Pages

Monday, October 1, 2018

DIRGAHAYU TUANKU




Artikel ini telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit edisi Okt 2018

Oleh: Paklang Hamzah /Foto: Mindef

Seluruh rakyat jelata mendoakan kesejahteraan berpanjangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda  Yang di- Pertuan Agong (SPBYDPA) ke 15, Sultan Muhammad Ke V sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah DYMM SPB Tuanku pada 9 September  2018 yang lalu.

Sebagai ketua negara, keupayaan baginda samada secara keperibadiannya maupun dalam konteks melaksanakan bidang kuasa yang diperuntukan untuk menjaga kedaulatan negara dan kesucian agama Islam sangat dikagumi oleh pelbagai lapisan rakyat jelata kerana kekuatan dan kekompetenan kepimpinan baginda.

Pentadbiran sesebuah negara memerlukan kepimpinan yang berktrampilan dan versatil dalam usaha menjana keberhasilan dalam konteks kelicinan pengurusan, perpaduan serta keharmonian kehidupan rakyat  seluruhnya.  Menurut Islam, kedudukan seseorang pemimpin lebih mulia dan tinggi kerana mereka ini disyariatkan bagi menggantikan tugas kenabian di dalam memelihara agama dan mentadbir urusan umat Islam.  

Imam al-Mawaradi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyah menjelaskan  bahawa tugas pemimpin adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir urusan dunia.

Sedia maklum bahawa di dalam Perlembagaan Persekutuan Bahagian Empat Bab Satu menyatakan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang dilantik melalui persetujuan Majlis Raja-raja.  Lafaz sumpah jawatan  SPBYDPA mencakupi ikrar taat setia pada menjalankan pemerintahan dengan adil sebagaimana  undang-undang dan perlembagaan serta memelihara kesucian agama Islam.

Justeru , menjadi kewajipan sebagai rakyat jelata meletakkan kesetiaan  terhadap Raja dan negara yang mana menepati salah satu perinsip dalam iktikad Ahlus Sunnah Wal Jama’ah iaitu mentaati  dan menghormati pemimpin.  Ini adalah selari dengan Firman Allah dalam Surah  an-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri yakni orang yang berkuasa dari kalangan kamu.  Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah  kamu mengembalikannya kepada Al-quran) dan Sunnah jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat kerana yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya”.

Tular

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen yang mana pemerintahan beraja merupakan salah satu ciri-ciri unik yang dikekalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.  Konsep Raja  Berpelembagaan di dalam sistem pemerintahan Malaysia bermaksud kuasa Raja-raja dibatasi oleh Perlembagaan di mana Jemaah Menteri bertindak sebagai penasihat di Peringkat Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) di Peringkat Negeri.

Era mutakhir ini, institusi Raja yang sepatutnya dihormati oleh semua peringkat rakyat jelata tanpa mengira kaum sering menjadi bualan hangat bila mana sesekali dikocak ketenangannya dengan kenyataan-kenyataan yang tidak menyenangkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan dan kebiadaban individu-individu  yang ‘tidak sihat’ otaknya yang berani mengeluarkan kata-kata yang menghina  lalu ditular menerusi media sosial oleh netizen yang prihatin supaya mereka yang terbabit disiasat dan dibawa ke muka pengadilan jika ianya mempunyai asas.

Kebebasan media bukan bermakna semua orang mempunyai kebebasan mutlak untuk melakukan sesuka hati termasuk memburukkan imej institusi raja. Penularan budaya ini dalam kalangan segelintir rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab, perlu diberi perhatian agar rakyat tidak terus dihasut membenci raja-raja yang boleh mengakibatkan taat setia rakyat terhadap institusi raja terhakis. Sungguh pun begitu banyak juga isu-isu yang ditular  tidak dapat dipastikan kesahihan apatah lagi isu yang diperkatakan itu tidak mempunyai apa-apa bukti mau pun sandaran.

Hal ini bukan sahaja menyebabkan kemudaratan dan mengganggu kemaslahatan rakyat, malah pada masa yang sama telah memberi kegembiraan kepada pihak-pihak yang menolak sistem kerajaan raja berpelembagaan dan Islam sebagai agama persekutuan.

Justeru, netizen disarankan supaya tidak terperangkap dan terpengaruh dengan isu-isu yang menjurus kepada kemelut yang menjejaskan keharmonian kaum dengan berpegang teguh kepada perinsip syariat Islam iaitu memerintahkan umatnya supaya menjaga lisan dan menahan diri agar tidak menulis dan menyatakan perkara-perkara yang tidak ada bukti kebenarannya. 

Peringatan ini jelas dirakamkan oleh Allah melalui firmanNya dalam Surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud: “Dan jangan lah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.  Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan  serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Meskipun saban masa Institusi Raja berdepan dengan cabaran namun, kita masih amat bersyukur  kerana Allah sentiasa memelihara SPBYDPA dan negara ini dari sebarang ancaman.  Di antara faktor yang menyumbang keberhasilan ini adalah sifat hikmah, tegas, bijaksana, adil dan saksama serta keupayaan Baginda YDPA telah dapat  mengharungi gelombang dan cabaran dalam pemerintahan dengan berkesan.  Di samping sokongan padu pembesar dan penasihat negara termasuk para ulama dan cendikiawan Islam yang mengurus tadbir dengan cemerlang.

Hasil pemikiran dan hubungan erat antara ulama dan umara’ dalam pemerintahan telah memberi manfaat kepada ummah dengan terbentuknya sistem pengurusan haji yang terbaik di dunia, pengurusan pendidikan, kewangan, perbankan, peneraju hub halal dunia dan lain-lain yang semuanya  berlandaskan syariat Islam telah menjadi sumber kekuatan dan kesejahteraan ummah keseluruhannya telah menjurus kepada limpahan rahmat dan kebaikan kepada rakyat jelata umumnya.

Rakyat menjunjung kasih dan merafak sembah di atas keperihatinan Baginda Tuanku dalam memartabatkan ugama Islam serta memajukan negara di samping membantu kehidupan rakyat seluruhnya menjalani kehidupan dengan aman dan harmoni di dalam suasana kepelbagaian kaum, adat dan budaya.  Daulat Tuanku!