Pages

Wednesday, January 29, 2014

TLDM nafi PLAN ceroboh perairan negara

sumber utusan

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menafikan dakwaan berlaku pencerobohan oleh Tentera Laut Rakyat China (PLAN) di perairan James Shoal di Laut China Selatan pada Khamis lalu.

Panglimanya, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, berdasarkan pemantauan dan risikan daripada pihak TLDM, tiga kapal perang PLAN yang dalam latihan tidak memasuki perairan negara sebagaimana didakwa.

"TLDM mengetahui tentang kehadiran tiga buah kapal perang PLAN di kawasan perairan Laut China Selatan dan kita sememangnya memantau rapat pergerakan mereka tetapi tiada pencerobohan di James Shoal.
"Ketika ini, TLDM juga telah meningkatkan pengawasan menggunakan aset tempur sedia ada dan usaha mengesan masih diteruskan," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beberapa agensi berita asing sebelum ini melaporkan tiga kapal perang PLAN iaitu kapal pendarat (LPD) Changbaishan dan dua kapal pemusnah daripada kelas Luyang I dan II menceroboh perairan negara di James Shoal.

James Shoal yang berada berdekatan dengan kepulauan Spratly terletak kira-kira 320 batu nautika daripada Bintulu dan dipercayai kaya dengan hasil bumi terutama sumber petroleum.

Akhir tahun lalu, PLAN ketika dalam satu operasi latihan pendaratan amfibia dikesan telah menceroboh kawasan perairan James Shoal menyebabkan TLDM menghantar kapal perang bagi mengarahkan mereka keluar.

Wednesday, January 1, 2014

PBTM-TRANSFORMASI ORGANISASI, BUDAYA DAN DAYA PEMIKIRAN

Oleh: Hamzah hd.
Koresponden Wilayah Utara
Majalah Perajurit



Persidangan Perwakilan Tahunan Negara Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM ) kali ke-88 telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Mahkota Melaka pada 9 hingga 11 November 2013.  Pada dasarnya PBTM telah ditubuhkan sejak tahun 1922 dan telah mengadakan Mesyuarat Agongnya yang pertama selepas 3 tahun persatuan ini ditubuhkan berdasarkan bilangan angka 88 pada tahun 2013. Angka ini menggambarkan bahawa PBTM boleh dikatakan sebuah  Organisasi Bukan Kerajaan(NGO) yang tertua di negara ini malah mempunyai keahlian terbesar sehingga kini berjumlah seramai 156,000 orang.

Dengan keahlian seramai ini PBTM yang mewakili keseluruhan bekas anggota dan pegawai ATM kelihatan lebih dominan berbanding persatuan-persatuan veteran yang lain yang sehingga kini sudah 60 buah sudah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan mereka telah memperakui serta mengiktiraf PBTM sebagai peneraju dan penggerak perjuangan semua veteran ATM di Malaysia.

Bergerak dalam satu moto ‘Sentiasa Berjuang’ yang merupakan simbolisme kepada suatu sejarah perjuangan masa lalu semasa di dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang anasir yang menggugat ketenteraman dan kedaulatan negara dan kesinambungan perjuangan itu tidak pernah selesai  namun dalam konteks yang berbeza. PBTM sejak ditubuhkan mempunyai visi, misi yang jelas meletakkan peranan dan wadah perjuangan sebagai badan pendesak dan pelobi dalam usaha membela dan menjaga kebajikan dan segala kepentingan keseluruhan veteran ATM dan keluarga mereka.  

Namun begitu sejak tertubuhnya Bahagian Hal Ehwal Bekas Tentera (HEBAT) di Kementerian Pertahanan pada tahun 1970 yang bertanggungjawab kepada usaha pemulihan semula kebajikan dan pembangunan bekas-bekas tentera kemudian di naik taraf kepada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) pada 1994 dan Jabatan Hal Ehwal Veteran(JHEV) pada tahun 2001 telah mengurangkan peranan sebenar PBTM yang kini lebih berperanan sebagai badan penghubung antara veteran dengan pihak kerajaan.

