Pages

Thursday, October 29, 2009

Kerajaan kaji pesawat 4 negara ganti MiG-29N

Sumber: Utusan online

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kerajaan sedang meneliti pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) yang dikeluarkan empat negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Perancis, Itali dan Sweden bagi menggantikan MiG-29N yang akan ditamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembelian MRCA itu tidak akan melibatkan pesawat dari Rusia berikutan pengalaman pahit kerajaan apabila terpaksa membelanjakan kos tinggi RM260 juta setahun untuk menyenggara semua pesawat MiG-29N.

"Sukhoi SU-30MKM yang merupakan pesawat tempur jarak jauh yang baru dibeli akan menjalankan tugas penggantian kepada MiG-29N. Tetapi untuk menggantikan MiG yang sedia ada, kita tidak akan beli Sukhoi yang lain.

"Insya-Allah negara-negara yang sedang kita tinjau untuk menambahkan kekuatan pertahanan udara kita antaranya AS, Perancis dan Itali, kalau sesuai mungkin juga dari Sweden.

"Kita akan lihat bukan saja dari segi kecanggihan teknologi tetapi untuk jangka panjang bagaimana kita boleh menjimatkan kos penyenggaraan," katanya menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin pesawat Sukhoi SU-30MKM tidak akan mengalami nasib sama seperti MiG-29N terutama dari segi penyenggaraan.

"Kita mempunyai pilihan kerana boleh mendapatkan alat ganti pada harga berpatutan daripada syarikat di China dan India yang telah diberi hak mengeluarkan komponen berkenaan," katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), beliau berkata, daripada 18 pesawat MiG- 29N yang dibeli kerajaan pada 1993, hanya 10 buah dioperasikan sekarang untuk tujuan pertahanan ruang angkasa serta penglibatan minimum dalam latihan yang telah dirancangkan.

"Jumlah ini akan dikurangkan kepada enam pesawat menjelang Januari tahun depan sehingga kepada tarikh penamatan khidmatnya," ujar beliau.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Rahman mengenai pesawat pengganti Nuri, beliau berkata, kerajaan masih berunding mengenai pekara itu.

"Penggantian Nuri sebagai mana yang diketahui, sedang dirundingkan. Namun, oleh kerana keadaan ekonomi yang tidak menggalakkan, saya fikir keutamaan kita bukan untuk menambah aset (yang tidak diperlukan).

"Tumpuan kita ialah untuk memperbaiki aset sedia ada dan menggunakan wang yang ada bagi menambah aset paling diperlukan, dengan keutamaan kepada pesawat yang mempunyai fungsi pelbagai guna," katanya.

Wednesday, October 28, 2009

SCORPENE – KD TUNKU ABDUL RAHMAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Okt 09.
Oleh: Hamzah Hd.

Nama Scorpene diambil dari sejenis ikan batu karang yang mempunyai ciri-ciri penyamaran yang sukar dikesan. Ianya bertepatan dengan keupayaan rekaan terkini oleh DCNS berdasarkan kepada Kelas Amethyste yang telah terbukti memberi perkhidmatan yang baik sebelum ini.

Keluarga Scorpene yang mengandungi tiga jenis iaitu Asas Scorpene, Scorpene Basic-AIP dan Scorpene Padat. Di antara ciri-ciri unik lain yang dimiliki Scorpene ialah menggabungkan kemajuan terbaru bentuk badan kapal dengan pembinaan bermodul dengan teknologi terkini termasuk synchronous propulsion motor, two-stage turbo-charged diesel engine dan bateri-bateri berkapasiti tinggi.

Secara keseluruhannya seni bina ini telah mengoptimumkan pengurangan bunyi. Bentuk badan kapal adalah direka bentuk untuk pergerakan yang senyap dan untuk memaksimumkan keupayaan penyeyapan sistem akustik kapal sendiri. Setiap item yang dipilih adalah bermatlamatkan penyeyapan dan pengikat kepada pemasangan peralatan pemasangan juga direka bentuk untuk tujuan yang sama.

Pemilihan atau penggunaan keluli jenis 80 HLES high-yield untuk ketahanan tekanan adalah menyamai kapal selam nuklear yang membenarkan penyelaman tanpa had melebihi kedalaman 300 meter yang mana memberi lebih kebebasan di dalam membuat manuver taktikal dan juga tidak terhad kepada bilangan atau durasi penyelaman ke tahap kedalaman maksima.

