Pages

Sunday, May 6, 2012

IKTIBAR DARI PERGOLAKAN TIMUR TENGAH

Sumber Majalah Perajurit edisi Mei 2012
Oleh Hamzah hd.


Negara-negara orang Islam tidak habis-habis bergolak. Sementara isu pendudukan haram dan kekejaman Zionis di Palestin sudah berpuluh-puluh tahun masih berkemelut tanpa kesudahan, satu demi satu negara-negara Islam yang lain terus dilanda pergolakan. Afghanistan, Iraq, Mesir, Lubnan,Tunisia, Libya dan kini Syria bakal lumpuh dilanda krisis perang saudara.

Bermula dari ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemerintah disusuli dengan demonstrasi jalanan lantas meletus pemberontakan yang memaksa campurtangan kuasa tentera yang menyebabkan kematian dan kemusnahan yang besar. Benarkah ia terjadi secara fitrah atau semula jadi keinginan sebilangan rakyat yang menuntut keadilan ekonomi, politik dan seumpamanya yang tidak dilayan sewajarnya oleh pemerintah?. Atau mahu membenarkan kata-kata ramai penganalisis dunia bahawa pergolakan yang telah berlaku semuanya adalah strategi dan campur tangan kuasa asing yang sememangnya mahu melihat dunia Islam akan lumpuh dan tidak berdaya seperti buih-buih di laut. Satu demi satu negara-negara Islam dilanda kacau bilau dan apakah momentum pergolakan di negara-negara Timur Tengah akan menular ke Asia Tenggara tidak lama lagi? Jika ada krisis dalaman yang tidak berupaya dibendung oleh pemerintahan yang sedia ada, jawapannya tidak mustahil negara-negara Muslim Asia Tenggara menimpa nasib yang sama akan ‘dijarumi’ oleh kuasa-kuasa luar yang sentiasa mengintai ruang dan yang pastinya akan menjadikan rakyat tempatan sebagai tali barutnya.

Republik Arab Syria mula ditubuhkan pada 29 September 1961 yang mana Presiden pertamanya ialah Maamun al-Kuzbari dari Parti Bebas. Sehingga kini 8 orang Presiden telah bertukar ganti. Presiden Bashar Al-Assad merupakan Presiden ke 8 yang menduduki kerusi pemerintahan Syria sejak 17 Julai 2000 sehingga sekarang melalui Ba'ath Party/National Progressive Front.

Kebangkitan rakyat di Syria menentang kepimpinan Presiden Bashar al-Assad bermula pada 25 Mac 2011 apabila sekumpulan kanak-kanak telah ditahan oleh polis Syria kerana menulis perkataan ‘hurriyah’ yang bererti kemerdekaan di tembok di sebuah bandar di Syria. Kanak-kanak terbabit disiksa dan diberi layanan buruk semasa dalam proses penahanan sekaligus menerima bantahan dan kemarahan dari ibu-bapa kanak-kanak terlibat. Kesombongan pihak polis yang mengendalikan kes ini telah mencetus ketidakpuasan hati dan kemarahan penduduk setempat. Ekoran daripada itu, ribuan rakyat di kawasan tersebut telah berhimpun dan berarak sebagai tanda bantahan yang kemudiannya berkembang menjadi ratusan ribu dan jutaan rakyat yang mencetus kepada suatu pemberontakan berdarah.

Sebagai reaksi, rejim Basyar al Assad telah menggemblengkan kekuatan tenteranya untuk menamatkan krisis berdarah dengan membunuh rakyat Syria yang tidak bersenjata termasuklah wanita tua dan kanak-kanak. Justeru, ramai askar Syria telah berpaling tadah dengan menyokong kumpulan pemberontak untuk menggulingkan Bashar. Ini termasuk tindakan komander kanan tentera Syria, Jeneral Mostafa Ahmad al-Sheikh yang berpaling tadah sejak pemberontakan meletus dan menyertai Tentera Pembebasan Syria (FSA) yang diketuai oleh Kolonel Riad al-Asaad. Kira-kira 20,000 hingga 40,000 askar dilaporkan telah berpaling tadah dan bersedia untuk dikerah menentang tentera Bashar yang mempunyai kekuatan seramai 280,000 anggota dan 342,500 tentera simpanan. Keadaan ini mungkin boleh mencetuskan perang saudara di bumi Syria yang boleh memberi impak kepada negara-negara jirannya.