PBTM sedang dalam proses penjenamaan semula (re-branding) di mana fokus utama ialah untuk meningkatkan imej dan kewibawaan persatuan dan menentukan kewujudan PBTM terus relevan dan dihormati oleh semua pihak. Sebelum ini sering menjadi polemik dan spekulasi yang kurang sihat berkisar dalam kalangan veteran terhadap ‘kegagalan’ peranan yang dimainkan PBTM samada kelemahan kepimpinan peringkat tertinggi maupun kelemahan pemimpin-pemimpin  di peringkat cawangan di dalam melaksanakan tugas memberi ‘kepuasan’ kepada pelanggan yakni ahli-ahli PBTM itu sendiri. Ruang kosong yang ditinggalkan ini telah menjadi barah sekaligus menjadi bahan manipulasi veteran-veteran yang tidak berpuas hati sekali gus telah mencalar nama baik persatuan.

Sebagai sebuah NGO, PBTM tidak boleh lari dari berhadapan dengan kelemahan dan kekangan namun perlu diakui, ianya mempunyai rekod pengalaman yang luas dan jasanya sudah banyak sebelum ini dalam mencurah bakti kepada ahli-ahlinya yang bermasalah samada secara hands on maupun memperjuangkan dasar-dasar baharu secara umum kepada kerajaan yang mana telah memberi manfaat kepada veteran seluruhnya samada disedari atau tidak disedari oleh akar umbi. Namun begitu, banyak isu-isu dan permintaan masih tidak ‘tertunai’ oleh kerajaan dan situasi ini telah ‘menampakkan’ seolah-olah PBTM gagal atau tidak buat kerja.

Strategi

Bagi menentukan PBTM terus kekal sebagai sebuah organisasi yang relevan dan kredibel, dihormati oleh kerajaan dan rakyat jelata,  Laksamana(Bersara) Tan Sri Dato’ Mohd Anwar Hj Mohd Nor selaku Presiden PBTM yang baharu dalam ucapan dasar, beberapa strategi dan pelan tindakan serta gerak kerja telah dirumuskan oleh pucuk pimpinan untuk membawa persatuan ke persada kegemilangan.
-Strategi Jangka Pendek iaitu Confidence Building Measure bagi mengembalikan kepercayaan akar umbi, kerajaan dan orang ramai terhadap persatuan dan juga untuk menjadikan kewujudan PBTM masih relevan dan dihormati.

Di dalam beberapa maklum balas yang penulis dapati dari responden yang terdiri dari veteran ATM  melalui perbincangan di laman sosial, majoriti responden mengatakan PBTM telah ‘gagal’ melaksanakan peranannya sebelum ini.  Suatu perkara yang menjadi dilema sekurang-kurangnya untuk meletakkan ahli-ahli dengan persatuan ke dalam situasi menang menang ialah sikap kedua-dua belah pihak perlu berubah dan berlapang dada dalam berpesatuan. Di pihak ahli, mereka mengatakan persatuan tidak berfungsi sebaiknya untuk memperbaiki sistem ekonomi dan kebajikan mereka yang menjadi antara sebab mereka tidak begitu aktif berpesatuan. Di pihak persatuan pula mengatakan antara sikap ahli yang tidak memperdulikan persatuan maka agak sukar untuk mengetahui atau membuat pendekatan kebajikan dan sebagainya bila tiba kepada suatu keadaan yang memerlukan.

Di sinilah betapa pentingnya sesuatu usaha untuk memperkasakan fungsi dan peranan, PBTM dengan mengambil kira kemahuan kedua-dua belah pihak sekaligus akan mengembalikan kepercayaan dan imej persatuan.  Gerakan ini harus dimulakan oleh pemimpin di peringkat cawangan yang mana setiap pemimpin harus menyedari potensi diri dan berusaha untuk mencapai wawasan persatuan dan jika ianya berlaku sebaliknya, seeloknya peranan itu diberikan kepada bakal pemimpin yang lebih berwibawa.

Namun begitu penulis secara peribadi menganggap ketidakpercayaan ahli dan bukan ahli kepada PBTM adalah berdasarkan emosi, kekecewaan peribadi dan kawan-kawan dalam sesuatu kes dan kejahilan di dalam memahami dan menilai sesuatu keuntungan atau kebaikan secara jujur.

Usaha kepimpinan terbaharu dalam mengembalikan kepercayaan akar umbi, kerajaan dan orang ramai melalui strategi ini dilihat sebagai suatu usaha ‘kembali’ ke pangkal jalan setelah ‘sesat’ di hujung jalan dan satu strategi pemulihan yang boleh dipuji.

-Strategi Jangka Panjang iaitu Anjakan Pardigma(Paradigm Shift) untuk terus memperkasa dan mentransformasi organisasi, proses dan minda (mindset) dalaman persatuan. Justeru beberapa Pelan Tindakan dan Gerak Kerja telah dirumus bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan. Teras Pertama dengan meneruskan perjuangan memperkasa PBTM bagi menentukan kewujudan persatuan masih relevan dan dihormati semua pihak di Malaysia. 