Sistem kombat bersepadu berprestasi tinggi juga menawarkan fleksibiliti dan kebolehpercayaan yang diperlukan. Kepelbagaian dan tatasusunan konsol yang mesra pengguna memberikan kuasa penuh kepada pengendali mengawal penugasan terhadap penderia permukaan, persenjataan dan tindak balas elektronik termasuk wire-guided torpedoes dan pantulan maklumat kehadiran misil anti kapal musuh.

Mempunyai sistem yang mampu mengesan atau memerhati semua pemasangan sistem utama dan sistem sokongan. Kefungsian pemanduan, penyelaman, keselamatan dan kuasa pendorong diintergrasikan sepenuhnya untuk memberikan fleksibiliti kepada pegawai dan krew memberi tumpuan kepada tugas-tugas yang berisiko tinggi. Pengurangan beban kerja hasil dari otomasi ini telah membolehkan hanya 30 orang krew mengoperasikannya berbanding generasi kapal selam sebelum ini memerlukan 50 orang anak kapal.

Program Scorpene ini telah mengesahkan DCNS sangat berpengetahuan sebagai kontraktor utama untuk program-program pembinaan kapal perang canggih. Setakat ini sudah sepuluh buah kapal selam dari kelas ini telah ditempah iaitu 2 buah (Chile), 2 buah (Malaysia) dan 6 buah oleh negara India. Sekaligus meletakkan Scorpene sebagai satu penanda aras kepada rekabentuk kapal selam konvensional (SSK) antarabangsa.

Kapal Diraja TUNKU ABDUL RAHMAN (KDTAR)

Merupakan kapal selam pertama negara yang telah dilancarkan 23 Oktober 2007 telah berlepas dari Pangkalan Tentera Laut Perancis di Toulon dan berlayar pulang ke tanahair pada 11 Julai 2009. Selamat berhimpit di Jeti KD Sultan Abdul Aziz Shah Pulau Indah Pelabuhan Klang pada 03 Sep 2009 setelah menempuh perjalanan sejauh lebih kurang 6000 batu nautika selama 54 hari.

KD TAR yang berada dalam Kelas Scorpene ini adalah sebuah kapal selam yang boleh digerakkan oleh kuasa elektrik dan diesel telah dibina oleh French military shipyard DCNS di Cherbourg dengan kerjasama oleh Spanish naval shipyard Navantia dengan menelan kos 1.04 billion Euro (RM3.4 million) yang telah dipersetujui pada tahun 2002.

KD TAR adalah kapal selam tempur konvensional yang panjangnya 66.4 meter dan lebar 6.2 meter. Enjin elektronik Jeumont Schneider 2,900kw versi CM-200 dengan Sistem pendorong 7 kipas. Tekanan udara, sistem penyejukan air dan kuasa elektrik dibekalkan dengan 4 janakuasa diesel Izar/MTU 396 12V SE84 atau 360 elemen bateri plumbum. Makanisme sistem pendorong dan elemen sokongan dibina dalam 2 kebuk berasingan dengan sistem pautan elastik bagi menghilangkan kesan bunyi dan gegaran. Mampu beroperasi secara berterusan selama 45 hari dengan komplemen 35 orang krew. Mampu bergerak senyap dan sukar dikesan penderia musuh kerana sokongan rekabentuk, item dan instalasi peralatan menepati keperluan penyeyapan.

Persenjataan yang dibawa ialah 6 tiub peluru berpandu dengan kemampuan pelancaran serentak dengan sistem pengisian peluru berpandu automatik sepenuhnya. Peluru berpandu anti kapal permukaan SM39 Block II Exocet, Torpedo anti kapal selam Black Shark dan mampu membawa 10 torpedo dan 30 periuk api. Pengurusan kombat adalah menggunakan sistem intergrasi taktikal kombat (SUBTICS) dengan 6 konsol paparan dan sebuah meja informasi taktikal. Sistem sonar jarak jauh pasif, sonar aktif dan sonar resolusi tinggi yang mampu mengesan ranjau laut, periuk api dan halangan semula jadi.

KD TAR yang bersaiz sederhana adalah merupakan gabungan inovasi-inovasi yang merupakan antara rekabentuk kapal selam yang terkini dalam kelasnya yang dibina berasaskan reka bentuk kapal selam Penyerang Nuklear (SSN) Tentera Laut Perancis selari dengan keperluan tentera laut masa depan di samping memenuhi spesifikasi yang diperlukan oleh TLDM dalam konteks kos dan keupayaan untuk pengawasan strategik perairan negara.