Terkini Ketua FSA Kolonel Riad al-Asaad mengumumkan pembentukan sebuah Majlis Tertinggi Tentera, yang menggabungkan semua ketua-ketua pemberontak yang dipengerusikan oleh Jeneral Mustafa al-Sheikh dalam usaha terbaru untuk menjamin perpaduan tentera dan angkatan bersenjata pergerakan pemberontak.

Kebangkitan rakyat berdemonstrasi menentang kepimpinan Presiden Bashar al-Assad sudah menjangkau lebih setahun telah pun mengorbankan sebanyak hampir 10 ribu nyawa dan sehingga hari ini masih belum kelihatan rangka penyelesaian yang mampu mententeramkan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Al-Assad ke atas umat Islam di Syria. Sepanjang tempoh itu, kepimpinan Bashar semakin terhimpit antara tekanan antarabangsa dan dari dalam negaranya sendiri.

Keganasan rejim Basyar Al-Assad terhadap rakyatnya sendiri ini telah melahirkan pelbagai reaksi dari dalam dan luar Syria. Selain dari kegigihan rakyat Syria yang terus menerus mengadakan demonstrasi meskipun nyawa mereka terancam, telah lahir sebuah kumpulan penentang bersenjata seperti Tentera Pembebasan Syria (Free Syrian Army) yang telah diwujudkan secara rasmi melalui suatu deklarasi pada bulan Julai 2011. Selain dari kumpulan bersenjata, dua parti pembangkang juga telah ditubuhkan iaitu Majlis Kebangsaan Syria (Syrian National Council) dan Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan (National Coordination Committee).

Hakikatnya krisis di Syria ini bukan lah krisis dalaman yang hanya melibatkan rejim al-Assad dan rakyat Syria sahaja. Malah krisis ini sebenarnya merupakan sebuah medan pergelutan antara kuasa-kuasa besar dunia. Penglibatan Amerika, Britain, Eropah, Rusia, China dan pelbagai negara lain dalam kancah konflik ini telah menambahburukkan lagi suasana di Syria. Jika Bashar tidak mahu menerima nasib yang sama seperti Gaddafi, beliau harus mencari penyelesaian terbaik dengan mengadakan rundingan dengan pihak pembangkang meski pun tiada keputusan positif dicapai setakat ini. Setidak-tidaknya, bagi menyelamatkan lebih ramai nyawa tidak bersalah, Bashar wajar mengambil langkah rakan sejawatnya di Yemen, Presiden Ali Abdullah Saleh yang melepaskan jawatan serta mengadakan pilihan raya Presiden supaya rakyat dapat memilih sendiri pemimpin mereka.

Perang saudara mungkin sukar untuk dielakkan dengan kedegilan Bashar dan bilangan mereka yang menyertai kumpulan pemberontak yang semakin bertambah. Tiada jaminan tuntutan rakyat Syria dapat dipenuhi dengan sepenuhnya meski pun Bashar digulingkan dan tiada jaminan keamanan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat kerana kumpulan pemberontak di Syria tidak menerima sokongan luar dan terpaksa berdepan dengan kekuatan tentera kerajaan bilangannya berkali ganda di mana Bashar mampu mengerahkan semua kekuatan tenteranya termasuk kereta kebal, pesawat dan kapal perang untuk menghapuskan kumpulan pemberontak, sekali gus meletakkan nyawa penduduk awam menjadi mangsa perang.

Umat Islam di seluruh dunia semestinya tidak mahu melihat bumi Alawiyyin yakni kaum atau sekelompok orang yang memiliki pertalian darah dengan Nabi Muhammad (SAW) yang tersimpan dengan pelbagai sejarah perutusan para Nabi dan Rasul ini terus bergolak dan berharap konflik di Syria dapat ditamatkan secepat mungkin bagi mengelakkan lebih ramai yang menjadi korban.

Campur Tangan Amerika

Penganalisis melihat Amerika Syarikat (AS) adalah pemain utama dalam krisis ini yang mana merestui pemerintahan Bashar bertapak di Syria. Namun begitu perencanaan AS kebelakangan ini tidak mahu lagi melihat Bashar berterusan sebagai Presiden dan sedang berusaha untuk mencari penggantinya. Ini adalah kerana Bashar kelihatan tidak lagi berupaya untuk menstabilkan kuasanya sekali gus telah gagal untuk memenuhi dan menjaga kepentingan AS di rantau tersebut.

