dilatih dan menyediakan alat pendidikan yang mencukupi untuk guru dan pelajar.

Di Malaysia, Orang Pelarian tidak mempunyai status yang sah dari segi undang-undang untuk menentukan hak mereka.  Mereka dan keluarga mereka yang tinggal di Malaysia  hidup dalam keadaan ketakutan berikutan akan ditangkap di atas kesalahan melanggar undang-undang Imigresen.

Ibubapa tidak dapat bekerja secara sah dalam sektor awam untuk menyara keluarga mereka. Mereka sering dieksploitasi dengan melakukan pekerjaan di sektor-sektor  tidak rasmi di mana pekerjaan itu kotor, berbahaya, dan sukar. Kanak-kanak tidak dapat menerima pendidikan formal dan ramai di antara mereka yang tidak dapat menerima pendidikan asas persekolahan.

Penjagaan kesihatan agak mahal kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap. Sukar bagi mereka dan keluarga mereka untuk mendapatkan rawatan walau pun sebagai rawatan asas apabila ada yang jatuh sakit.

Namun begitu mereka  tetap kuat dan  bertekad untuk saling membantu sesama mereka dengan mencari jalan berdikari untuk membina kehidupan yang lebih selesa di tempat orang.  Mereka tidak hanya menunggu untuk diserahkan kepada mana-mana pihak.  Mereka berusaha mencari jalan keluar bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri dan cuba mengatasi dengan cara yang terbaik ketika mereka berada dalam pengasingan. 

Memilih Malaysia

Mengapa mereka memilih negara Malaysia adalah bergantung kepada pelbagai faktor praktikal atau peribadi.  Ini mungkin kerana Malaysia adalah negara suaka yang agak berdekatan, mudah masuk dan mereka merasakan di Malaysia mereka akan lebih selamat.  Mungkin juga mereka mempunyai agama atau budaya yang seakan sama dengan orang-orang di negara suaka dan banyak fleksibiliti yang boleh dikongsikan.  Mereka juga mungkin sudah mengetahui melalui keluarga atau rakan-rakan lain yang telah berjaya sampai ke negara ini sebelum mereka dan mereka tahu bahawa mereka akan mendapat pertolongan ketika mereka tiba.  Malah ada sumber yang mengatakan terdapat individu yang bukan datang dari kelompok yang menjadi mangsa dalam kancah pergolakan tetapi sengaja mengambil kesempatan menempatkan diri dalam kapal yang membawa mereka semata-mata untuk mendapat ‘tiket’ perlindungan UNHCR semasa berada di negara buangan.

Di Malaysia, Orang Pelarian ini tidak mendapat apa-apa manfaat daripada program kebajikan di negara ini. Semua dana untuk program penjagaan dan bantuan kepada Orang Pelarian berasal dari negara penderma, sektor swasta, dan individu swasta.

Pada era 1970an hingga 1990an memang terdapat kem-kem penempatan di Malaysia bagi menempatkan Orang Pelarian Indochina namun selepas pemansuhan kem-kem tersebut semua Orang Pelarian tidak lagi ditempatkan di kem-kem penempatan tetapi sebaliknya  mereka  ini tinggal di bandar-bandar di seluruh Malaysia. Sebenarnya lebih daripada separuh Orang Pelarian di dunia tinggal di kawasan bandar.  Dengan harapan, komuniti Orang Pelarian ini dapat menggunakan kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu serta mengembangkan potensi diri supaya mereka akan lebih tahan dalam menghadapi suatu kehidupan yang lebih berdaya saing di samping dapat menyumbang kepada masyarakat Malaysia dan mengatasi cabaran masa depan mereka dengan lebih baik. 

Pecahan penempatan mereka di Malaysia adalah sebanyak 56.5% mereka tinggal di zon tengah iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.  Sebanyak 21.7% mereka bertebaran di zon utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.  Sebanyak 11.8% mereka tinggal di zon selatan semenanjung iaitu Melaka, Johor dan Negri sembilan dan 10% mereka tinggal di zon Timur  iaitu Kelantan, Trengganu dan Pahang.

Berakhir Ogos 2020, seramai 178,140 Orang Pelarian yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.  68% daripada mereka dari kalangan lelaki, 32%  adalah wanita dan terdapat 46,500 orang kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun.

Hakikat

Di Malaysia, Orang Pelarian Myanmar  sahaja dianggarkan mencecah ratusan ribu orang dengan mendakwa pemegang kad UNHCR. Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol Pelarian 1957 tidak memperuntukan apa-apa keistimewaan untuk mereka. Meski pun Malaysia tidak mengiktiraf Orang Pelarian dan menganggap mereka sebagai pendatang tanpa dokumen, namun atas dasar kemanusiaan, kerajaan Malaysia ‘kelihatan membiarkan’ mereka menikmati pelbagai kemudahan pergerakan, pekerjaan, berkahwin dengan warga tempatan dan tidak dihantar ke negara asal secara melulu. Ini adalah kerana Malaysia mengamalkan cara hidup  muslim yang sebenar yang sentiasa inginkan kebaikan.  Islam adalah agama yang menyeru kepada keamanan, mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan menolak kezaliman.  Justeru sejak awal lagi Malaysia sebagai negara Islam memerangi kezaliman dan mengutuk keras segala bentu kezaliman dan keganasan.  