KD TAR direka khusus untuk melaksanakan pelbagai tugas dan misi pengawasan perairan, pengumpulan maklumat risikan, menyekat jalur perhubungan laut (SLOC), peperangan anti kapal selam (ASW), peperangan paras permukaan (ASuW) dan bersedia menghadapi segala ancaman-ancaman semasa samada ancaman dijangka atau tidak dijangka.

Keupayaan bergerak dengan kelajuan 20 knot semasa menyelam adalah suatu keupayaan yang bakal menjadi igauan kepada musuh permukaan kerana kelajuan tahap ini merupakan kelincahan yang sangat diperlukan untuk manipulasi taktikal di medan tempur. Taktik tembak dan lari keluar dari zon bahaya torpedo (TDZ) kapal perang permukaan adalah sangat-sangat memerlukan kelajuan tinggi kerana dengan mengambil kira kepintaran operator kapal-kapal perang permukaan yang turut mempunyai penderia yang canggih untuk menjejak musuh yang paling digeruni berada di mana-mana sahaja di bawah air.

Namun begitu, di perairan Selat Melaka tidak memberi kelebihan kepada mana-mana kapal selam untuk bertempur dengan selesa atas faktor-faktor kedalaman air dan kesibukan lalulintas. Meskipun ianya mampu meledakkan torpedonya ke arah sasaran, apa yang dikuatiri kesan gegaran akan menjejaskan kedudukan kapal selam itu sendiri kerana pantulan gegaran yang tertampan pada dasar yang cetek.

Perolehan kedua-dua kapal selam ke dalam inventori armada TLDM pastinya memberi dimensi baru kepada kepelbagaian misi dan operasi Pasukan Khas Laut (PASKAL). Misi-misi khas dan penyusupan akan dapat dilaksanakan hingga ke tengah-tengah medan berkonflik di luar kesedaran pihak musuh akan memberi suatu natijah besar kepada keberkesanan sesuatu operasi tempur atau pengumpulan maklumat perisikan.

Dimensi Latihan Bersama

Khalayak umumnya merasa teruja dan bangga dengan melihat perolehan ini sebagai suatu anjakan kepada pertahanan laut biru yang diamanahkan kepada TLDM. Semestinya TLDM mempunyai tugas berat dan mencabar selepas ini yang pada peringkat awalnya akan mempersiapkan armadanya dengan perancangan latihan persendirian yang intensif antara elemen tempur permukaan, elemen udara bersama kapal selam.

Untuk memastikan tim CIC dan sejauh mana kemampuan sonar yang sudah tersedia terpasang di mana-mana platform flotila serang berfungsi sebaiknya, maka ini peluang yang dinanti-nantikan untuk mempraktikkan sekerap mungkin dengan adanya kapal selam sendiri. Jika sebelum ini latihan Combined Anti Sub Marine Exercise (CASEX) hanya sesekali dilakukan dengan tentera laut negara-negara lain, ianya tidak betul-betul memberi impak maksima kerana keterhadan masa malah juga sering kali reaksi negara-negara terbabit hanya mahu memenuhi skedul latihan semata-mata atau dengan kata lain mereka tidak benar-benar untuk menurunkan ilmu taktikal hasil dari aplikasi kapal selam. Sonar TLDM belum teruji sepenuhnya dan untuk mengatakan sonar yang dibeli baik atau buruk persembahannya adalah menjadi tidak tepat dan tidak adil kerana tidak mempunyai banyak peluang untuk membuat koreksi atau penjajaran kepada penderia jika melakukan sekali sekala latihan.

Pada umumnya CASEX mempunyai enam siri iaitu A- bersama kapal ASW atau helikopter, B- bersama pesawat ASW, C- bersama gandaan angkatan ASW, D- peranan semasa mengiringi kapal selam nuklear, E- pelbagai latihan dan S- latihan antara kapal selam. Setiap siri mengandungi sub-sub siri yang secara umumnya merupakan latihan-latihan asas, medium dan lanjutan di antara elemen-elemen tersebut. Hanya latihan yang konsisten sahaja yang akan menentukan kompetensi tim Action Information Organisation (AIO) untuk menguasai taktikal di dalam semua dimensi peperangan bawah permukaan dan dimensi-dimensi lain di permukaan, udara dan elektronik.

