Pages

Saturday, December 29, 2012

Penutupan Kursus Asas Tempur Tanpa Senjata (TTS) Peringkat Briged Sempadan Siri 2/2012


Oleh Hamzah hd.

KEM  BUKIT KAYU HITAM:  Majlis Penutupan Kursus Asas Tempur Tanpa Senjata (TTS) Peringkat Briged Sempadan  Siri 2/2012 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Saad Bin Haji Man Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jitra pada 28 Dis 2012 yang lalu.

Dato Saad Man (Adun Jitra) memang tidak asing dalam kalangan  warga 5RS.
Beliau juga adalah  Ahli  Kehormat Mes Bintara Bn 5RS
Dalam ucapan, beliau menyeru kepada semua penuntut supaya ilmu yang diajar dalam kursus ini digunakan ke arah kebaikan dan pemankin kepada pembentukan satu generasi tentera yang mantap, kredibel dan berpengetahuan serta mempunyai tahap ketahanan diri yang tinggi sesuai dengan penugasan di barisan paling hadapan untuk mempertahankan keselamatan negara.

Seramai 58 orang penuntut telah mengambil bahagian dan lulus dengan jayanya setelah bertungkus lumus selama dua bulan setengah bermula dari 21 Oktober hingga 28 Dis 2012.  Mereka terdiri dari Batalion ke 2 Rejimen Sempadan (Bn.2 RS) seramai 2 orang, Bn.4 RS seramai 2 orang dan selebihnya adalah peserta dari Bn.5 RS yang berpangkalan di Bukit Kayu Hitam.

Majlis dimulakan dengan gimik pertempuran dengan musuh di hutan dan method of entry (MOE) ke medan pertempuran serta pertunjukan dari penuntut kursus dengan beberapa aktiviti lasak seperti Latihan Jasmani sebagai pemanasan disusuli dengan gerak Tumbukan dan Tangkisan, Lawan Gabungan, Rebahan, Bertarung dengan menggunakan pelbagai senjata, Lakunan dan diakhiri dengan Lompatan Dan Pemusnahan.

Pertahanan diri penting untuk berhadapan dengan ancaman yang tidak dijangka
Pendedahan awal dalam aspek pertahanan diri

Penuntut Keseluruhan Terbaik disandang oleh Prebet Mohamad Safuan bin Shabudin.  Penuntut Sparing Terbaik di menangi oleh Prebet Mohd Azam bin Busrak dan dalam Kategori Ketabahan Terbaik  dimenangi oleh Prebet Azli bin Che Nordin dari Bn. 4 RS.

Prebet Mohd Safuan dilahirkan di Negeri 9 dan memasuki tentera pada 3 Jan 2011
Turut hadir dalam Majlis ini ialah Pegawai Memerintah 5RS, Lt Kol. Abd Rashid  bin Shahdan, Penolong Pegawai Memerintah iaitu Mej Uzil bin Hm Said Abdullah, Pegawai-pegawai serta seluruh warga Bn 5RS.

Tuesday, December 4, 2012

TRIBUT UNTUK WARGA SAPPER


Sumber: Majalah Perajurit edisi Disember 2012
Oleh Hamzah hd.

(Cetusan rasa Jen Tan Sri Md. Hashim bin Hussein(Bersara)
(Mantan Panglima Tentera Darat)


Biodata
YBhg. Jen Tan Sri Dato’ Seri Md. Hashim bin Hussein (Bersara) adalah Panglima Tentera Darat ke-18.  Beliau adalah penerima Ijazah Sarjana dalam ‘War Studies’ dari King’s College di London dan merupakan lulusan US Army Command and General Staff College di Fort Leavenworth. Antara jawatan yang telah disandangnya adalah Pegawai Memerintah 11 RAMD, Komandan LATEDA dan dilantik sebagai Komander pertama untuk mengetuai Batalion Malaysia (MALBAT) dalam misi UN Protection Force (UNPROFOR) di Bosnia Herzegovina. Pada 13 Ogos 1994 beliau telah dilantik sebagai  Panglima 10 Briged Para pertama yang merupakan komponen utama Pasukan Aturgerak Cepat (PAC).  Beliau seterusnya telah mengambil alih jawatan Panglima Tentera Darat mulai 1 Jan 1999 sehingga 31 Dis 2002. Beliau adalah pegawai Malaysia pertama yang telah diberi penghormatan di US Army Command and General Staff College, Fort Leavenworth Hall of Fame. Beberapa negara luar seperti Jepun, Korea Selatan, negara-negara ASEAN, Afrika Selatan dan Switzerland telah mengundang beliau untuk menyampaikan syarahan. Kewibawaan dan kecemerlangan beliau sebagai Panglima Tentera Darat telah mendapat perhatian kerajaan, justeru menjelang persaraan daripada perkhidmatan, beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan mulai tahun 2003 sehingga tahun 2006. Beliau adalah merupakan Pengerusi Pihak Berkuasa Kebangsaan, Konvensyen Senjata Kimia di Kementerian Luar Negeri dari tahun 2006 hingga tahun 2010.