Dalam keghairahan AS untuk ‘menurunkan’ Bashar dari tahtanya, masih ada perkiraan lain yang dihitung oleh AS iaitu kebimbangan AS terhadap calun pengganti yang boleh memberi kesetiaan kepada AS. Dibimbangi jika sekiranya AS mengarahkan Bashar meletakkan jawatannya sebelum ada pengganti yang benar-benar boleh memberi kerjasama kepada AS, kemungkinan jawatan Presiden akan diisi oleh pihak lain yang lebih ikhlas atau kemungkinan juga ejen kepada Eropah terutamanya United Kindom.

Justeru, AS terpaksa memberikan Bashar peluang dengan apa-apa cara sekalipun untuk terus kekal di kerusi pemerintahan, sementara AS pada masa yang sama mencari penggantinya yang sesuai.

Dalam masa yang sama AS berusaha untuk melantik pengganti Bashar melalui dua saluran iaitu melalui Majlis Kebangsaan Syria yang diawasi oleh Turki dan saluran kedua melaui Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan yang diserahkan kepada Iran. Namun begitu kedua-dua badan ini belum mencapai kesepakatan yang boleh menggabungkan kedua-duanya melaui sebuah perjanjian kerjasama dengan harapan perjanjian kerjasama tersebut dapat memberikan mereka momentum yang cukup dan seterusnya memberikan mereka sokongan yang kuat dari rakyat Syria dan juga negara- negara arab lainnya.

Nabil Al-Arabi, Setiausaha Liga Arab telah pun berjaya menjalankan tugasnya dalam proses menandatangani perjanjian di antara mereka pada 30.12. 2011 yang sebenarnya telah ditandatangani terlebih dahulu oleh Burhan Khaluon bagi pihak Majlis Kebangsaan dan Haytham Manna bagi pihak Jawatankuasa Penyelaras.

Walau bagaimanapun respon yang diberikan oleh rakyat Syria dalam usaha ini ialah dengan meningkatkan darjah pemberontakan di jalanan secara berterusan yang menyebabkan Al-Arabi dan Khaluon berputus asa. Petunjuk ini telah memberi gambaran bahawa keterlibatan kedua-dua entiti yang sedang di ‘uji’ oleh AS dalam rangka mencari pengganti al-Assad dalam pemerintahan Syria dengan kaedah yang paling wajar tidak boleh diterima oleh rakyat Syria samada secara sendiri atau bersama dengan yang lain.

Dalam kes menolak atau membatalkan sesuatu keputusan (veto) oleh pihak Rusia di dalam Majlis Keselamatan PBB, ia telah dibuat selepas pertemuan di antara Clinton dan Menteri Luar Rusia. Pihak media beberapa jam sebelum pertemuan tersebut, telah pun mengulas tentang kedudukan Rusia yang semakin berlembut sehingga beberapa orang wakil di PBB menyuarakan sikap optimis bahawa Moscow tidak akan menggangu draf resolusi.

Namun begitu sebaik sahaja selesai pertemuan antara Clinton dan Menteri Rusia tersebut yang berlangsung di Munich pada hari Sabtu 04 Feb 2012 dan sejurus sebelum undian oleh Majlis Keselamatan pada hari yang sama, nada Rusia ternyata telah berubah. Apa yang telah berlaku semasa pertemuan tersebut, Clinton seolah-olah telah memprovokasi atau melakukan sesuatu sehingga Menteri Luar Rusia tidak mengubah posisinya untuk memveto resolusi tersebut seolah-olah AS mahu Rusia berbuat begitu.

Oleh yang demikian, kesimpulan telah dibuat jika AS berjaya mendapatkan pengganti, Bashar akan diarahkan untuk berundur dan Bashar dijangka tidak akan sanggup mengatakan tidak kerana AS lah yang mencorak Bashar dan orang-orangnya ke tampuk kekuasaan yang mana selama ini Bashar hanya didokong oleh AS bukannya oleh rakyat. Oleh itu jika sekiranya AS mengarahkan mereka untuk berundur secara serius, mereka tidak boleh menolak.

Sehingga masa tersebut tiba, AS memberikan lampu hijau kepada Bashar untuk terus melakukan pembunuhan dan kekejaman. Nampaknya alternatif untuk Bashar sudah semakin dipersiapkan. Pergerakan Majlis Kebangsaan telah menjadi semakin dinamik dan jika AS berjaya mempengaruhi Majlis Kebangsaan ini maka kemungkinan besar AS akan melepaskan sokongannya terhadap Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan , menciptakan dua pihak dalam pemerintahan Syria, majlis Kebangsaan sebagai pihak pemerintah dan Badan Penyelaras kebangsaan sebagai pihak pembangkang.