Menjelang Malaysia sebagai negara maju, TLDM seharusnya memiliki pesawat ASW di samping membuat peningkatan kepada helikopter yang ada supaya lebih menjurus kepada helikopter ASW untuk melengkapkan kitaran latihan bersepadu yang lebih agresif bagi menjana kemahiran dan kecekapan operator dan menguji keupayaan peralatan sebagai pelengkap gelaran armada versatil di rantau ini. Apatah lagi jika jumlah aset tempur samada permukaan atau bawah permukaan direalisasikan menjadikan 6 buah bagi setiap skuadron. Justifikasi oleh kebanyakan penganalisis pertahanan negara dengan jumlah ini agak ideal dengan mengambil kira keluasan perairan dan kitaran senggaraan bagi setiap platform.

Sesuatu yang tidak boleh dinafikan oleh semua rakyat Malaysia bahawa perolehan kapal selam ini akan memberi dimensi pertahanan yang utuh kepada negara dengan mendukung Dasar Pertahanan yang meletakkan perinsip cegah rintang bagi mengelakkan kuasa-kuasa luar/serantau untuk melakukan provokasi atau bertindak agresif terhadap kepentingan negara. Menang atau kalah di dalam peperangan adalah bukan penentu mutlak kepada sesiapa tetapi dengan adanya aset strategik bawah permukaan ini sekurang-kurangnya boleh membuat perhitungan sewajarnya.

Apa yang penting ialah sokongan kerajaan untuk meletakkan keutamaan dalam konteks pembekalan di dalam semua aspek keperluan seperti alat ganti, pembaikan kecemasan supaya aset ini betul-betul mampu bersiapsiaga sebilang masa untuk memberi pulangan dalam konteks melaksanakan tugasnya mengawal, menjamin kedaulatan dan keselamatan perairan negara dari segala ancaman.
Perajurit

Wednesday, October 7, 2009

Perkembangan Ilmi sejajar pembangunan negara

Sumber Utusan
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

SELARAS dengan pembangunan negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khasnya Tentera Darat sentiasa diberi keutamaan bagi menyediakan sebuah pasukan berketerampilan dan siapsiaga.

Ini merupakan komitmen diberikan oleh kerajaan dalam menjaga kebajikan warga tentera yang bergelar perajurit negara.

Pelbagai aspek termasuk pendidikan dan bimbingan kefahaman Islam dalam ATM diwujudkan sejak penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) pada 16 April 1985.

Berikutan itu usaha telah dilaksanakan oleh Kagat demi mempertingkatkan pendidikan dan kefahaman Islam di kalangan warga tentera dan ahli keluarga mereka.

Namun begitu, proses pembelajaran dan memberi kefahaman Islam yang dilaksanakan secara 'ad hoc' ini sering terjejas disebabkan tiada satu pusat latihan khusus.

Bagi mengatasi masalah ini, Markas ATM telah mencadangkan agar Institut Latihan dan Kefahaman Islam (Ilmi) diwujudkan dengan harapan dapat membantu menyelaraskan segala program ilmuwan Islam supaya lebih tersusun.

Mesyuarat Lembaga Menteri yang bersidang pada 22 September 1997 telah meluluskan penubuhan Ilmi di Jalan Sua Betong, Port Dickson.

Ilmi berfungsi melatih anggota-anggota Kagat dalam aspek dakwah dan pada masa sama menganjurkan kursus-kursus kefahaman Islam kepada anggota tentera melibatkan perkhidmatan darat, laut dan udara.

Komandan Ilmi, Leftenan Kolonel Ibrahim Embong berkata, pengajaran dan pembelajaran di Ilmi berteraskan konsep dunia dan akhirat.

''Ia bertujuan melahirkan warga Kagat yang mempunyai tahap akademik dan profesional tinggi dalam menyampaikan dakwah Islamiah serta memberi pendidikan agama kepada warga tentera dan masyarakat,'' katanya kepada Utusan Malaysia ini.

Jelasnya, selain golongan muslim, Ilmi juga menyediakan kelas untuk mengajar warga tentera bukan muslim melalui aspek etika, moral dan nilai-nilai murni.

