Pages

Monday, January 21, 2013

Kanang dalam kenangan

Sumber utusan
Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

SELURUH negara bersedih dengan pemergian Kanang sambil menyifatkannya
sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan ATM.

TIADA perkataan yang mampu menggambarkan pengorbanan yang dicurahkan pahlawan tersohor ini.
Namanya sahaja sudah cukup menaikkan bulu roma rakyat terutama anggota tentera untuk bangun mempertahankan kedaulatan negara daripada diancam anasir-anasir luar.

Wirawan semasa zaman kebangkitan pengganas komunis dalam tahun 70-an hingga 80-an yang dimaksudkan ialah Pegawai Waran I (B) Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau.

Pemergian penerima pingat Sri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) itu baru-baru ini di Hospital Umum Sarawak setelah pengsan di rumah akibat sesak nafas meninggalkan kekosongan yang signifikan di jiwa rakyat.
Seluruh negara bersedih dengan pemergian Kanang sambil menyifatkannya sebagai sebuah kehilangan besar kepada negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penulis novel Kanang; Cerita Seorang Pahlawan, Mejar (B) Prof. Dr. Maznan Noordin yang menulis riwayat hidup mendiang menyifatkan Kanang sebagai wirawan contoh yang mengukir namanya dengan darah dan air mata.

"Tidak ada lagi Kanang sesudah ini kecuali berlaku lagi perang di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jelas beliau, ketika menyertai Operasi Pukat, di Hutan Tanah Hitam Perak, Kanang telah cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis yang mengakibatkannya tidak sedarkan diri dan terlantar di wad selama setahun.

Katanya, banyak orang yang menyangka Kanang tidak akan hidup lama tetapi umurnya masih panjang dan pada tahun 1980, Kanang telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) sebagai mengenang jasa dan keberaniannya menentang pengganas komunis.

"Kanang bersara pada 30 Mei 1986 dan selepas bersara beliau dianugerahkan 'Bintara Bintang Sarawak' oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasa-jasanya sebagai anak Sarawak yang telah banyak berbakti mengharumkan bumi kelahirannya.

"Kanang dan rakan-rakannya yang berjuang mempertahankan tanah air daripada ancaman pengganas komunis sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan maruah dan kedaulatan negara.

"Kanang dan anggota tentera lain begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh dan ini digambarkan dalam Operasi Pukat dan Kanang berjuang habis-habisan menentang pengganas komunis.
"Kanang telah mendapat cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis, namun beliau meminta rakan-rakan dalam pasukannya meneruskan perjuangan menentang pengganas komunis," ujarnya.

Tambah beliau, walaupun kehidupan Kanang agak perit selepas bersara, namun beliau bersyukur kerana semua pihak menghargai setiap pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan kepada negara untuk menjadikan rakyat berada dalam keadaan aman sejahtera.

Katanya, Kanang adalah manusia contoh yang boleh dijadi ikon patriotisme rasa tanggungjawab, berani, keyakinan kepada diri sendiri, mengambil berat kepada orang lain terutama rakan seperjuangannya ketika di daerah operasi.

"Rejimen Renjer Diraja yang mempunyai slogan 'Agi Idup Agi Ngelaban' iaitu ungkapan daripada bahasa Iban yang bermaksud 'selagi hidup selagi berjuang' menepati komitmen perjuangan pasukan infantri yang menjadi kebanggaan ATM selepas Rejimen Askar Melayu Diraja," katanya.

Beliau berkata, meskipun Kanang telah menghembuskan nafas terakhirnya, gema laungan 'Agi Hidup Agi Ngelaban' masih kuat didengari dalam jiwa anggota ATM tidak kira di mana jua.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani turut menyeru golongan bekas tentera di Malaysia bertafakur atas pemergian pahlawan tersohor berkenaan dan meminta mereka mencontohi perjuangan sepanjang hayat Kanang.

Kata beliau, komitmen bekas tentera itu untuk berkorban demi kedaulatan negara membawa semangat yang signifikan dalam perjuangan PBTM.

"Oleh itu, kami mengucapkan takziah kepada balu Kanang, Datin Brawang Chunggat dan keluarganya atas pemergian mendiang. Tokoh ini akan harus dikenang dan abadi di jiwa rakyat Malaysia," kata beliau.
Sementara itu, Profesor di Pusat Teknologi Komunikasi & Pembangunan Insan (PTKPI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Dr. Ramlah Adam melihat Kanang sebagai ikon dalam episod pergelutan negara menentang komunisme.

''Kanang percaya kepada penolakan komunis, dia yakin perjuangannya, kalau tak dia tidak akan menyabung nyawa untuk negara dan dia terselamat dalam pertempuran yang dahsyat
''Kanang mewakili perjuangan menentang komunisme. Beliau membawa semangat perjuangan menjamin survival bangsa Malaysia dalam menolak anasir asing demi negara Malaysia yang aman sekarang ini," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20130109/te_01/Kanang-dalam-kenangan#ixzz2IcfE9i1a
© Utusan Melayu (M) Bhd