Pengaruh Eropah

Pengaruh dan kekuatan Eropah khususnya Britain dan Perancis di Syria sentiasa dibendung sepanjang pemerintahan Bashar al-Assad. Oleh itu peluang Eropah untuk mengganggu perancangan AS di Syria adalah tipis walaupun tidak diragui bahawa mereka telah mampu untuk sedikit sebanyak menggoncang perancangan AS. Secara zahirnya kelihatan AS seolah-olah sehaluan dengan Eropah dalam kata-kata namun amat jelas sekali AS tidak konsisten dalam mengimplementasikan ‘kesepakatan’ kata-kata ini. Eropah juga sedang berusaha untuk mempercepatkan penyelesaian krisis kerana mereka sedar bahawa AS sedang sibuk menyediakan pengganti Bashar. Eropah cuba menimbulkan keraguan di dalam hal ini.

AS dan ejennya merancang dan menggerakkan kakitangan mereka agar melewat-lewatkan pengunduran Bashar bagi membolehkan mereka mempersiapkan pengganti untuknya. Eropah dan ejen mereka pula berusaha memanaskan keadaan dan mencari penyelesaian yang dapat mengekalkan pengaruh mereka di Syria dengan pelbagai cara. Antara usaha yang telah dilakukan oleh Eropah adalah seperti penarikan balik para pemerhati mereka dari Negara Teluk, atau melalui cadangan dari Menteri Luar Tunisia, Rafiq Abdul Salam pada 12 Feb 2012, untuk mengadakan persidangan antarabangsa di Tunisia bertemakan ‘sahabat-sahabat Syria’ pada 24 Feb 2012. Cadangan ini amat dialu-alukan oleh Arab dan Qatar. Peranan Eropah di sebalik cadangan ini dapat dilihat dengan jelas melalui petikan oleh Associated Press di mana Michael Mann, juru cakap Menteri Luar Kesatuan Eropah mengatakan bahawa Kesatuan Eropah bercadang untuk memainkan peranan aktif di dalam organisasi Sahabat-sahabat Syria.

Kesemua usaha ini hakikatnya telah diawali oleh pertemuan Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council) yang mengeluarkan amaran keras melalui Saud al-Faisal. Ini disusuli pula dengan pertemuan Menteri-menteri Liga Arab yang banyak dipengaruhi oleh Majlis Kerjasama Teluk. Apa yang nyata, salah satu dari resolusi yang dikeluarkan adalah untuk meminta Majlis Keselamatan PBB agar menghantar pasukan pengaman, yang telah diluluskan dengan segera oleh Kesatuan Eropah walaupun ia hanyalah satu undangan yang dipanjangkan oleh Majlis Keselamatan. Walau bagaimanapun, tindakan ini gagal akibat tindakan veto. Semua ini menunjukkan bahawa kelantangan suara Eropah dalam Liga Arab sudah mula terpancar berbanding sebelum ini yang tidak seberapa khususnya di dalam situasi di mana Eropah dianggap tidak mempunyai kaedah pelaksanaan yang berkesan.

Mengenai veto yang dilakukan oleh Rusia dan China, walaupun mereka menunjukkan penentangan terhadap inisiatif PBB, pengaruh mereka dan pengaruh politik mereka di Syria adalah terlalu lemah untuk memberikan kesan yang besar ke atas suasana politik di Syria, meskipun mereka mempunyai kepentingan ekonomi dan ketenteraan dengan Syria. Atas tindakan mereka memveto resolusi tersebut, khususnya bagi Rusia, adalah kerana kekuatiran berulangnya campurtangan ketenteraan oleh NATO dalam menyelesaikan masalah dalam negara tersebut. Rusia masih lagi terkesan akibat penglibatan NATO di Kosovo. Rusia berharap NATO tidak akan campurtangan di rantau berkenaan walaupun NATO telah pun melakukan campurtangan di Libya. Tambahan pula terdapat beberapa kawasan di Rusia dan China yang agak ‘panas’ dan tidak stabil seperti di Kaukasus dan Republik Asia Tengah seperti Turkistan Timur dan Tibet di China. Di dalam keadaan ‘panas’ ini, kebangkitan sebagaimana yang berlaku di Timur Tengah boleh berlaku di kawasan-kawasan tersebut. Oleh itu campurtangan NATO dalam hal ini sememangnya membimbangkan kedua-dua negara tersebut.