Selain warga tentera dalam negara, Ilmi juga menyediakan kemudahan kepada negara luar seperti Brunei dan Bosnia untuk menghantar anggota tentera mereka mengikuti kursus mengenai kefahaman Islam.

Mengenai kemudahan, Ibrahim berkata, ia tidak pernah diabaikan sebaliknya kerajaan sentiasa membantu dalam menambah kemudahan sedia ada selaras dengan perkembangan institusi tersebut.

Inspeka lahir pegawai kanan tentera berkaliber

Sumber utusan
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
pengarang@utusan.com.my

SELARAS kehendak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memerlukan setiap pegawai mahupun anggota sentiasa berpengetahuan tinggi dalam melaksanakan tugasan, pelbagai program dan pembangunan modal insan telah dirangka dan dilaksanakan.

Antaranya penubuhan Institut Pegawai Kanan Tentera Darat (Inspeka) di Port Dickson, Negeri Sembilan, yang bertujuan memantapkan ilmu dalam kalangan pegawai ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Institut ini berperanan sebagai pusat kecemerlangan kepimpinan tentera dan memiliki segala kemudahan prasarana dan tenaga pengajar yang terbaik.

Ia kini diterajui oleh Brigedier Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki sebagai komandannya, dan telah berjaya melahirkan 248 pegawai kanan berpangkat mejar ke atas.

Dengan menyandarkan sarjana dalam bidang pengurusan sebagai objektif pencapaian, institusi tersebut turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaya (UM).

Menurut Suhaimi, kerjasama dengan UM adalah dari segi bantuan tenaga pengajar dan pengurniaan sarjana pengurusan kepada setiap pegawai yang layak.

''Selain tenaga pengajar daripada UM, kita juga memiliki tenaga pengajar mahir daripada kalangan pegawai tentera yang terlatih.

''Di Inspeka, kita bukan sahaja menumpukan kepada bidang akademik semata-mata, malah mempertingkatkan modal insan melalui kursus pengendalian seminar yang menjurus kepada aspek pengurusan dan kepimpinan,'' jelasnya.

Tambah beliau, institut yang melatih ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM itu telah berjaya melahirkan pegawai berpangkat tinggi serta mahir dalam segala aspek pengurusan.
Justeru, usaha berterusan serta keprihatinan kerajaan berjaya menyediakan segala prasarana dan kemudahan di institut tersebut.

Menurutnya, menjadi hasrat tentera darat dan kerajaan Malaysia dalam melahirkan para pegawai tentera yang memenuhi segala kehendak dan tuntutan perkhidmatan dalam memastikan keselamatan negara terus terjamin.

Gaji pegawai ATM dipotong 10%

Sumber utusan
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARI

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Semua pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula daripada pangkat Leftenan Muda dan ke atas serta berkeluarga dikenakan potongan gaji 10 peratus berkuat kuasa 1 Oktober lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, gaji yang dipotong menerusi Peruntukan Paksa ATM itu yang dikreditkan ke dalam akaun isteri bertujuan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga pegawai berkenaan.

Beliau berkata, cadangan melaksanakan pemotongan gaji terhadap pegawai ATM itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera sebelum ini.

“Ini adalah satu bentuk jaminan dan keprihatinan kita kepada keluarga anggota dan pegawai kerana kita terima banyak laporan ada anggota dan pegawai yang buat pinjaman sehingga tidak mampu menanggung ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Pertahanan sempena Hari Raya Aidilfitri di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Katanya, potongan gaji tersebut dibuat daripada gaji pokok semasa setiap pegawai.
Ahmad Zahid berkata, potongan gaji tersebut yang dikenali sebagai Peruntukan Paksa telah diperkenalkan oleh ATM pada 1975 ke atas anggota lain-lain pangkat (LLP) sebagai ganti kepada elaun perkahwinan.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab tuduhan akhbar tabloid sebuah parti politik dan blog mengenai adanya kecacatan dalam persaraan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal baru-baru ini.

Menurut beliau, ia bukan isu besar memandangkan persaraan Abdul Aziz mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada mesyuarat MAT ke-484 Ogos lalu.

Beliau berkata, majlis perpisahan bekas Panglima Angkatan Tentera itu juga telah diatur tanpa masalah malah Abdul Aziz sendiri menyatakan hanya mahukan majlis perpisahan sederhana.