Memperkasa PBTM pada hemat penulis ialah dengan mengekalkan keahlian yang sedia ada dengan permasalahan yang minima setelah kebajikan utama ahli-ahli yang memerlukan telah diatasi sebaik mungkin.  Dalam masa yang sama kemasukan ahli-ahli baru perlu ditambah dan terus dipertingkatkan seramai mungkin.  Tidak guna mempunyai ahli yang ramai tetapi kebajikan dan permasalahan mereka di kesampingkan atau gagal menanganinya mengikut yang sepatutnya sehingga membibitkan kekecewaan dalam sanubari mereka.  

Dalam konteks memperkasa, bukan sahaja berkisar kepada penambahan ahli dan mempertingkatkan sokongan ahli kepada persatuan sahaja malah yang lebih utama ialah mengwujud dan memperbanyakkan aktiviti-aktiviti riadah antara persatuan dan ahli yang boleh di lakukan dalam pelbagai bentuk. Semestinya yang paling utama ialah mengwujudkan aktiviti-aktiviti yang boleh menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi melalui penglibatan veteran itu sendiri bukan hanya semata-mata hanya satu pihak persatuan sahaja yang mencari dana untuk ‘dihadiahkan’ kepada veteran seumpama kelaziman.

Teras Kedua dengan mentransformasi organisasi, budaya dan daya pemikiran (mindset) dalaman persatuan supaya lebih berdikari dan berdaya maju dalam pelbagai aspek dan juga dalam usaha menghadapi apa sahaja halangan dan dugaan yang timbul.

Transformasi dari segi terjemahan ialah merupakan perubahan kepada bentuk, rupa, sifat dan lain-lain yang tentunya memerlukan komitmen yang tinggi pengendaliannya.  Perubahan bentuk dalam perjawatan atau struktur kepada organisasi sudah pun berlaku dengan menampilkan Presiden baharu yang berktrampilan berdasarkan jawatan terdahulu di dalam perkhidmatan dan jawatan semasa dalam dunia korperat serta barisan Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKKT) baharu yang berpengalaman.  

Dengan struktur organisasi baharu tentunya gaya kepimpinan PBTM akan bertukar wajah kepada sesuatu yang lebih dinamik dan berbekalkan azam dan iltizam kepimpinan secara kolektif untuk merubah atau transform kepada budaya dan daya pemikiran yang lebih proaktif menjurus kepada keberhasilan di dalam menangani kelangsungan kebajikan dengan tuntutan-tuntutan lampau yang belum terhasil serta terus memperjuangkan apa sahaja keperluan semasa PBTM bagi keselesaan ahli secara khususnya dan veteran ATM keseluruhannya.  PBTM tidak seharusnya mengharapkan sumbangan orang ramai serta  pihak kerajaan semata-mata untuk mengumpul dana tetapi PBTM  mesti juga pandai berdikari untuk menjana ekonomi persatuan dan ahli.

Teras Ketiga dengan menyatu dan mengukuh kesatuan semua veteran di Malaysia di mana wawasan PBTM adalah untuk menggabungkan semua Persatuan dan Kelab Veteran sejumlah 61 buah ke arah penyatuan perjuangan satu suara dan satu nada.

Ramai berpendapat, kemunculan persatuan-persatuan veteran dengan label kor-kor dalam perkhidmatan masing-masing adalah bertolak dari kegagalan PBTM itu sendiri.  Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan dengan jelas.  Namun bagi penulis, perkara ini terjadi secara kebetulan di mana semangat kekitaan dalam kalangan warga kor-kor perkhidmatan masih menebal dan perlu ada penyatuan semula setelah lama terpisah di samping sama-sama memikirkan cara atau jalan terbaik membantu rakan-rakan yang kurang bernasib baik melalui kelab atau persatuan sebagai wadah penyambung silaturrahim.

Walaubagaimana pun selagi kewujudan persatuan-persatuan veteran boleh memberi sesuatu yang bermanfaat dan positif kepada ahli-ahli mereka sekurang-kurannya, ianya masih boleh dianggap positif dan sangat tidak manis bila menubuhkan persatuan atau kelab baharu dengan meletakkan ‘kesalahan’  kepada PBTM. Apa yang sepatutnya bercambah dalam benak pemimpin-pemimpin kelab-kelab baharu ialah kewujudan kelab mereka adalah untuk saling mengisi di mana ada jurang dan melengkapi jika ada kekurangan.