Perencanaan Barat Di Asia Tenggara

Perencanaan Barat sudah pun bermula melalui Rancangan Politik mereka di Asia Tenggara termasuk teknik-teknik mereka dengan menjadikan Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk Muslim yang terbesar sebagai sasaran utama dalam strategi ini di samping mereka menganggap Indonesia sebagai sebuah negara Muslim yang kurangnya amalan demokrasi.

Perhatian diberikan oleh mereka terhadap keamanan warganegara dan sempadan wilayah, pada masa yang sama telah menyuntik pemahaman bahawa melenyapkan ancaman terorisme (ideologi Islam dipandang juga sebagai inspirasi teroris terhadap kewujudan ‘mereka’) di mana bukan sekadar membawa persoalan tersebut ke muka pengadilan dan menghapuskan keupayaan operasi para teroris, tetapi juga harus menyelesaikan akar penyebab berlakunya terorisme. Barat berpendapat kemenangan hanya boleh dicapai apabila ideologi Islam itu di mana mereka menyebut sebagai ideologi para ekstrimis dapat dibuang dari pandangan majoriti penduduk tempat mereka tinggal dan kelompok-kelompok yang menyokong mereka secara senyap.

Justeru, strategi politik barat untuk menguasai Indonesia adalah dengan strategi menghidupkan budaya moderat (sederhana) yang kuat di negeri ini. Dengan cara inilah diharapkan akan muncul pertentangan terhadap ideologi Islam dan menguatkan dukungan terhadap pelbagai dasar barat yang ditunggang oleh jagoan-jagoan demokrasi, pejuang Hak Asasi Manusia dan Kesamaan Gender.

Bagi merealisasikan perencanaan, rakan-rakan strategik diperlukan untuk mengembangkan fahaman atau mendukung pengembangan ideologi Kapitalisme/Sekularisme/Liberalisme. Mereka-mereka ini adalah intelektual dan ahli akademik muslim liberal dan sekular, ulama muda yang moderat dalam keagamaan, aktivis-aktivis masyarakat, kumpulan-kumpulan wanita yang terlibat dalam kempen kesamaan gender dan penulis dan wartawan moderat.

Di Malaysia walau pun tidak disebut secara spesifik namun gerakan pentarbiahan melalui kaedah yang sama juga ‘kelihatan’. Gerakan-gerakan agresif berupa demonstrasi jalanan dan seumpamanya, kalimah-kalimah sokongan dari individu-individu berpengaruh kepada dasar-dasar luar yang selama ini tidak selari dengan kerajaan Malaysia merupakan manifestasi wujudnya golongan yang sedang dicengkam oleh tangan-tangan ghaib yang menggunakan platform NGO dan Parti Siasah dengan menuntut sesuatu perkara di luar tabii peradaban negara bangsa. Gerak saraf ini telah berjaya meyakinkan minoriti rakyat yang termakan hasutan broker-broker yang berkepentingan dan mahu melihat negara ini porak-peranda sedangkan majoriti rakyat lain tidak merestuinya sekali gus suatu tindakan yang mencabar perundangan negara.

Dalam konteks perolehan aset pertahanan negara, ada saja isu yang dimanipulasikan oleh ejen-ejen dalam negara yang ‘seolah-olah’ mewakili negara-negara serantau yang bimbang terhadap pembangunan pertahanan negara ini ke tahap mampan. Usaha-usaha kearah menggagalkan perolehan dengan cara memanipulasikan kos pembelian, kualiti malah tahap kesiagaan aset-aset pertahanan yang sudah dibeli bagi menampakan ketidaktelusan pihak kerajaan mengurus wang negara.

Jika gerak saraf ini tidak dibendung ianya bukan sahaja menjejaskan perolehan yang sepatutnya diperolehi oleh ATM malah juga akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan di dalam menguruskan hal ehwal pertahanan yang secara tidak langsung akan menjejaskan semangat perjuangan warga ATM. Memburukkan lagi keadaan, dengan ketiadaan aset-aset canggih yang berstrategik sebagai cegah rintang, akan lebih banyak provokasi-provokasi akan ‘dimainkan’ oleh jiran-jiran serantau terutamanya dalam wilayah tuntutan bertindih dan juga wilayah-wilayah persempadanan.

Sesungguhnya keharmonian, kedamaian dan perpaduan yang dinikmati pada hari ini adalah warisan perjuangan generasi terdahulu yang bermandi darah dan keringat demi memartabatkan maruah bangsa dan negara di mata dunia. Justeru, generasi hari ini perlu semak pada sejarah sebelum begitu mudah mempercayai dan termakan hasutan yang sengaja dicetuskan oleh individu atau kumpulan yang mencari keuntungan peribadi melalui ideologi yang mengelirukan.