Pendahuluan

Istilah pencen, bersara atau berhenti daripada Perkhidmatan Tentera menandakan terpisahnya kehidupan seseorang itu dengan alam ketenteraan secara formal.  Antaranya bukan lagi berpakaian, berjalan, berfikir atau bercakap cara tentera. Tidak lagi mentadbir dan mengurus kakitangan di bawah tanggungjawab ala tentera. Benar sebagaimana ungkapan Jen MacArthur bahawa Old soldiers never die, They just fade away, kepulangan bekas tentera ke pangkuan masyarakat awam untuk menjalani kehidupan seharian secara amnya memerlukan satu pendekatan yang baru dan begitu berlainan.  Masing-masing membawa haluan hidup yang tersendiri sama ada sebagai peniaga, usahawan, makan gaji atau terlibat dengan aktiviti-aktiviti Non-Government Organisation (NGO) dan tidak kurang sebagai pesara sepenuh masa. 

Tidak boleh dinafikan kesemua aktiviti yang dilakukan oleh bekas tentera akan tetap memberi faedah sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat.  Namun dalam nafas yang sama, ingin ditekankan bahawa  seseorang perlu menilai diri dan mencuba untuk memberi sumbangan kepada negara berdasarkan kepakaran yang diperolehi semasa berada dalam perkhidmatan.  Seruan ini adalah khusus kepada semua pegawai dan anggota terutama anggota-anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang kebanyakannya bersara pada usia awal 40an.  Secara peribadi YBhg Tan Sri telah berpeluang memegang beberapa jawatan di peringkat antarabangsa yang mencabar setelah bersara.  Ironinya tugas yang dipertanggungjawabkan adalah merupakan satu amanah yang besar.  Dalam hal ini ingatan peribadi sering tertumpu kepada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang merupakan teras kepada artikel ini.

Dengan mukaddimah sedemikian, artikel ini akan mengimbas kembali pengalaman beliau di dalam Perkhidmatan Tentera dengan menyentuh  kenangan bersama Kor RAJD.  SAPPER adalah gelaran umum kepada semua pegawai dan anggota RAJD.  Gelaran SAPPER juga adalah merujuk kepangkatan seseorang anggota RAJD yang bersamaan dengan prebet/trooper/signaller.

Mengenali Ubique

Semasa menjalani latihan Pegawai Kadet, YBhg Tan Sri telah mengenali rakan-rakan yang kemudiannya ditauliahkan ke dalam RAJD. Antaranya adalah Dato’ Abdul Rahman bin Ismail (bersara Brig Jen), Dato’ Mohd Hashim bin Hj Abu (bersara Brig Jen), Shaik Ahmad bin Ibrahim (bersara Kol).  Mereka bertiga adalah kenalan rapat sejak mereka di Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja.  Mereka adalah merupakan exemplary officers and well polished gentlemen dan secara peribadi, beliau kagum dengan perwatakan dan kewibawaan mereka.  

Sepanjang Perkhidmatan Tentera, melalui pergaulan semasa berkursus dan melihat penglibatan dalam latihan medan, YBhg Tan Sri tertarik dengan pegawai dan anggota RAJD.  Sesuai dengan cogankata ‘Ubique’ yang membawa pengertian ‘Di Mana Sahaja’, peranan utama RAJD adalah membantu TD untuk bertempur, hidup dan bergerak (fight, live and move).  Justeru mereka akan memberi bantuan kejuruteraan taktikal dalam semua fasa peperangan untuk meningkatkan mobiliti pasukan sahabat seperti membuka laluan dan jalan-jalan pendekat, membina jambatan dan rakit bagi merentasi wet gap serta membersih padang periukapi dan halangan.  Dalam melambatkan pergerakan musuh pula mereka akan melubangkan jalan (road cratering), memasang halangan dan melakukan kerja-kerja pemusnahan ke atas sasaran strategik seperti Reserved Demolition termasuk menafikan sumber-sumber penting jatuh ke tangan musuh.  Dalam melindungi dan membantu meneruskan kelangsungan hidup pasukan sahabat, terup RAJD terlibat menyediakan medan dan kubu pertahanan.   Mereka juga terkenal dengan cogankata First in, Last out kerana merupakan antara pasukan terawal yang masuk ke dalam kawasan misi untuk kerja-kerja penyediaan awal seperti pemasangan litar letupan dalam Reserved Demolition atau membina jambatan dan jalan-jalan pendekat ke objektif  musuh.  Merekalah antara pasukan terakhir yang akan berundur atau keluar dari kawasan misi setelah memastikan sasaran dimusnahkan atau kerja-kerja menutup gap medan periukapi telah selesai.