“Memandangkan tarikh persaraan beliau jatuh pada bulan Ramadan, beliau mahu majlis perpisahan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Oleh itu tuduhan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu itu semata-mata untuk menjadikannya isu besar adalah tidak benar sekali,” katanya.

Ditanya adakah beliau kecewa terdapat segelintir pihak terutama dari parti pembangkang yang memanipulasi isu-isu dalam ATM, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak merasa kecewa.

Bot tempur TLDM meluncur pantas dan senyap

sumber: Utusan Online
Oleh AMIR SARIFUDIN
mailto:mamir.mansor@utusan.com.my

MEREDAH lautan samudera. Kata-kata inilah yang sering bermain di bibir apabila memperkatakan tugasan serta tanggungjawab pasukan berkenaan.

Kehidupan harian mereka ini sering kali dikaitkan dengan lautan luas dan mereka juga dianggap 'wira samudera' atau 'wira maritim'.

Bertugas di lautan luas yang mengelilingi perairan Malaysia, pasti inilah cabaran tegar yang perlu mereka tempuhi.

Sebagai sebuah pasukan beruniform Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), mereka bukan sahaja menjaga kedaulatan maritim negara, malah menjalankan tugas-tugas sampingan.

Ini termasuk menangani pencerobohan musuh, jenayah lanun, mencari dan menyelamat, membantu bot-bot nelayan dan banyak lagi.

Dengan kata lain, pasukan ini menjadi benteng hadapan maritim pertahanan dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, pasukan ini tidak boleh sesekali leka atau lalai terhadap tugasan yang diberi termasuk ketika negara aman.

Kesiapsiagaan TLDM serta unit-unit di bawahnya memerlukan komitmen penuh dari setiap anggota selain kemahiran serta pengetahuan berterusan yang dimiliki.

Begitu juga penugasan krew bot tempur CB90. Memang sebelum ini ramai yang kurang mengetahui mengenai kebolehan, peranan serta tanggungjawab krew bot tempur berkenaan.
Sebut sahaja krew bot tempur CB90, kalangan anggota tentera pasti mengetahui bahawa mereka ini memiliki kemahiran serta kepakaran tertentu.

Apa tidaknya, bot CB90 itu sendiri merupakan antara aset terpenting milik TLDM yang mampu digerakkan dalam masa terpantas.

Untuk itu, bot CB90 sering digerakkan dalam sesuatu operasi kerana kemampuannya untuk tiba ke lokasi sasar dalam masa terpantas.

Bot tempur CB90 juga mempunyai pelbagai keistimewaan termasuk boleh beroperasi di kawasan air cetek sama ada lautan mahupun sungai atau tasik. Malah, laluan sungai sempit juga boleh dilalui oleh CB90.

Di samping itu, jika sebelum ini kita sering mendengar bot-bot menggunakan enjin berkipas, amat berbeza sekali dengan CB90.

CB90 menggunakan sistem 'water jet' yang mampu bergerak dengan pantas dan senyap.
Keadaan ini meletakkan CB90 antara aset terpenting TLDM terutama dalam menjalankan tugasan penyusupan dan risikan.

Untuk itu, pemilihan TLDM menggunakan CB90 dianggap tepat kerana kemampuannya membawa anggota-anggota tentera dalam menjalankan operasi di mana-mana sahaja kawasan di negara ini.

Bot tempur ini juga mempunyai keistimewaan lain seperti boleh didaratkan sebahagian badannya sehingga ke kawasan atas pantai.

Ia juga boleh dihentikan secara mengejut walaupun ketika sedang bergerak laju serta mampu membuat lencongan kira-kira 110 darjah.

Memandangkan kemampuan bot ini, ia turut diguna oleh TLDM di kawasan-kawasan sensitif termasuk di Sabah bagi menangani sebarang pencerobohan musuh.

Komander Bot Tempur, Leftenan Madya Mohd. Nor Iswandi Ariffin ketika diwawancara Utusan Malaysia memberitahu, untuk mengendalikan CB90, seseorang krew itu perlu terlebih dahului menjalani latihan dan kursus tertentu.

Latihan yang dimaksudkan termasuk cara-cara mengemudi atau mengendalikan bot serta penyelenggaraan bot.

''Walaupun melepasi latihan asas, setiap krew perlu menjalani latihan atau ujian secara berterusan dari semasa ke semasa.

''Latihan berterusan ini bagi memastikan setiap krew CB90 sentiasa diletakkan dalam keadaan siap sedia,'' katanya.