PBTM selaku persatuan yang mewakili semua peringkat bekas tentera yang mempunyai keahlian yang teramai serta berpengalaman luas sememangnya sangat relevan jika boleh bertindak sebagai ‘ketua’ bagi merapatkan kembali saf-saf persatuan-persatuan veteran yang ada bagi menyatukan suara dan nada dalam apa jua tuntutan dan perjuangan yang boleh memberi manfaat kepada veteran keseluruhannya.
Akta Veteran 2012 yang masih dalam peringkat menunggu pewartaan oleh pihak kerajaan turut sama memberi kekuatan dengan menggariskan aktiviti-aktiviti yang bakal di laksanakan walau pun selari dengan apa yang PBTM telah laksanakan selama ini namun dengan penubuhan Majlis Veteran Kebangsaan dengan gagasan fungsi-fungsinya ‘kelihatan’ menjadikan semangat veteran ATM bakal dipulihkan.

Teras Ke empat ialah mendampingi dan berkerjasama dengan kumpulan media massa untuk membantu melonjakkan imej persatuan.  Tidak dapat disangkal lagi bahawa informasi merupakan suatu kuasa yang mampu membantu manganjak paradigma sesebuah organisasi dan media massa juga adalah ejen penyebar yang sangat dinamik bagi menyalurkan maklumat kepada umum.  Penyebaran maklumat secara dalaman maupun luaran yang bercorak cetak atau elektronik secara langsung akan memberi gambaran kepada umum tentang kegiatan atau aktiviti persatuan secara meluas dan konsisten. 

Setakat ini edaran percuma buletin tahunan BERJUANG hanya tertumpu kepada sebilangan ahli dan kadang-kadang liputan dalam media cetak dan elektronik cuma tersiar bila kelibat ahli-ahli politik mengambil bahagian.  Ledakan teknologi maklumat telah membuka ruang seluas-luasnya untuk PBTM mengambil inisiatif menyalur, berbincang dan bertukar-tukar pendapat dalam kalangan veteran maupun khalayak umum melalui laman sesawang malah yang paling popular dewasa ini ialah melalui laman-laman sosial seperti Forum, Twitter, Facebook dan sebagainya.  Semua ini boleh digerakkan secara mudah dan cepat di peringkat cawangan atau peringkat negeri malah lebih praktikal jika diurus dan dipantau secara berpusat di peringkat negara.
Pada hemat penulis, empat teras yang digagaskan adalah merupakan fasa baharu dalam bentuk pemikiran dan tindakbalas kepimpinan terkini yang boleh dilihat mula bangkit mungkin berdasarkan laporan semasa atau tindakbalas dari rungutan dan cemuhan ahli dan bukan ahli yang melontarkan ketidakpuasan hati kepada PBTM dari pelbagai sudut. Namun begitu bukan semua lontaran kritikan mempunyai asas yang kuat bagi menggambarkan apa yang dituduh kepada PBTM itu benar kerana kebanyakannya tuduhan liar dan kritikan adalah berdasarkan emosi sahaja yang berasaskan maklumat yang salah terhadap PBTM.

Menangani Dan Penyelesaian Masalah

Dalam masa yang sama PBTM akan terus memperjuang habis-habisan dalam menangani dan menyelesaikan beberapa masalah sejagat yang dialami oleh segolongan besar veteran. 
Jurang perbezaan pencen antara veteran terdahulu dengan veteran sekarang yang amat besar dan ketara kerana tentera terdahulu berpencen semasa gaji rendah sementara tentera sekarang berpencen semasa gaji tinggi.  Jurang perbezaan ini perlu dikecilkan beransur-ansur. Pemberian kenaikan pencen tahunan 2 peratus dan penyelasan gred gaji tentera dan polis dengan penjawat awam baru-baru ini membuatkan jurang perbezaan semakin besar dan luas.

Elaun Sara Hidup dan Pencen yang diberi kepada Veteran kurang bernasib baik dan veteran dalam kategori  Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah terlalu rendah dan dalam erti kata sebenar tidak dapat meringankan bebanan mereka untuk meneruskan kehidupan.