RAJD juga diperlukan melakukan pelbagai tugas untuk pasukan-pasukan selain bantuan kepada pasukan taktikal.  Majoriti penugasan sebegini adalah di kawasan senggaraan formasi seperti membina dan menyenggara bangunan, membina jalan dan landasan terbang dan bekalan air.  Selain daripada itu RAJD juga terlibat dalam Projek Jiwa Murni seperti pembinaan jalan, jambatan, rumah, masjid dan surau untuk masyarakat awam.  Begitulah uniknya penugasan mereka yang mempunyai rentetan sejarah yang panjang.  Justeru tidak banyak Rejimen dan Kor dalam TD yang berpeluang melakukan penugasan-penugasan sedemikian.  Ada benarnya seperti yang mereka dakwa memiliki sifat serta  perwatakan ‘Engineer in mind and Infantry at heart’

Sejak ditauliahkan sebagai seorang pegawai tentera pada tahun 1966, YBhg Tan Sri telah menyaksikan sendiri kemampuan dan keupayaan RAJD yang merupakan salah satu komponen utama dalam satu-satu siri eksesais dan latihan medan TD.  Mereka tidak kenal erti penat lelah dan bekerja tidak mengira masa. 

Beliau juga amat tertarik dengan kelayakan akademik, kepakaran, keupayaan dan dedikasi kepada tugas yang dipamerkan oleh pegawai dan anggota RAJD.  Namun hakikat bahawa disebabkan RAJD adalah sebuah Kor yang kecil, maka peluang untuk mereka meningkat ke satu pangkat yang lebih tinggi terbatas.  Pengetahuan beliau yang luas mengenai RAJD telah mewujudkan kefahaman yang mendalam terhadap Kor tersebut.  Brig Jen dato’ Pahlawan Mohd Tairobi bin Abd Razak (Bersara-bekas Ketua Jurutera) pernah menyatakan bahawa YBhg Tan Sri sangat perihatin dan mempunyai hubungan yang rapat dengan RAJD.  Justeru beliau mengumpamakan hubungan ini dengan mengatakan makna ‘Ubique’ yang lebih sesuai dan khusus buat YBhg Tan Sri adalah ‘Sentiasa Bersamanya’ untuk menggambarkan betapa akrabnya dengan Kor RAJD.

Chock-A-Block

(Chock-A-Block adalah bahasa hukuman yang diberikan oleh Bridge Commander semasa kawad pembinaan jambatan Bailey untuk memasukkan bar besi ke dalam contruction roller supaya rangkaian panel jambatan tetap berada dalam posisi  dan tidak bergerak ke hadapan atau ke belakang).
kediaman medan

Peluang untuk mengenali RAJD secara lebih dekat adalah sewaktu dilantik sebagai Komander MALBAT 1 dalam Misi Pasukan Perlindungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNPROFOR) di Bosnia Herzegovina mulai Okt 1993 sehingga Ogos 1994. Negara Bosnia Herzegovina adalah begitu asing bagi kebanyakan pegawai dan anggota apatah lagi kumpulan ini merupakan kontinjen yang julung-julung kalinya dari Malaysia yang menyertai pasukan pengaman PBB di bumi Eropah. Memeritkan keadaan adalah aspek keselamatan yang tidak menentu, masalah komunikasi, sokongan logistik dan cuaca yang begitu sejuk.