Kebangkitan rakyat Mesir, Syria dan lain-lain negara jika pun berjaya menjatuhkan kerajaan mereka melalui demonstrasi jalanan namun ianya tidak boleh dijadikan contoh untuk menjatuhkan pemerintahan negara ini dengan kaedah yang sama kerana keupayaan kerajaan menjaga kebajikan rakyat negara secara saksama walaupun dalam populasi rakyat yang berbilang kaum dan etnik. Tidak ada sebab yang boleh dijadikan alasan konkrit untuk rakyat negeri ini mengikut jejak langkah rakyat negara lain yang dikatakan tertindas yang menjadi salah satu punca penyebab kebangkitan rakyat menjatuhkan kerajaan mereka. Kalau cara itulah yang rakyat Malaysia mahu bagi menjatuhkan kerajaan yang sedia ada, maka bersedialah untuk negara ini menuju kehancuran. Lupakan keamanan, kedamaian dan keharmonian yang dikecapi selama ini kerana pada masa itu seperti kata perpatah, ‘Yang kalah jadi abu, yang menang akan jadi arang’. PERAJURIT

. .........................................................................................................................................

Sumber Rujukan : Sumber Terbuka

Wikipedia

Hizbut Tahrir Malaysia

Dua pusat latihan TLDM cipta sejarah

Sumber utusan online
Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Abdul Aziz Jaafar (kanan) menganugerahkan Laskar Terbaik TLDM kepada LK1 PLM Khairul Amin Ahmad Fadzil dari Markas Wilayah Laut Satu pada Ssambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-78 di Pangkalan TLDM Lumut, semalam. - BERNAMA

LUMUT 27 April - Dua pusat latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Pelandok (KDP) dan KD Sultan Idris 1 (KDSI 1) hari ini mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai Institut Latihan Maritim (ILM) oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, pengiktirafan kedua-dua pusat tersebut yang merupakan Pusat Latihan Anggota Lain-Lain Pangkat TLDM dan Pusat Latihan Pegawai TLDM akan berkuat kuasa selama lima tahun.

Menurut beliau, pengiktirafan itu merupakan satu sejarah kepada TLDM terutamanya dalam usaha mencapai wawasan menjadi tentera laut bertaraf dunia.

Sebagai permulaan katanya, TLDM akan melaksanakan dua daripada sembilan Modul Asas Latihan, Perakuan dan Pengawasan Bagi Pelaut 1995 (STCW 95) dan bilangan modul akan ditambah dari semasa ke semasa.
''Pensijilan STCW 95 merupakan usaha murni TLDM untuk mempertingkatkan kecekapan anggota TLDM supaya mereka mampu menyumbang sebagai tenaga mahir khususnya dalam sektor industri maritim setelah bersara atau menamatkan perkhidmatan nanti.

''Sepanjang tahun lalu, kita melaksanakan lapan siri kursus STCW 95 yang melibatkan modul asas iaitu Kursus Asas Keselamatan (BST) dan Kursus Penyelenggaraan tangki minyak (TFA) dengan mengguna khidmat jurulatih sebuah pusat ILM swasta.

''Setakat ini, seramai 240 Anggota Lain-Lain Pangkat TLDM telah memperoleh manfaat daripada usaha itu dan kebanyakan mereka akan menamatkan perkhidmatan pada tahun depan dan 2014," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Daftar Pegawai dan Pesara TLDM dan Penyerahan Sijil Institut Latihan Maritim (ILM) Sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-78 di Pangkalan TLDM di sini hari ini.
Sijil ILM diserahkan Ketua Pengarah JLM, Datuk Ahmad Othman dengan disaksikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Ahli Parlimen Lumut.
Tambah Abdul Aziz, sijil BST dan TFA melayakkan mana-mana anggota yang memperolehnya untuk memohon pekerjaan dalam industri maritim terutama sektor perkapalan, carigali dan gas.
Terdahulu beliau memeriksa perbarisan empat panji-panji terdiri daripada 88 pegawai dan 569 anggota lain-lain pangkat KD Pelandok, KD Malaya, KD Panglima Hitam dan KD Rajawali.
Perbarisan tersebut diketuai oleh Komander Rosli Mokhti dari Markas Bantuan dengan dibantu Leftenan Komander Karim Mohd. Faizal Mahmood dari KD Panglima Hitam dan Leftenan Ahmad Zaini Abdul Ghani.