Veteran yang diberhentikan atas sebab disiplin iaitu di bawah Para 48(A): berhenti kerana tidak siuman, Para 48(B): berhenti kerana keputusan mahkamah dan Para 49(L): penangguhan perkhidmatan tidak diperlukan lagi demi kepentingan perkhidmatan langsung langsung tidak mendapatkan perhatian dan pembelaan di mana di dapati kebanyakan mereka hidup dalam keadaan daif.  PBTM berharap semuga kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan kepada keluarga mereka iaitu isteri dan anak-anak supaya mereka tidak dipinggirkan dari arus pembangunan negara.  Isteri dan anak-anak  mereka perlu diberi kemudahan rawatan percuma di hospital ATM melalui JHEV dan anak-anak yang masih bersekolah perlu diberi bantuan persekolahan seperti anak-anak veteran yang lain.  Pendek kata mereka tidak seharusnya dihukum sepanjang hayat.

Masalah lain yang dihadapi oleh veteran ATM yang menjadi tanggungjawab PBTM ialah masalah perumahan serta kesukaran mendapat peluang perniagaan dan masalah mendapat pekerjaan yang sesuai.

Penutup

PBTM juga telah membuat resolusi dan memajukan usul supaya perkataan VETERAN dikhaskan hanya untuk Bekas tentera dengan mengambil kira penerimaan istilah ini di peringkat global seperti negara Amerika Syarikat, Eropah dan Asia yang telah mengkhaskan penggunaan perkataan ini kepada bekas-bekas tentera sahaja sebagai contoh di rantau ini negara Laos mengiktiraf persatuan veteran mereka sebagai Lao National Veterans Association, di Thailand pula diberi nama War Veterans Organisation of Thailand, di Filipina dengan nama Veteran Federation Of The Philippines dan di Vietnam dengan nama Veteran Association Of Vietnam.

Perkataan Veteran pada dasarnya sudah banyak digunakan di dalam organisasi-organisasi lain bagi menggambarkan satu komuniti mantan atau orang-orang lama yang telah banyak pengalaman dalam bidang masing-masing seperti bekas tentera, bekas polis, ahli-ahli politik, ahli-ahli sukan dan lain-lain. 

Perkataan itu juga sangat sinonim dan telah diguna pakai sekian lama di peringkat  domestik seperti Veteran UMNO dan lain-lain samada secara lisan atau dokumentasi. Persoalannya, apakah organisasi-organisasi sedia ada akan berkompromi supaya akur dengan ‘permintaan’ untuk tidak mempraktikkan perkataan tersebut pada nama dan lain-lain dokumentasi berkaitan?.

Sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan negara yang berjuang samada di era sebelum merdeka maupun pasca merdeka dikenang sampai hari ini. Tugu peringatan sebagai lambang penghormatan negara kepada perwira dan perajurit yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi kestabilan dan keamanan tanahair.  31 Julai saban tahun, negara merakam sejarah keramat ini sebagai Hari Pahlawan selaras tamatnya darurat menentang Pengganas Komunis Malaya pada bulan Julai 1960. Semasa pemerintahan British, hari tersebut dikenali sebagai Poppy Day sempena nama bunga poppy tetapi dalam konteks Malaysia, lambang bunga raya menjadi lambang kepada Hari Pahlawan.

Di mana-mana negara sekali pun masing-masing menjadikan satu hari dengan sambutan memperingati perjuangan bekas angkatan tentera mereka. Amerika dengan Veteran’s Day, Kanada dengan Remembrance day dan lain-lain negara dengan nama masing-masing yang juga ada negara yang mengistiharkan cuti umum pada hari-hari peringatan tersebut. 

Dalam acara-acara sambutan hari Pahlawan ini, PBTM adalah di antara pemain utama setiap tahun di dalam merencana dan melaksanakan aktiviti perhimpunan, aktiviti-aktiviti susulan di setiap negeri dan kemuncaknya adalah melancar dan promosi kempen Rayuan Tabung Pahlawan bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada pembangunan Veteran ATM yang memerlukan pembelaan. 


Meski pun kewujudan JHEV sebagai one stop centre kepada bekas tentera namun kekuatan dua orang pegawai bertugas bagi setiap zon, sememangnya JHEV tidak mampu untuk melihat semua permasalahan.  Justeru, PBTM dan persatuan-persatuan veteran yang lain masih relevan sebagai pelengkap kepada JHEV untuk melayan ‘kerenah’ bekas-bekas tentera yang bermacam peel dan ragam.  Adalah sangat tidak adil jika ada orang kata yang PBTM sudah tidak relevan lagi untuk membela nasib atau kebajikan bekas tentera. PERAJURIT