Antara keutamaan tugas Komander MALBAT adalah menyediakan kawasan penempatan bagi seluruh Kontinjen di mana terup RAJD diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya. Alhamdulillah, walaupun bekerja dalam keadaan cuaca yang extreme iaitu dalam keadaan salji yang tebal, pangkalan untuk seluruh Kontinjen MALBAT dibina oleh terup RAJD dengan begitu pantas dan amat sempurna sekali binaannya. Terasa begitu terharu apabila menyingkap kembali misi di Bosnia Herzegovina terutamanya di atas keringat dan jasabakti yang dicurahkan oleh terup RAJD.  Sekali-sekala imbasan wajah-wajah Mej Zainuddin bin Ismail, Mej Sharifuddin bin Shaharom, Kapt Azme bin Dolah, Kapt Marhaimi bin Shamsudin, Kapt Damanhuri bin Darusman, Kapt Sabri bin Ali, Kapt Zainal bin Sarwi, Kapt Khairy bin Muhamad, Kapt Abdillah bin Awang, Lt Abd Rahman bin Abd Halim dan Lt Nik Amir bin Nik Yaacob datang silih berganti di dalam kenangan beliau.

Apabila diberi peluang menerajui TD, seorang pegawai RAJD telah dipilih sebagai Pembantu Ketenteraan beliau. Pegawai yang telah dicalonkan oleh Jabatan Arah Jurutera adalah Lt Kol Abu Suffian bin Ahmad.  Ternyata pemilihan Jabatan Arah Jurutera adalah tepat.  Kesetiaan dan kebolehan beliau selama berkhidmat adalah tidak diragui sama sekali.  Ujian demi ujian dilontarkan dan beliau masih mencurahkan khidmat bakti dengan amat memuaskan.

Salah satu projek yang diusahakan oleh  YBhg Tan Sri  adalah penubuhan Muzium TD yang bertujuan  untuk memulihara sejarah dan tradisi TD supaya dapat menjadi khazanah warisan bangsa.  Artifak-artifak yang mempunyai sejarah bangsa yang bernilai telah dikumpul dari seluruh pelusuk negara untuk dipamerkan. Ini dapat memberi pendedahan kepada generasi kemudian tentang sejarah perjuangan yang telah dilalui oleh generasi terdahulu dalam mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. 

Kini Muzium TD yang tersergam indah di Port Dickson telah menjadi mercu tanda dan kemegahan bukan sahaja untuk TD malahan sering menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke sana.  Mereka telah mencurah idea, memerah keringat dan bekerja keras bagi merealisasikan projek tersebut adalah sekumpulan pegawai RAJD yang terdiri daripada Brig jen Dato’ Pahlawan Mohd Tairobi bin Abd Razak (Bersara), Mej Khamis bin Salim (Kurator Pertama Muzium), Mej Baharudin bin Noryat dan Kapt Zuraiman bin Abd Ghani.   

Dengan kudrat dan iradat Allah SWT YBhg Tan Sri telah ditawarkan jawatan sebagai  Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Pakistan walaupun belum sampai waktu persaraan daripada TD.  Setelah berkhidmat di Pakistan selama 3 tahun, dipercayai dengan cara yang tersendiri beliau telah berjaya mempereratkan lagi perhubungan di antara kedua buah negara.  Presiden Pakistan pada masa itu adalah Jen Perves Musharraf merangkap Panglima TD Pakistan.  Semasa di Pakistan, beliau telah ditawarkan oleh Tan Sri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar, Menteri Luar ketika itu dengan jawatan Pengerusi Pihak Berkuasa Kebangsaan – Konvensyen Senjata Kimia (PBK KSK) di Kementerian Luar Negeri yang telah disandang sejak awal tahun 2006 sehingga Mac 2010. 

Di antara tugasan utama PBK KSK adalah menentukan peraturan-peraturan yang ditandatangani oleh negara-negara peserta (State Party) dalam The Chemical Weapon Convention (CWC) iaitu satu perjanjian antarabangsa yang melarang pembangunan, pengeluaran, perolehan, pengumpulan stok, pemindahan dan penggunaan senjata kimia serta keperluan untuk memusnahkan senjata yang sedia ada.  CWC juga turut mengawal penggunaan dan perdagangan bahan-bahan kimia yang dapat ditukar atau diguna untuk menghasilkan senjata kimia.  