Mengenali tugasan krew CB90, sekurang-kurangnya tujuh anggota dan pegawai ditugaskan bagi pengendalian bot ini melibatkan krew bahagian senjata, enjin, radar dan sebagainya.

Jumlah krew ini tidak termasuk anggota-anggota tentera yang ditugaskan dalam sesuatu operasi.

Bagi Juragan Bot CB90, Sabri Hsin, antara tugasan beliau ialah memastikan keselamatan bot berkenaan termasuk ketika merapat ke jeti dan sebagainya.

Menurutnya lagi, CB90 yang berkemampuan bergerak pada kelajuan 45 knot boleh mendarat ke atas pantai untuk membolehkan anggota tentera bergerak ke darat.

''CB90 juga boleh berundur ke belakang selepas sebahagian badannya mendarat ke atas pantai,'' katanya.

Sementara itu, Jurutera Bot CB90, Zulkifli Mohd. Noor berkata, antara tugasan beliau ialah memastikan bot serta enjin berada dalam keadaan baik sepanjang masa.

''Kita tidak tahu bila sesuatu operasi itu hendak dijalankan atau bila ada keperluan mengejut serta membantu agensi lain dalam operasi mencari dan menyelamat.

''Oleh itu, CB90 perlu dipastikan dalam keadaan siap sedia dan sentiasa diselenggara.
''Dalam hal ini, bahagian-bahagian bot seperti sistem elektriknya hendaklah dipastikan berkeadaan baik.

''Penyelenggaraan sentiasa dibuat dari semasa ke semasa termasuk diuji kesiapsiagaan bot,'' katanya.

Rosly Md. Azizan pula yang merupakan anggota Yeoman atau Serang pula berkata, tugasan beliau antara lain memastikan keperluan senjata sebelum sesuatu operasi dijalankan.

''Walaupun itu merupakan tanggungjawab saya, namun saya juga perlu menjalani kursus tertentu melibatkan pengendalian bot.

''Setiap krew yang ditugaskan dalam CB90 perlu memiliki kemahiran yang pelbagai terutama dalam pengendalian bot,'' katanya.

Bagi krew-krew CB90, mereka amat berbangga dapat berkhidmat sebagai anggota bot tempur.
Ini kerana tidak semua anggota dalam TLDM berpeluang mengendalikan CB90 yang bukan sahaja digunakan dalam operasi, malah memiliki sistem canggih termasuk radar dan sebagainya.

Berikutan pentingnya tugasan CB90 ini, antara tugasan diberikan ialah mengiringi mana-mana kapal miliki TLDM dalam situasi tertentu.

Begitu juga ketika kapal selam Malaysia yang pertama memasuki kawasan pelabuhan TLDM baru-baru ini, CB90 turut ditugaskan mengiringi kapal selam berkenaan untuk memastikan tiada kapal lain berada di sekitarnya.

Kereta perisai baru ganti condor, Sibmas

Sumber: Utusan online

SEREMBAN 4 Okt. - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sedang mengkaji pembelian kereta perisai baru untuk menggantikan Condor dan Sibmas yang kini digunakan oleh tentera Malaysia di Lebanon.

Katanya, kerajaan sedang memilih kereta perisai baru atau Armour Personnel Carrier (APC) dari jenis pacuan 6x6 atau 8x8.

"Sekarang ini, APC kita adalah 6x6 (jenis Sibmas) oleh kerana ini adalah merupakan peralatan keselamatan maka adalah munasabah ianya tidak dibuat secara tender terbuka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-56 PBTM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas tuduhan pembangkang kononnya kerajaan sengaja membahayakan nyawa tentera yang berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lebanon dengan melengkapkan mereka dengan kereta perisai Condor dan Sibmas yang sudah berusia lebih dari 30 tahun.

Katanya, pembelian kereta perisai baru itu akan menggunakan peruntukan khas yang diberi oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) kepada Malaysia.

"Kita akan cadangkan supaya tender terpilih dilakukan untuk menilai sama ada 6x6 atau 8x8 sesuai di situ, rupa bumi dia adalah kecil tetapi saya fikir APC yang ada itu adalah bersesuaian dan tanpa ada seruan dari pembangkang pun memang kita berhajat untuk menggantikan yang ada kepada yang lebih terkini teknologinya," katanya. - BERNAMA