Mereka bebas menjalankan aktiviti penjanaan ekonomi malah sudah ada yang menjadi majikan kepada buruh-buruh tempatan di pelbagai sektor.  Kita boleh lihat tanpa rasa bersalah, mereka menjalankan perniagaan di pasar-pasar di bandar-bandar besar secara bersendirian yang mana semua perlakuan seumpama ini telah menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan sendiri. Mereka turut menikmati harga subsidi barangan terkawal yang sepatutnya untuk dinikmati oleh warganegara sahaja. 

Penulis agak skeptikal dengan angka 178,140 yang dikeluarkan oleh UNHCR tentang jumlah Orang Pelarian  yang berdaftar di negara ini kerana pada anggapan penulis, pemegang kad UNHCR palsu  juga ramai berkeliaran di persekitaran negara ini.  Mereka ini adalah dari kalangan PATI yang diurus oleh sindiket-sindiket yang mengawal mereka dengan memberi perkerjaan di pelbagai sektor dan tidak mustahil mereka berselindung di sebalik kad UNHCR palsu. 

Sebagai contoh, penempatan Orang Pelarian di Bukit Malut Langkawi sedang menjadi isu terbaharu dalam negara hasil dari ‘kebaikan’ kita orang Malaysia melayani tetamu yang tidak diundang ini pada suatu ketika dahulu.  Mereka dah bergenerasi di situ membina penempatan sesuka hati mereka dan khabarnya mereka juga sudah memiliki Mykad yang sah.  Bila dilihat, penempatan tersebut tak ubah seperti rumah air di Sabah yang menjadi penempatan pendatang Filipina pada asalnya.   Tidak mustahil penempatan seperti itu menjadi transit kepada rakan-rakan baharu yang sentiasa membuat cubaan untuk masuk melalui Langkawi dengan pelbagai helah untuk mengabui mata penguatkuasa.

Penghantaran Pulang

Dalam soal membantu menyelesaikan kemelut Orang Pelarian ini bukan sahaja umat Islam, malah seluruh rakyat Malaysia perlu menyokong pendirian tegas kepimpinan negara menggesa PBB, negara-negara Asean dan negara-negara ketiga supaya turut memainkan peranan supaya mereka dapat pulang dengan selamat atau diberi kediaman baharu di negara lain dan menikmati perlindungan di negara tersebut.  

Pada Februari tahun lalu seramai 1,086 pendatang tanpa izin (PATI) dari Myanmar telah dihantar pulang.  Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud, semua PATI Myanmar itu dihantar menggunakan 3 buah kapal Tentera Laut Myanmar melalui Pangkalan TLDM Lumut Perak. JIM menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang adalah warganegara Myanmar dan tidak membabitkan etnik Rohingya atau pencari suaka.  

Semua mereka yang dihantar pulang itu bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan oleh mana-mana pihak.  JIM melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan negara-negara seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang kini ditahan di depoh Imigresen dalam jumlah yang besar.  

Langkah kerajaan ini dilihat sangat wajar memandangkan beban yang ditanggung oleh pihak kerajaan bagi menampung kehidupan mereka dalam tahanan Imigresen negara ini telah melibatkan kos yang tinggi yang sepatutnya perbelanjaan tersebut boleh dimanfaatkan untuk kegunaan rakyat.  Sebarang penglibatan kumpulan  Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ‘menggangu’ usaha kerajaan ini adalah sangat tidak wajar.  

Namun persoalan yang sering diajukan oleh rakyat tempatan ialah berapa lama lagi Orang Pelarian di bawah UNHCR ini harus mendapat suaka di negara ini? Malaysia sudah terlalu sesak untuk terus menampung mereka-mereka ini yang sudah bertapak sekian lama dan mereka seharusnya dihantar pulang bukan sahaja  yang berstatus PATI malah yang bernaung di bawah UNHCR juga sepatutnya diatur jalan pulang.

 Soalan ini terbit adalah mungkin kerana rakyat sudah muak dengan berita-berita yang sering berlegar dalam media massa tentang isu-isu semasa yang berkait dengan keganasan dan masalah sosial yang boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam negara.  Jika pun semua kejadian buruk tidak berpunca dari Orang Pelarian ini namun dengan jumlah mereka yang sangat ramai ini mungkin mudah dipengaruhi  dan dieksploitasi oleh PADI, PATI malah juga penjenayah dari kalangan rakyat tempatan sendiri yang juga mengambil kesempatan yang sama untuk mengaut keuntungan dari kemakmuran negara ini.