YBhg Tan Sri telah memulakan menyusun jadual aktiviti dalam negara mengikut garis panduan yang telah diberi.  Pihak Organisation for the Prohibition of Chemical Weapon (OPCW) berpuas hati dengan perlaksanaan konvensyen oleh semua pihak yang terbabit di Malaysia.  Di samping mewujudkan Akta,  Peraturan dan Manual, mereka telah dapat mengumpul beberapa rujukan dan kesemuanya telah dibukukan.  Peranan yang dimainkan dan sumbangan yang diberikan oleh Malaysia adalah sangat berkesan dalam aspek ini dan menjadi satu contoh kepada negara-negara jiran.  Pengiktirafan ini juga terpahat dalam kalangan pegawai-pegawai OPCW di The Hague, Netherlands.  Mereka menggalak dan menasihatkan YBhg Tan Sri untuk melibatkan diri secara lebih aktif lagi.

Selaku Pengerusi PBK KSK, antara tugas lain YBhg Tan Sri adalah berurusan dengan pihak-pihak yang terlibat dalam mengawal atau menggunakan bahan-bahan kimia dari kalangan Agensi Kerajaan dan swasta.  Bagi Kementerian Pertahanan, wakil yang relevan adalah RAJD selaku custodian aspek kimia dalam TD.  Secara tidak langsung sekali lagi beliau perlu berintraksi dengan pegawai dan anggota RAJD.  Memegang kepada hakikat pegawai-pegawai RAJD begitu profesional, apa juga kursus dan latihan yang dianjurkan oleh OPCW akan dapat dimanfaatkan oleh pegawai dan anggota mereka.  Hikmahnya pekerjaan YBhg Tan Sri di PBK KSK mempunyai right chemistry dengan RAJD melalui bancuhan yang betul. 

Di antara 14 buaah Kementerian dan Agensi di bawah seliaan  PBK KSK, TD adalah merupakan satu-satunya yang mempunyai organisasi terlatih, lengkap dengan peralatan dan mempunyai kepakaran untuk mematahkan serangan dan ancaman bahan kimia.   Kor RAJD melalui Pertahanan Nuklear, Biologi dan Kimia 3 Div (PNBK 3 Div) dan Institut Kejuruteraan Medan TD (IKEM) bukan sahaja berfungsi dan berperanan sebagaimana yang telah dijelaskan malah turut melatih seluruh warga ATM termasuk agensi awam dalam aspek pertahanan NBK.

Komitmen mantan Panglima-panglima 3 Div iaitu Jen Tan Sri Zulkifeli bin Mohd Zin dan Lt Jen Dato’ Seri Ahmad Hasbullah bin Mohd Nawawi terhadap PNBK 3 Div adalah cukup tinggi di mana mereka telah memberi perhatian yang istimewa terhadap kefungsian dan latihan pasukan tersebut.  Pasukan tersebut telah diberi tanggungjawab untuk melatih formasi-formasi di bawah naungan 3 Div dalam latihan pertahanan untuk menghadapi ancaman NBK.   

Di bawah Pegawai Memerintah Lt Kol Mohd  Nasarudin bin Mohd Yusof, PNBK 3 Div telah dapat memastikan warga 3 Div menerima faedah kepakaran mereka dalam latihan pertahanan menghadapi ancaman NBK melalui siri-siri latihan PNBK secara aktif.  Lt Kol Mohd  Nasarudin memiliki ciri-ciri peribadi yang baik dan mempunyai keupayaan yang tinggi.  Malah beliau pernah ditawarkan untuk ditumpangkan di PBK KSK tetapi ianya tidak dapat direalisasikan pada masa itu.

Dalam satu sesi  perbincangan dengan pegawai-pegawai OPCW, pertanyaan ke atas kemungkinan seorang pegawai TD dari Malaysia diterima berkhidmat di ibu pejabat OPCW telah dibangkitkan.  Tidak lama selepas itu, berlaku komunikasi di antara OPCW, PBK KSK dan pegawai berkenaan.  Sejurus kemudian, Lt Kol Mohd  Nasarudin telah dipanggil untuk ditemuduga di The Hague, Netherlands bagi jawatan Chemical Weapons and Munitions Specialist.  Justeru panggilan temuduga oleh ibu pejabat OPCW untuk beliau dikira sebagai half the battle is won.   Pada akhir tahun 2009, beliau telah diterima untuk mengisi jawatan tersebut dengan OPCW.  Perasaan YBhg Tan Sri tidak dapat digambarkan apabila menerima berita tersebut. Sesungguhnya pemilihan pegawai dari Malaysia ke dalam pasukan pemeriksa senjata kimia buat julung-julung kalinya oleh organisasi antarabangsa adalah merupakan satu manifestasi kepercayaan dan pengiktirafan terhadap TD khasnya dan ATM amnya.  Ini adalah satu rekod yang cemerlang buat RAJD, TD, ATM dan juga Malaysia.  Namun apa yang lebih penting adalah  usaha-usaha dan cita-cita untuk membantu pegawai-pegawai RAJD telah menjadi kenyataan.

Sebelum Lt Kol Mohd  Nasarudin berlepas ke The Hague, YBhg Tan Sri sempat menasihati beliau agar dapat membuktikan kebolehan beliau dengan menonjolkan imej yang mantap dan sentiasa menjaga nama baik TD dan negara.  Biarlah dunia tahu bahawa anak Melayu ini boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka yang berasal dari hemisfera utara mahupun hemisfera selatan.  Pesanan lain, selepas tamat tugas kelak, seboleh mungkin biarlah pengganti beliau juga  adalah seorang pegawai RAJD.  Ini bukanlah satu perkara yang mustahil sekiranya beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang baik semasa menjalankan tugas dan seterusnya berjaya mendapat kepercayaan pegawai-pegawai kanan di OPCW di mana akan membuka laluan untuk seorang pegawai dari Malaysia dipilih berkhidmat di sana kelak.


Lt Kol Nasa
Tidak berapa lama selepas setibanya Lt Kol Mohd  Nasarudin di  The Hague, beliau telah menghubungi YBhg Tan Sri untuk mengucapkan terima kasih di atas usaha dan bantuan PBK KSK sehingga membolehkan beliau berkhidmat di OPCW.  Beliau telah melahirkan perasaan bangga kerana merupakan anak Melayu yang pertama berkhidmat dengan badan antarabangsa berkenaan.  Beliau juga berazam tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi dan akan sentiasa menjaga nama baik negara.

Epilog

Kesimpulan yang ingin disampaikan oleh YBhg Tan Sri adalah;

-           Apabila diberi tugas, laksanakanlah dengan sebaik mungkin kerana hasilnya juga adalah yang terbaik. Kita perlu sentiasa mengutamakan tugas tanpa mengira waktu, lokasi atau usia.  Kita patut sentiasa bersedia untuk memberi sumbangan setakat mana yang terdaya demi agama, bangsa, negara dan organisasi.

-           Kedua, lakukanlah sesuatu perbuatan itu kerana mengharap keredhaan Allah SWT dan bukan untuk mencari nama dan bermuka-muka.  Sesuatu kejayaan itu akan terpancar dari hati yang ikhlas dan insyaAllah  segala sumbangan murni dan niat ikhlas kita akan mendapat ganjaran yang selayaknya.

-           Ketiga, istiqamah dalam perjuangan dan jangan mudah berputus asa apabila menghadapi kegagalan kerana Man proposes but God disposes.  Seandainya kita jatuh, haruslah terus bangkit dan rencanakan perhitungan semula dengan wawasan dan iltizam yang baru. Jadikan kegagalan tadi sebagai satu pengajaran yang berguna. 

Diharap mesej yang ingin disampaikan ini dapat dihayati oleh semua warga TD. Coretan mengenai pengalaman bersama RAJD  ini hanyalah merupakan sebahagian kecil daripada jumlah yang besar pengalaman sepanjang 37 tahun perkhidmatan dalam tentera.  Malah banyak lagi kisah suka duka yang telah dilalui  selaku Pegawai Memerintah 11 RAMD, Panglima 10 Briged Para malah selaku PTD sendiri.  Sudah tentu dalam tempoh Perkhidmatan, banyak juga peristiwa-peristiwa telah dilalui bersama-sama pegawai dan anggota daripada  semua Kor dan Rejimen dalam TD termasuklah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).  Kesemua ini adalah asam garam kehidupan yang telah dapat mewarnai kehidupan beliau sebagai seorang pegawai tentera.

Pengkisahan ini juga bukanlah untuk mengharap puji-pujian dan jauh sekali gelaran yang masyhur, hanya sekadar menyempurnakan hasrat untuk memberi manfaat dan memungkinkan sesuatu yang mustahil menjadi satu realiti.   Seperti balada old soldier yang disentuh dalam ucapan bersejarah Jen MacArthur, beliau telahpun menamatkan kerjaya tentera dan masih cuba melakukan sesuatu yang berfaedah sebagaimana Allah SWT telah tunjukkan jalan-jalanNya ke arah itu.   Ajaran agama  Islam menekankan bahawa sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain dengan menjadikan sesuatu perkara pada hari ini lebih baik daripada hari semalam dan jadikan sesuatu pada hari esok lebih baik daripada hari ini. PERAJURIT